Friday, May 4, 2012

DIKEHENDAKI
Polis cari 49 disyaki terbabit rusuhan BERSIH 3.0

KUALA LUMPUR: Polis menyiarkan gambar 49 individu yang dikehendaki kerana disyaki terbabit dalam pelbagai kesalahan, termasuk menimbulkan kekacauan sepanjang perhimpunan BERSIH 3.0 di beberapa lokasi sekitar ibu negara pada Sabtu lalu.

Semua individu, termasuk seorang wanita dan mahasiswa itu diminta tampil ke balai polis berdekatan bagi diambil keterangan dan membantu siasatan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh, berkata antara kesalahan termasuk menimbulkan kekacauan dan rusuhan, selain memukul anggota polis.

“Jika mereka enggan tampil, polis akan ke rumah mereka untuk merakam keterangan kerana kita mempunyai alamat hampir semua mereka. Orang ramai yang mengenali mereka juga diminta menyalurkan maklumat,” katanya.

Mereka boleh menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Azmi Aziz di talian 019-2602344 dan 019-3872344 atau e-mel kepada azmiaziz@rmp.gov.my.

Mohmad berkata, individu yang gambarnya disiarkan itu tidak membabitkan ahli politik dan orang kenamaan selain bukan di kalangan 513 peserta yang ditahan ketika rusuhan.

Mereka boleh disiasat mengikut pelbagai Seksyen Kanun Keseksaan dan bergantung kepada polis menentukannya sebaik mengambil keterangan mereka. 

Ditanya sama sama ada polis sudah menahan anggotanya yang didakwa melakukan kekasaran terhadap peserta perhimpunan, Mohmad berkata, setakat ini pihaknya belum membuat tangkapan dan menyifatkan terlalu banyak dakwaan yang ditimbulkan pelbagai pihak.

“Jika ada yang merakam aksi berkenaan, tunjukkan bukti. Bagi mereka yang melihat secara jelas, namun tidak mengenali mereka, boleh buat lakaran wajah dan serah kepada polis,” katanya. (BHarian)



KD:haaa..kan dah kena.. lain kali jangan terlalu taksub dan mengganas sangat.. gunalah saluran yang betul.. memanglah mahu berjuang tetapi janganlah sampai memakan diri..
CAPA SOKONG BATAL PERTUKARAN SAHAM MAS, AIRASIA
    
Pembatalan perjanjian pertukaran saham antara Penerbangan Malaysia (MAS) dan AirAsia Bhd mendapat sokongan Centre for Asia Pacific Aviation (CAPA) yang berpangkalan di Singapura, tetapi menegaskan kerjasama berterusan antara kedua-dua syarikat penerbangan itu akan mengurangkan kos dan menambah nilai.

CAPA berkata, kerjasama antara MAS dan AirAsia boleh diteruskan tanpa pertukaran saham kerana ia sesuatu yang normal bagi syarikat penerbangan untuk bekerjasama, tetapi pada masa sama bersaing antara satu sama lain.

"Syarikat penerbangan sentiasa bekerjasama tanpa pertukaran saham. Jika mereka boleh melaksanakan kerjasama dengan jayanya tanpa pertukaran saham, mereka sepatutnya masih boleh merealisasikan semua manfaat daripada perkongsian," kata Ketua Penganalisis di CAPA, Brendan Sobie.

“Sebagai contoh, Singapore Airlines dan Thai Airways bersaing tetapi kedua-duanya adalah sebahagian daripada Star Alliance. AirAsia dan MAS boleh terus beroperasi secara bebas dan bersaing di laluan tertentu.

“Hasilnya, sepatutnya tidak ada sebarang impak kepada keupayaan kedua-dua syarikat untuk meneruskan pelan perniagaan mereka. Dari segi strategi, ini tidak semestinya mengubah apa-apa,” katanya.

Kerjasama berterusan antara kedua-dua syarikat penerbangan itu penting, terutama bagi MAS kerana ia kini dalam proses penyusunan semula, dengan matlamat kembali meraih keuntungan tahun depan, kata Sobie.


KD: Nampaknya banyak pihak memberi respons yang positif terhadap keputusan terbaru ini.. semua pihak mengharapkan keputusan ini akan menjanakan lagi sektor penerbangan selain memberi perkhidmatan yang selesa dan berkesan.

BUKTI DAP KUASA DOMINAN: NAJIB

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata, pengakuan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang rela menjadi kuda tunggangan DAP, membuktikan DAP adalah kuasa dominan dalam pakatan pembangkang.

Perdana Menteri berkata, ia juga membuktikan perangai sebenar Anwar yang dikatakan oleh banyak pihak pada masa ini seperti pepatah ‘sudah terang lagi bersuluh.’

“Nampaknya dia buat pengakuan terbuka. Sebenarnya itu pandangan banyak pihak masa kini mengenai perangainya. Dalam apa juga pakatan mereka, kuasa dominan adalah DAP. Apa yang disyaki selama ini nampaknya sudah terang lagi bersuluh,” katanya semalam.

Najib diminta mengulas laporan akhbar ini semalam mengenai kenyataan Anwar beliau rela menjadi kuda tunggangan DAP jika tindakan itu membolehkan pembangkang menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) kerana lebih mempercayai pemimpin DAP termasuk Penasihatnya, Lim Kit Siang, berbanding pemimpin dalam UMNO.

Di KUALA TERENGGANU, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan pengakuan Anwar itu bukanlah perkara baru.

“Dia (Anwar) memang kuda DAP dari awal,” kata bekas Perdana Menteri.

Malah, katanya, Anwar yang menjemput pemerhati luar, termasuk, Senator bebas dari Australia Nicholas Xenophon, untuk memantau perhimpunan BERSIH, Sabtu lalu.


“Ahli politik itu bukan saja anti-Islam, malah penyokong kuat perkahwinan sejenis. “Memang geng dialah tu,” katanya selepas program Bicara Negarawan Bersama Tun Dr Mahathir di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak.

Di KEPALA BATAS, Tun Abdullah Ahmad Badawi pula menyifatkan tindakan Anwar itu adalah satu perbuatan bodoh.

Bekas Perdana Menteri berkata, kenyataan yang diumumkan dalam ceramah perdana sempena Konvensyen Pakatan Pembangkang Perak, Selasa lalu adalah memalukan diri beliau sendiri.

“Bodoh... sampai sanggup menjadi kuda tunggangan orang lain. Kalau dia mahu jadi tunggangan UMNO sekalipun, UMNO pun tak mahukan dia.

“Sepatutnya dia (Anwar) berasa malu dengan sikap yang sanggup menjadi kuda pihak lain,” kata Abdullah.

Sementara itu, larian sempena sambutan ulang tahun ke-66 Umno yang bermula di Perlis Selasa lalu dan menjelajah Kedah kelmarin, tiba di Pulau Pinang semalam.

Peserta larian dari Kedah yang diketuai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah menyerahkan bendera UMNO kepada Abdullah di sempadan Kedah dan Pulau Pinang di Jambatan Merdeka, Bumbong Lima di sini. 
(Berita Harian)


KD: Kenyataan DSAI sebenarnya bukan hanya menakutkan rakyat, malah menyebabkan kepercayaan rakyat kepada pemimpin politik semakin menipis...
MAS, AIRASIA HARUS TERUS KERJASAMA: DR M

KUALA TERENGGANU: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata Penerbangan Malaysia (MAS) dan AirAsia Berhad (AirAsia) harus meneruskan kerjasama demi kepentingan dan manfaat kedua-dua syarikat.

Beliau berkata, kerjasama itu harus diteruskan dengan MAS mempelajari banyak kelebihan AirAsia yang semakin maju walaupun mengenakan tambah murah bagi memajukan lagi syarikat penerbangan itu dan sebaliknya.

“Saya sokong dulu berkenaan kerjasama MAS dan AirAsia, tetapi saya tidak tahulah macam mana caranya. Nampak orang menentang cara tukaran saham, ini yang dibantah banyak orang, tetapi mereka tak bantah mengenai kerjasama.

“Jadi sekarang ini pertukaran saham dua syarikat itu yang dibatalkan dan kerjasama harus diteruskan kerana MAS boleh belajar banyak daripada AirAsia.


Kita tahu AirAsia kenakan tambang cukup murah, kadang-kadang percuma, tetapi dia masih kekal, dah 10 tahun dah, tak bankrap lagi.

“MAS dapat bantuan kerajaan RM3 bilion, tetapi masih rugi setiap tahun. Jadi belajarlah daripada AirAsia dan AirAsia juga boleh belajar daripada MAS. Jadi kerjasamalah, kita nak kedua-duanya maju,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program Bicara Negarawan bersama Tun Dr Mahathir di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak di sini, semalam.

Majlis dihadiri lebih 5,000 orang itu turut disertai Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah.


Berita Harian kelmarin melaporkan, Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Tune Air Sdn Bhd (Tune Air) mengumumkan MAS dan AirAsia bersetuju membatalkan perjanjian pertukaran saham antara kedua-dua syarikat itu yang mencetuskan kontroversi sejak diumumkan Ogos lalu.

Khazanah menyatakan susulan pembatalan pertukaran saham itu, ia kini memperoleh semula kepentingannya dalam MAS yang diberikan kepada Tune Air sebelum ini, manakala syarikat induk AirAsia itu pula memperoleh semula pemilikan sahamnya dalam syarikat penerbangan tambang murah yang diberikan kepada Khazanah.

Semua pertukaran itu dibuat mengikut nisbah dan harga sama yang diumumkan pada Ogos tahun lalu, iaitu RM1.60 bagi harga sesaham MAS dan RM3.952 sesaham bagi AirAsia, namun urus niaga pertukaran itu tidak membabitkan pertukaran wang tunai.
-(BHarian)


KD: Saling belajar, membantu dan bekerjasama adalah kunci kekuatan dan kemantapan sesebuah organisasi..