Friday, May 4, 2012

MAS, AIRASIA HARUS TERUS KERJASAMA: DR M

KUALA TERENGGANU: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata Penerbangan Malaysia (MAS) dan AirAsia Berhad (AirAsia) harus meneruskan kerjasama demi kepentingan dan manfaat kedua-dua syarikat.

Beliau berkata, kerjasama itu harus diteruskan dengan MAS mempelajari banyak kelebihan AirAsia yang semakin maju walaupun mengenakan tambah murah bagi memajukan lagi syarikat penerbangan itu dan sebaliknya.

“Saya sokong dulu berkenaan kerjasama MAS dan AirAsia, tetapi saya tidak tahulah macam mana caranya. Nampak orang menentang cara tukaran saham, ini yang dibantah banyak orang, tetapi mereka tak bantah mengenai kerjasama.

“Jadi sekarang ini pertukaran saham dua syarikat itu yang dibatalkan dan kerjasama harus diteruskan kerana MAS boleh belajar banyak daripada AirAsia.


Kita tahu AirAsia kenakan tambang cukup murah, kadang-kadang percuma, tetapi dia masih kekal, dah 10 tahun dah, tak bankrap lagi.

“MAS dapat bantuan kerajaan RM3 bilion, tetapi masih rugi setiap tahun. Jadi belajarlah daripada AirAsia dan AirAsia juga boleh belajar daripada MAS. Jadi kerjasamalah, kita nak kedua-duanya maju,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program Bicara Negarawan bersama Tun Dr Mahathir di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Gong Badak di sini, semalam.

Majlis dihadiri lebih 5,000 orang itu turut disertai Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mazlan Ngah.


Berita Harian kelmarin melaporkan, Khazanah Nasional Bhd (Khazanah) dan Tune Air Sdn Bhd (Tune Air) mengumumkan MAS dan AirAsia bersetuju membatalkan perjanjian pertukaran saham antara kedua-dua syarikat itu yang mencetuskan kontroversi sejak diumumkan Ogos lalu.

Khazanah menyatakan susulan pembatalan pertukaran saham itu, ia kini memperoleh semula kepentingannya dalam MAS yang diberikan kepada Tune Air sebelum ini, manakala syarikat induk AirAsia itu pula memperoleh semula pemilikan sahamnya dalam syarikat penerbangan tambang murah yang diberikan kepada Khazanah.

Semua pertukaran itu dibuat mengikut nisbah dan harga sama yang diumumkan pada Ogos tahun lalu, iaitu RM1.60 bagi harga sesaham MAS dan RM3.952 sesaham bagi AirAsia, namun urus niaga pertukaran itu tidak membabitkan pertukaran wang tunai.
-(BHarian)


KD: Saling belajar, membantu dan bekerjasama adalah kunci kekuatan dan kemantapan sesebuah organisasi..  

No comments:

Post a Comment