Tuesday, September 18, 2012

YOUTUBE TIDAK SENSITIF TERHADAP KEMARAHAN UMAT ISLAM – RAIS

KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, menyifatkan YouTube sebagai tidak sensitif terhadap kemarahan umat Islam di seluruh dunia kerana ia masih belum membuang klip filem "Innocence of Muslims" daripada senarainya.

"Itulah bagaimana mereka tidak sensitif," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Rais berkata kebebasan bersuara tidak termasuk menyebabkan atau menimbulkan kebencian di kalangan umat Islam terhadap orang yang menghina agama mereka.

Memandangkan bantahan meluas dalam dunia Islam, beliau berkata YouTube mempunyai setiap sebab untuk mengeluarkan filem anti-Islam daripada senarainya.

"YouTube nampaknya tidak sedar kepada kekacauan yang disebabkannya. Pemilik YouTube tidak layak untuk dilepaskan daripada kemarahan umat Islam atau tindakan undang-undang," katanya.

Rais berkata pendakwa raya mempunyai setiap hak mengikut Kanun Keseksaaan untuk mengheret pihak-pihak yang menyebabkan keadaan tidak harmoni, perpecahan atau perasaan permusuhan, kebencian atau niat jahat atas alasan agama antara kumpulan orang-orang yang melanggar Seksyen 298A Kanun Keseksaan.

Beliau berkata pihak berkuasa boleh menggunakan kuasanya mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia.

Filem itu dikutuk oleh umat Islam dan Gereja Kristian Ortodoks Koptik sebagai "sebuah filem yang bersifat menghasut" manakala Majlis Gereja-gereja Sedunia berkata filem itu 'satu penghinaan kepada agama Islam". – BERNAMA/MStar

DAP KELUAR PAKATAN?

KUALA LUMPUR 18 Sept. - Sikap berdiam diri DAP berhubung pelaksanaan hukum hudud oleh Pas dipercayai kerana parti pimpinan Lim Kit Siang itu mahu mengambil jalan paling 'selamat' kerana bimbang kehilangan undi orang Melayu.

Bekas Ketua Cawangan DAP Sg. Pelek, R. Vellasamy mendakwa parti itu berkemungkinan akan bertindak keluar daripada pakatan pembangkang selepas pilihan raya umum iaitu setelah mendapat undi orang Melayu.

Menurutnya, 'Dinasti Lim' yang diterajui oleh Kit Siang selaku Penasihat DAP dan anaknya, Lim Guan Eng sebagai Setiausaha Agung, gusar untuk mengeluarkan sebarang kenyataan menentang hudud kerana takut kalah pada pilihan raya akan datang.

"Mereka anak beranak cuma ada satu agenda iaitu menang besar pada pilihan raya akan datang tanpa sokongan orang Melayu serta kehilangan beberapa kawasan dengan mudah. Selepas menang nanti, dengan senang hati, mereka akan menggunakan alasan hudud untuk keluar daripada pakatan pembangkang.

"Sehingga itu, mungkin juga Pengerusinya, Karpal Singh akan menjadi 'mangsa' sebagai alternatif untuk terus menentang hudud," katanya ketika di hubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim yang mencabar parti itu untuk keluar daripada pakatan pembangkang seandainya menolak pelaksanaan hukuman hudud oleh Pas.

Vellasamy mendakwa, Karpal akan terus dipergunakan dan dibiarkan berjuang keseorangan sehingga dibenci oleh masyarakat Melayu kerana menentang hudud walaupun majoriti DAP tidak bersetuju dengan hukuman tersebut.

"Walaupun pimpinan tertinggi DAP menyatakan sokongan tidak terhingga kepada Karpal, mereka hanya cakap-cakap kosong sahaja kerana semua takut kepada 'Dinasti Lim.'

"Pemimpin lain dalam DAP mendiamkan diri daripada terus menentang secara terbuka kerana takut akan kehilangan peluang untuk bertanding pada pilihan raya umum nanti. Adakah golongan ini layak dipanggil pemimpin untuk memimpin negara?

"Karpal disukai oleh segelintir rakyat serta beberapa pemimpin lain kerana lebih telus dan lantang. Adalah sesuatu yang tidak menghairankan sekiranya Pengerusi ini turut disingkir satu hari nanti kerana kelantangan beliau menyusahkan dinasti itu, " jelasnya.

Beliau menambah, setiap kali dipersoalkan, Kit Siang dengan bijak akan memainkan isu lain bagi terus mengelirukan rakyat.

"Sehingga kini Kit Siang dan Guan Eng hanya mendiamkan diri walaupun didesak berkali-kali untuk mengeluarkan kenyataan. Kita tahu tentang agenda mereka semata-mata untuk memegang jawatan Perdana Menteri Malaysia satu hari nanti," ujarnya.-UtusanOnline

CADANG LAKSANA HUDUD DI NEGERI PAS

PETALING JAYA: PAS akan mencadangkan agar hukum hudud dilaksanakan di negeri-negeri yang ditadbir mereka, kata Ketua Dewan Ulama parti itu, Datuk Harun Taib.

Beliau berkata parti itu perlu mampu melaksanakan hukum hudud apabila diberi mandat untuk memerintah kerana ia adalah selaras dengan prinsip-prinsip demokrasi.

"Kami berpegang dengan konsep sokongan majoriti dan pemerintahan majoriti yang termaktub dalam prinsip-prinsip demokrasi," katanya.

Harun berkata beliau menyokong kenyataan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat bahawa pelaksanaan hudud tidak perlu ditangguhkan kerana ia adalah satu kewajipan agama dan bukannya pilihan.

Jawatankuasa teknikal Kelantan yang dibentuk untuk membincangkan pelaksanaan hudud di negeri itu akan mengadakan mesyuarat kedua tidak lama lagi.

"Kita akan membincangkan terma rujukan serta tindakan yang dicadangkan dan tindakan susulan," kata Timbalan Pengerusi Jawatankuasa tersebut, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Mohd Amar berkata walaupun Kelantan telah meluluskan enakmen itu 19 tahun yang lalu, kerajaan negeri tidak mampu untuk melaksanakannya kerana bantahan daripada Kerajaan Persekutuan./MStar
KLIP VIDEO ANTI-ISLAM MASIH DI YOUTUBE
 innocence of muslims filem hina nabi lokasi himpunan bantah filem hina islam nabi muhammad
PETALING JAYA: Klip video kontroversi Innocence of Muslims masih boleh ditonton di laman YouTube oleh pengguna internet di Malaysia walaupun langkah untuk menyekat akses kepada kandungan tersebut dilakukan.

Berikutan sekatan oleh enjin carian gergasi Google, yang memiliki YouTube, beberapa pautan kepada klip video itu memaparkan mesej: "Kandungan ini tidak boleh didapati di negara anda kerana aduan undang-undang."

Bagaimanapun, sehingga pukul 7.30 malam Isnin, beberapa salinan lain klip berdurasi 14 minit yang disiarkan di laman web perkongsian video itu masih boleh ditonton tanpa sekatan oleh pengguna internet tempatan.

"SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) telah diminta untuk membuang kandungan dan Google telah mengambil tindakan ke atasnya tetapi masalah yang muncul sekarang ialah salinan video itu sedang dibuat dan dimuat naik di YouTube," kata sumber industri internet yang biasa berhadapan dengan situasi berkenaan.

Sumber itu berkata sesuatu yang sukar untuk menghapuskan semua salinan jika jumlah yang besar dimuat naik.

Sekatan kandungan klip Innocence of Muslims dibuat berikutan permintaan SKMM pada Sabtu lalu ekoran kemarahan masyarakat Islam dunia terhadap penyiaran video yang menghina Nabi Muhammad.

Ketua Komunikasi dan Perhubungan Awam Google Malaysia, Zeffri Yusof ketika dihubungi bagaimanapun enggan menyatakan langkah yang bakal diambil syarikat itu namun menyatakan jaminan bahawa Google akan memandang berat semua permintaan SKMM.

"Apabila kita diberitahu bahawa sesuatu video itu menyalahi undang-undang negara terbabit, kita akan menyekat akses kepadanya selepas kajian menyeluruh dijalankan," katanya ketika dihubungi The Star. -MStar
KAJI SEMULA MODUL LATIHAN FIZIKAL PTD
Aldy Hasmi Abu Hassan, 35, mati lemas semasa menjalani latihan di Kem Wataniah Force 136 , Pekan, Pahang
KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) digesa mengakaji semula modul latihan fizikal terhadap Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD) ekoran kejadian seorang pegawai itu meninggal dunia ketika menjalani latihan fizikal di Pekan, Pahang semalam.

Dalam kejadian semalam, pegawai tersebut, Aldy Hasmi Abu Hassan, dilaporkan meninggal dunia ketika menjalani latihan Wataniah.

Kejadian tersebut berlaku kira-kira dua tahun selepas kematian seorang pelatih PTD Norhashimah Wahid, ketika menjalani latihan ala-komando.

Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, dengan berulangnya kematian seorang lagi anggota PTD semalam membangkitkan persoalan adakah pihak JPA benar-benar belajar daripada tragedi yang lepas dan mengambil tindakan yang sewajarnya.

"Saya tidak mempertikaikan perlunya pegawai PTD kita cergas dari segi fizikal dan mental. Namun ramai peserta kursus-kursus ini mempersoalkan mengapakah perlu latihan fizikal yang terlalu mencabar berbanding dengan tugas mereka sebagai PTD," katanya.

Difahamkan, latihan modul komando telah pun diberhentikan dan prosedur operasi diubah berikutan tragedi yang berlaku terhadap pelatih wanita itu dua tahun lalu.

Berikutan tragedi yang menimpa Allahyarham Aldy Hasmi semalam pula, Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Dr Ali Hamsa meminta aktiviti lasak bagi PTD dihentikan serta-merta.

Menurut Nik Nazmi yang juga Adun Sri Setia, JPA harus mendedahkan kepada umum sama ada kedua-dua kes Norhashimah dan Aldy merupakan kemalangan ataupun wujud elemen kecuaian.

"JPA juga harus memikirkan semula secara serius dan menyeluruh latihan buat PTD agar lebih relevan dengan keadaan semasa dan memastikan keselamatan PTD terpelihara. 

"Sekali lagi ucapan takziah kepada keluarga arwah Aldy Hasmi dan Norhashimah," katanya. -Harakahdaily