Thursday, May 2, 2013


PRU13: PEMBANGKANG GUNA TAKTIK KOTOR? 
Muhammad Khairul Hafiz (kiri) dan Tengku Adnan menunjukkan laporan polis dan gambar bendera, manifesto dan wang yang ditawarkan pihak tidak dikenali untuk mencalit dakwat pada jari di Putrajaya semalam.
PUTRAJAYA - Setiausaha Agung Barisan Nasional, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, beliau menerima laporan parti pembangkang menggunakan taktik kotor untuk memancing undi di kawasan Parlimen Putrajaya, termasuk menawarkan duit.

Tengku Adnan yang mempertahankan kerusi Parlimen itu pada pilihan raya umum Ahad ini, berkata beliau menerima laporan terdapat pengundi ditawarkan RM500 dan didatangi orang tidak dikenali yang hendak mencalit dakwat di jari mereka.

"Saya baru dapat laporan ada lapan orang pergi jumpa pengundi (di flat) kawasan saya...pukul 9 dan 10 malam Isnin (kononnya) untuk buat kaji selidik.

"Ada seorang wanita ini bagi masuk rumah. Bila masuk akhirnya dia nak calit dakwat ke tangan perempuan ni, kononnya menyenangkan supaya pergi mengundi. Ini taktik kotor," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama pengundi India di sini malam tadi.

Tengku Adnan mencabar calon Pas yang diimport dari Kelantan itu berdebat dengan bekas pegawainya sendiri yang juga penulis laman blog Kickdefella, Syed Azidi Syed Abdul Aziz sebelum mahu mencabar pihak lain.

Menurutnya, beliau tidak mempunyai sebarang sebab untuk berdebat dengan Naib Presiden Pas itu mengenai pelan memajukan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang merupakan idea kerajaan BN.

Katanya, Husam pendatang baru di Putrajaya hanya mahu mengambil kesempatan di atas kemajuan yang dinikmati penduduk di Putrajaya hasil kerja keras BN. - UTUSAN ONLINE


PRU13: NEGARA ISLAM SEMAKIN HILANG DARIPADA PERJUANGAN PAS

BACHOK - Negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud semakin hilang daripada perjuangan Pas.

Ia jelas apabila Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri tidak langsung menyebut mengenai dasar perjuangan mereka itu ketika menyentuh mengenai hubungan dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sewaktu menyampaikan ceramah di Pantai Irama di sini malam tadi.

Abdul Hadi berkata, hubungan Pas dengan kedua-dua sekutunya itu dilakukan kerana kedua-dua parti tersebut menerima Islam sebagai agama Persekutuan.

Katanya, apa yang penting ialah Pas menunjukkan contoh yang baik kepada DAP dan PKR selari dengan ajaran Islam.

"Hasil perbincangan, kita kemudian adakan kerjasama dengan DAP dan PKR, kerana kedua-dua parti itu bersetuju menerima Islam sebagai agama Persekutuan dan layanan yang adil kepada semua agama, hak Bumiputera dipertahankan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan memelihara institusi diraja.

"Apa yang penting kita menunjukkan contoh Islam, tidak rasuah dan tidak menyeleweng, serta menegakkan keadilan," katanya.

Untuk rekod, pelaksanaan hukum hudud tidak dimasukkan dalam manifesto pembangkang termasuk manifesto Pas Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 ini biarpun Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Harun Din menegaskan hukum Islam itu akan tetap dilaksanakan jika pembangkang berjaya menawan Putrajaya. - UTUSAN ONLINE