Thursday, May 2, 2013

PRU13:  GERAKAN SECARA HALUS TOLAK CALON PAS OLEH DAP
SEREMBAN - Pas sebenarnya sedang ditolak oleh ahli-ahli DAP, namun usaha itu dijalankan secara halus dan tanpa disedari dalam meneruskan misi mereka menakluki Putrajaya.
Naib Pengerusi DAP Cawangan Ladang Paroi, A. David Dass berkata, walaupun setakat ini hanya Pengerusinya, Karpal Singh yang menolak secara terang-terangan ideologi Pas, perkara yang sama juga dipercayai berlaku dalam kalangan ahli.

''Jangan terperanjat jika ada pengundi yang menyokong DAP menolak calon Pas pada pilihan raya umum kali ini kerana mereka tidak yakin dengan Pas. Malah ada juga calon Pas ini nanti akan kalah kerana ketiadaan sokongan pengundi.

''Kalau Karpal Singh sendiri sudah menolak ideologi Pas dengan menyatakan langkah mayatnya terlebih dahulu secara terang-terangan, saya rasa ada juga kalangan ahli yang menolaknya tetapi dilakukan secara halus," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas berhubung gerakan peraih undi DAP yang menerapkan sentimen anti-Pas kepada pengundi dan menolak calon Pas pada Pilihan Raya Umum Ke-13 ini.

Ditanya mengapa gerakan itu dilakukan secara halus, David Dass menjelaskan, langkah itu bagi menjaga hati kepimpinan Pas yang kini berada dalam komponen pakatan pembangkang demi melihat UMNO dan Barisan Nasional tumbang.

Malah katanya, penolakan Pas oleh para pengundi DAP dibuat memandangkan parti itu gagal dalam menjelaskan beberapa isu pokok dalam pakatan pembangkang termasuk berkaitan usaha melaksanakan negara Islam dan hukum hudud.

''Ramai yang meragui pelaksanaan negara Islam dan hudud Pas. Kita tidak nampak pun usaha parti itu dalam menerangkan ideologinya kerana mereka lebih mengutamakan kuasa untuk ke Putrajaya. –UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment