Thursday, May 2, 2013

PRU13: RAKYAT TERENGGANU USAH KEMBALI KE ERA KEGELAPAN

KUALA TERENGGANU - Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan rakyat Terengganu supaya membuat keputusan tepat ketika mengundi Ahad ini bagi memastikan negeri ini tidak kembali ke era kegelapan.

Menurut Perdana Menteri, rakyat Terengganu sudah melalui suasana tidak menentu semasa sepenggal di bawah pemerintahan Pas dan tidak sepatutnya membiarkan situasi itu berulang.

Memetik slogan calon Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh, 'Masihkah Kau Ingat', Najib mengimbas bagaimana celarunya keadaan ketika itu yang menyaksikan Pas bertindak menutup tadika dan gagal menguruskan sampah-sarap.

"Ada pula janji, apabila menang, sebaik sahaja ayam berkokok terus mahu laksanakan hukum hudud, tetapi mana janji dan ayam itu sekarang," katanya ketika berucap sempena Majlis Penyampaian Anugerah Desa Cemerlang Peringkat Kebangsaan 2012 di Kampung Bukit Wan, di sini hari ini.

Najib berkata, rakyat Terengganu perlu memastikan negeri ini kekal di bawah Barisan Nasional (BN) sekali gus memberi mandat yang kuat kepada BN di peringkat nasional.

"Pakatan pembangkang hanya pakatan politik semata-mata tanpa perjuangan dan ideologi yang selari, malah Hadi (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) sudah mengaku dia bukan setuju dengan Lim Kit Siang atau PKR (Parti Keadilan Rakyat) tetapi kerana politik sahaja," katanya.

Sementara itu, katanya, apa yang dilakukan kerajaan BN sarat dengan program kebajikan untuk rakyat dan tidak perlu melaungkan negara berkebajikan seperti Pas.

Dalam pada itu, Najib yakin masyarakat luar bandar akan terus memberi sokongan padu kepada BN untuk mentadbir negara pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Malah, beliau merasakan sokongan itu terus meningkat dengan kesedaran bahawa kesejahteraan hidup yang dikecapi selama ini ditunjangi oleh dasar pemerintahan BN.

"Saya lihat ada dua sebab mengapa angin perubahan luar bandar menjurus kepada BN. Pertama, mereka yakin kalau mahu masa depan yang lebih baik tidak boleh bergantung kepada pembangkang.

"Faktor kedua pula, mereka kecewa dengan pembangkang. Lihat sahaja apa sudah jadi dengan Kelantan yang diperintah pembangkang selama 22 tahun, Kedah dan Selangor lima tahun," katanya.

Najib juga menegaskan aku janji BN merupakan satu perjanjian dengan ikatan kepada Allah dan rakyat yang jika gagal dilaksanakan, pemimpin perlu menanggungnya kelak.

"Memang berat kita sebut aku janji kerana sebagai seorang Islam, jika tidak tunaikan janji, kita berdosa tetapi saya tetap mahu guna 'aku janji' berbanding manifesto kerana tindakan pembangkang yang mendakwa manifesto bukan satu janji.

"Ini adalah amanah, jadi, saya sebagai pemimpin berani angkat manifesto sebagai janji kerana kita yakin kita boleh buat," ujarnya. –UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment