Thursday, May 2, 2013


PRU13: NEGARA ISLAM SEMAKIN HILANG DARIPADA PERJUANGAN PAS

BACHOK - Negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud semakin hilang daripada perjuangan Pas.

Ia jelas apabila Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri tidak langsung menyebut mengenai dasar perjuangan mereka itu ketika menyentuh mengenai hubungan dengan DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sewaktu menyampaikan ceramah di Pantai Irama di sini malam tadi.

Abdul Hadi berkata, hubungan Pas dengan kedua-dua sekutunya itu dilakukan kerana kedua-dua parti tersebut menerima Islam sebagai agama Persekutuan.

Katanya, apa yang penting ialah Pas menunjukkan contoh yang baik kepada DAP dan PKR selari dengan ajaran Islam.

"Hasil perbincangan, kita kemudian adakan kerjasama dengan DAP dan PKR, kerana kedua-dua parti itu bersetuju menerima Islam sebagai agama Persekutuan dan layanan yang adil kepada semua agama, hak Bumiputera dipertahankan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan memelihara institusi diraja.

"Apa yang penting kita menunjukkan contoh Islam, tidak rasuah dan tidak menyeleweng, serta menegakkan keadilan," katanya.

Untuk rekod, pelaksanaan hukum hudud tidak dimasukkan dalam manifesto pembangkang termasuk manifesto Pas Kelantan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 ini biarpun Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Harun Din menegaskan hukum Islam itu akan tetap dilaksanakan jika pembangkang berjaya menawan Putrajaya. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment