Friday, December 21, 2012

'PENYEBAR MAKLUMAT PALSU RUSUHAN SENGAJA BERMAIN API'

Sintok: Penyebar maklumat palsu berhubung rusuhan kaum yang kononnya berlaku di Kuala Muda dekat sini, disifatkan sengaja bermain dengan api.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata demikian selepas mengambil kira tindakan itu yang bukan saja boleh menimbulkan kekecohan, tetapi berpotensi meretakkan perpaduan yang menjadi asas pembangunan negara.
“Ini perbuatan yang berbahaya dan tidak bertanggungjawab. Kita tidak boleh sentuh perkauman kerana ia boleh sebabkan bukan saja rakyat panik dan takut, malah negara juga turut terancam.

“Sepatutnya pihak itu lebih bertanggungjawab. Jika hanya insiden kecil, jangan sekali-kali sebar ada pertembungan antara kaum sehingga KPN (Ketua Polis Negara) dan KDN (Kementerian Dalam Negeri) perlu keluar kenyataan menafikannya,” katanya.

36 individu ditahan

Beberapa hari lalu ada pihak menyebarkan berita melalui blog serta laman sosial termasuk Facebook kononnya berlaku rusuhan kaum di Kuala Muda sehingga menyebabkan kematian dan pengisytiharan darurat.

Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim, mengesahkan sehingga kini 36 individu berusia 18 dan 30 tahun ditahan termasuk pihak yang bertanggungjawab menyebar berita palsu mengenai insiden itu melalui SMS.

“Semua 36 individu itu ditahan susulan beberapa insiden pergaduhan kecil sejak Ahad lalu, selain mereka yang menyebarkan berita palsu.

“Saya tegaskan maklumat berhubung gambaran berlaku rusuhan kaum tidak benar sama sekali, sebaliknya suasana di daerah berkenaan terkawal dan tenteram.

Malah, kegiatan harian penduduk seperti biasa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah. -BHarian
PEMIMPIN MELAYU HANYA MAMPU JADI 'PENONTON' DALAM DAP

GEORGE TOWN: Pemimpin Melayu dalam DAP disifat hanya mampu menjadi 'penonton' belakang tabir dan tidak akan mampu memperjuangkan kelangsungan bangsa Melayu dalam parti itu.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Pulau Betong Muhamad Farid Saad berkata ini kerana pengaruh pemimpin yang dilantik di atas kertas tidak setanding dengan pemimpin yang dipilih berdasarkan undi majoriti.

"Pemimpin Melayu dalam DAP tidak akan beri kesan apa-apa dalam pentadbiran kerana bilangan mereka terlalu kecil dan tidak dapat sokongan penuh oleh ahli sendiri," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Briged Sukarelawan Kolej Komuniti (BRiSK) Pulau Pinang di sini, Khamis.

Muhamad Farid berpendapat pelantikan dua wakil Melayu oleh Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) iaitu Senator Ariffin S.M Omar dan Setiausaha Politik Lim Guan Eng, Zairil Khir Johari sekadar memenuhi kuota bagi menujukkan DAP sebagai parti berbilang kaum.

Beliau menyarankan pemimpin Melayu berkenaan menilai sedalam-dalamnya perkara ini kerana majoriti anggota peringkat akar umbi yang tidak memilih pemimpin Melayu jelas menunjukkan mereka tidak menginginkan kaum lain menerajui parti itu.

Pada pemilihan CEC baru-baru ini, kesemua lapan calon Melayu termasuk pejuang DAP Melayu Ahmad Ton kalah teruk dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng kemudiannya mengumumkan pelantikan Ariffin dan Zairil dalam CEC.

Penubuhan BRiSK bertujuan mendidik pelajar supaya prihatin dengan isu masyarakat dan menyemai sikap bekerja secara sukarela dalam diri golongan itu.

Majlis berkenaan dihadiri seramai 100 pelajar dari enam kolej komuniti sekitar Pulau Pinang. – BERNAMA/mStar