Friday, December 21, 2012

'PENYEBAR MAKLUMAT PALSU RUSUHAN SENGAJA BERMAIN API'

Sintok: Penyebar maklumat palsu berhubung rusuhan kaum yang kononnya berlaku di Kuala Muda dekat sini, disifatkan sengaja bermain dengan api.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata demikian selepas mengambil kira tindakan itu yang bukan saja boleh menimbulkan kekecohan, tetapi berpotensi meretakkan perpaduan yang menjadi asas pembangunan negara.
“Ini perbuatan yang berbahaya dan tidak bertanggungjawab. Kita tidak boleh sentuh perkauman kerana ia boleh sebabkan bukan saja rakyat panik dan takut, malah negara juga turut terancam.

“Sepatutnya pihak itu lebih bertanggungjawab. Jika hanya insiden kecil, jangan sekali-kali sebar ada pertembungan antara kaum sehingga KPN (Ketua Polis Negara) dan KDN (Kementerian Dalam Negeri) perlu keluar kenyataan menafikannya,” katanya.

36 individu ditahan

Beberapa hari lalu ada pihak menyebarkan berita melalui blog serta laman sosial termasuk Facebook kononnya berlaku rusuhan kaum di Kuala Muda sehingga menyebabkan kematian dan pengisytiharan darurat.

Sementara itu, Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim, mengesahkan sehingga kini 36 individu berusia 18 dan 30 tahun ditahan termasuk pihak yang bertanggungjawab menyebar berita palsu mengenai insiden itu melalui SMS.

“Semua 36 individu itu ditahan susulan beberapa insiden pergaduhan kecil sejak Ahad lalu, selain mereka yang menyebarkan berita palsu.

“Saya tegaskan maklumat berhubung gambaran berlaku rusuhan kaum tidak benar sama sekali, sebaliknya suasana di daerah berkenaan terkawal dan tenteram.

Malah, kegiatan harian penduduk seperti biasa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah. -BHarian

No comments:

Post a Comment