Friday, April 26, 2013

PRU13: POPULARITI ARTIS BUKAN JAMINAN BOLEH RAIH UNDI
Aishah, Herman Tino & Dayangku Intan
KUALA LUMPUR - Pilihan raya umum ke-13 menyaksikan tiga orang artis atau lebih tepat lagi penyanyi turut menjadi calon.

Mereka yang bertanding atas tiket pembangkang dan Bebas mempunyai alasan tersendiri untuk menjadi calon dan mewakili parti-parti berkenaan.

Namun yang menjadi persoalan ialah sama ada golongan artis mampu memenangi hati pengundi untuk memenangkan pula parti yang memilih mereka sebagai calon.

Bagi Prof. Madya Dr. Ismail Sualman, pengundi kini tidak hanya memandang populariti, tetapi mereka melihat sejauh mana artis berkenaan boleh membawa isu tempatan dan nasional.

"Pengundi juga mahu melihat rekod kerja mereka, sama ada mereka pernah terlibat dalam politik walaupun sebagai pemimpin bawahan atau terlibat dalam penyelesaian sesuatu isu. Mungkin mereka akan dipilih pengundi nanti," katanya.

Ismail selaku pensyarah kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara berkata jika artis hanya muncul secara tiba-tiba tanpa ada latar belakang politik, peratusan pengundi untuk memilih mereka adalah sangat kecil.

"Oleh itu kualiti seseorang calon perlu lebih mengatasi popularitinya," tambah beliau.

Ini kerana tanpa kualiti yang diinginkan pengundi, seperti mempunyai karisma sebagai seorang pemimpin dan kredibiliti, ia tidak cukup menjadikan artis sebagai calon boleh menang, katanya.

"Sebagai contoh Aishah (penyanyi Wan Aishah Wan Ibrahim) mempunyai ijazah Sains Politik dari luar negara, namun ia bukan kayu pengukur tentang kemampuannya sebagai pemimpin rakyat jika dia terpilih nanti.

"Dunia politik akan jadi seperti dunia hiburan di mana artis-artis lebih terkenal kerana kontroversi dan populariti berbanding kualiti mereka," katanya.

Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Prof Dr. Ahmad Atory Hussain menyifatkan tindakan parti meletakkan artis sebagai calon tidak lebih sebagai strategi untuk menarik undi semata-mata.

Beliau berkata, langkah itu tidak mengambil kira kemampuan serta kredibiliti calon tersebut, dan dari satu sudut ia dilihat sebagai kelemahan parti yang tidak mempunyai calon yang lebih berwibawa untuk diketengahkan.

"Artis-artis yang menjadi calon dan tidak mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang dikehendaki, malah kemunculan mereka secara tiba-tiba dalam kancah politik, tidak akan mendapat sokongan pengundi," tegasnya.

Pada masa yang sama Ahmad Atory berkata apa juga latar belakang calon yang mahu bertanding, yang penting ialah niat mereka sama ada mereka mahu dipilih menjadi wakil rakyat atau sebagai pemimpin masyarakat. – BERNAMA/UTUSAN ONLINE
DAP, PAS TOLAK ANWAR JADI PM EKORAN HILANG KEPERCAYAAN


PAGOH - Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, DAP dan Pas tidak bersetuju untuk menjadikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri jika menang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) kerana pembangkang sudah hilang kepercayaan terhadap beliau.
Menurut Timbalan Perdana Menteri, hal ini kerana Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu dilingkari dengan pelbagai masalah peribadi, selain menjadi beban kepada pembangkang.

"Saya dengar baru-baru ini pun Pas tidak mahu Anwar, dia mahu (Datuk Seri Abdul) Hadi Awang jadi Perdana Menteri. (Pengerusi DAP), Karpal Singh dan DAP akhir-akhir ini tak mahu juga kerana Ketua Pembangkang ini sudah jadi liabiliti, tidak popular macam dulu.

"Dia (Anwar) punya cerita macam-macam orang sudah tidak percaya. Saya fikir kita sudah tahu apa ceritanya, tidak payah disebutkan di sini," katanya ketika berucap sebelum merasmikan bangunan baharu tiga tingkat Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Aik Ming, Temiang yang dibina dengan kos RM1.5 juta di sini hari ini.

Yang turut hadir isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; calon Barisan Nasional di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Serampang, Ismail Mohamed dan calon DUN Jorak, Datuk Dr. Sharuddin Md. Salleh.

Isu penolakan terhadap Anwar sebagai Perdana Menteri timbul apabila didedahkan bahawa terdapat satu perjanjian sulit antara Pas dengan DAP untuk mengangkat Abdul Hadi sebagai Perdana Menteri jika pakatan pembangkang menang Pilihan Raya Umum Ke-13 ini.

Bagaimanapun, perjanjian antara DAP dengan Pas itu tidak diketahui Anwar dan keputusan tersebut dibuat kerana kedua-dua parti pembangkang berkenaan tidak setuju dengan tindakan Ketua Pembangkang itu menggunakan pelanduk dua serupa sebagai modal kempen bagi meyakinkan orang ramai bahawa beliau tidak terlibat dalam video seks yang dikatakan miripnya.

Muhyiddin berkata, perkembangan itu menunjukkan pembangkang masih tidak mempunyai kata sepakat siapa yang harus menjadi Perdana Menteri dan jika berjaya merampas kuasa pada pilihan raya umum ini, isu tersebut bakal menjadi satu masalah besar kepada mereka.

Beliau yang juga penyandang kerusi Parlimen Pagoh meminta rakyat menilai pendirian pembangkang yang tidak bersatu hati apabila dicabar sama ada akan mengubah dasar dan polisi BN yang baik jika berjaya mengambil alih pentadbiran negara selepas PRU-13.

"Ada (pembangkang) yang kata akan teruskan dan ada yang kata mahu hentikan. Jadi, bermakna mereka tidak bersatu hati. Kalau tidak bersatu hati akan jadi masalah besar kepada negara. Macam di Selangor sudah ditukar polisinya.

"Mereka yang berniaga memberitahu, sekarang susah mahu berniaga di Selangor. bukan sahaja susah, tapi tambah lagi beberapa peraturan baharu sehingga orang berniaga susah nak niaga. Kerajaan BN bukan baharu, tiap-tiap tahun kita tambah baik," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, DAP perlu mengadakan semula pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti tersebut kerana pihak Pendaftar Pertubuhan (ROS) sudah menetapkan demikian dan mereka harus mematuhi undang-undang.

"Sekiranya DAP benar-benar sebuah parti yang 'betul' seperti dilaung-laungkan, mereka harus melakukannya kerana UMNO juga pernah diharamkan pada 1988 oleh ROS dan parti berkenaan akur," katanya. -UTUSAN ONLINE
ANALISIS PRU13: SLOGAN 'UBAH' MAKAN DIRI SENDIRI

Oleh BORHAN ABU SAMAH

Kata dulang, paku serpih, kata orang, sendiri yang lebih. Begitulah slogan 'Ubah' yang digunakan oleh DAP bagi menghadapi pilihan raya kali ini.

Parti pembangkang itu menyeru rakyat melakukan perubahan dengan memilih pakatan yang tidak pernah berdaftar atau pakatan haram iaitu Pakatan Rakyat untuk menjejak kaki ke Putrajaya.

Pakatan yang belum dapat menyelesaikan isu-isu pokok termasuk pelaksanaan hukum hudud itu menjanjikan bulan dan bintang jika diberi mandat oleh rakyat.

Bagaimanapun ibarat 'Meludah ke langit, akhirnya jatuh ke muka sendiri', kini rakyat mempertikaikan keikhlasan pembangkang untuk berubah kerana muka-muka lama pemimpin mereka yang telah menyertai pilihan raya sejak perdana menteri yang pertama masih lagi bertanding pada pilihan raya kali ini.

Lihat sahaja Lim Kit Siang yang berpindah ke Gelang Patah, manakala Karpal Singh dan Nik Aziz Nik Mat kelihatan belum mahu melepaskan jawatan yang dipegang walaupun mereka semakin uzur dimamah usia.

Pelbagai helah digunakan bukan sahaja untuk mengekalkan jawatan mereka sebagai wakil rakyat, bahkan untuk mengekalkan jawatan di dalam DAP sendiri mereka terpaksa membuat aksi silap mata semasa pemilihan jawatankuasa pusat parti pembangkang itu.

Lihat pula pemimpin Barisan Nasional (BN), Tun Dr. Mahathir Mohamad walaupun masih sihat dan berfikiran tajam, beliau meletak semua jawatan dalam parti dan kerajaan.

Begitu juga Tun Dr. Ling Liong Sik kini tidak lagi aktif di dalam MCA, sama juga dengan Datuk Seri S. Samy Vellu juga telah melepaskan jawatan di dalam MIC.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bukan sahaja telah berjaya dengan program transformasinya, tetapi beliau turut mewakili era baru dalam politik negara.

Tindakan berani beliau meletakkan begitu banyak muka baru bagi calon BN cukup mengejutkan dan kini rakyat memahami serta yakin bahawa Najib benar-benar serius melakukan perubahan.

Mandat yang lebih besar kepada BN pada pilihan raya kali ini pasti menjanjikan masa hadapan yang lebih cemerlang untuk Malaysia. -UTUSAN ONLINE
TOLAK HUDUD, KIT SIANG SOKONG KARPAL SINGH

KOTA KINABALU - Pengerusi DAP, Karpal Singh mendapat sokongan padu dalam usahanya menentang hasrat Pas melaksanakan hukum hudud di negara ini selepas Penasihat DAP, Lim Kit Siang turut mengulangi pendirian sama.

Malah, Kit Siang turut menempelak hasrat Pas yang masih berkhayal mahu melaksanakan hukum itu dengan menyifatkan sesuatu undang-undang di negara ini hanya boleh dilaksanakan jika merupakan amalan kebiasaan dalam kalangan rakyat dan diterima semua pihak.

"Kami sangat jelas berhubung perkara ini seperti mana yang telah dibincangkan sebelum ini yang mana amalan ini akan hanya dilaksanakan jika merupakan amalan biasa dalam komuniti," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Kenyataan Kit Siang itu sekali gus menyokong pendirian Karpal semalam yang menolak pelaksanaan hukum hudud Pas di negara ini kerana menyifatkan tidak ada keperluan ke arah pelaksanaannya.

Pendirian Kit Siang dan Karpal itu bercanggah dengan kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din yang turut bertegas melaksanakan hukum hudud sekiranya pembangkang menguasai Putrajaya.

Menurut Kit Siang, pertelagahan mengenai isu itu tidak seharusnya timbul semula kerana sudah difahami sepenuhnya semua pemimpin pembangkang sebelum ini. –UTUSAN ONLINE
PRU13: SAYA TIDAK AKAN KORBANKAN AGAMA UNTUK POLITIK - NAJIB

PEKAN - Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, beliau dan kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinannya tidak akan sesekali mengorbankan prinsip Islam semata-mata untuk meraih keuntungan politik seperti dilakukan pembangkang.

Mengambil contoh sokongan penggunaan kalimah Allah untuk bukan Islam dan pertikaian status syahid wira negara yang terkoban di Sabah oleh pembangkang, Perdana Menteri berkata, keadaan itu berlaku kerana pihak lagi satu lebih mengutamakan politik daripada kebenaran.

''Dalam isu kalimah Allah, kita pertahankan agama, kita tidak berdolak-dalik dalam hal ini. Kita tak main politik walaupun ada orang kata rugi kalau tidak ketepikan prinsip tersebut bagi meraih undi.

''Bagi saya kebenaran itu tetap kebenaran. Kita tidak boleh lari daripada mencari kebenaran kerana akhirnya Allah akan memihak kepada mereka yang meneruskan perjuangan berdasarkan kebenaran," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Wacana Pembangunan Ummah peringkat negeri yang turut dihadiri tetamu khas, Imam Masjid An-Nabawi Madinah, Shaikh Solah Mohammed al-Budair di sini hari ini.

Yang hadir sama isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Dalam pada itu kata Najib, keputusan beliau mengangkat manifesto sebagai aku janji dibuat berlandaskan tuntutan Islam seperti mana yang disebut Allah dalam surah al-Israa ayat ke-34.

Menurut Perdana Menteri, dalam ayat tersebut janji dituntut untuk disempurnakan sama ada dengan Allah atau manusia. –UTUSAN ONLINE