Friday, April 26, 2013

PRU13: UNDI GUNA KEBIJAKSANAAN, BUKAN EMOSI


PAGOH - Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan kira-kira 13 juta pengundi yang akan membuang undi pada 5 Mei ini supaya membuat pemilihan yang bijaksana dan bukan bersandarkan emosi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, rakyat khususnya pengundi perlu memahami maksud Pilihan Raya Umum Ke-13 agar mereka dapat membuat keputusan tepat dengan memilih Barisan Nasional (BN) yang terbukti berjuang untuk semua lapisan masyarakat.

"Walaupun nampak mudah, 13 juta rakyat yang akan mengundi pada 5 Mei ini, merekalah yang akan menentukan kerajaan dan kita tentunya mengharapkan mandat terus diberikan kepada BN," katanya semasa merasmikan Balai Raya Kampung Paya Panjang di sini hari ini.
Muhyiddin berkata, dasar perjuangan BN tidak pernah berubah dari dahulu hingga kini iaitu untuk menjadi negara maju dan tidak mengabaikan pemberian bantuan kepada rakyat sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Katanya, keutuhan BN adalah hasil kerjasama semua parti komponennya yang sudah terbukti dan sepakat menggunakan simbol dacing bagi mewakilinya dalam setiap pilihan raya umum berbanding pembangkang yang berpecah-belah.

"Mereka hanya berlakon kononnya sepakat tetapi kemudiannya bergaduh dan konflik itu semakin ketara apabila serentak meletakkan calon DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas di kawasan yang ditandingi calon UMNO.

"Begitu juga Pas bercadang menubuhkan negara Islam dan melaksanakan hudud jika menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 tetapi DAP tidak bersetuju, jadi jika masing-masing tidak bersetuju, macam mana mereka hendak duduk semeja," katanya.

Muhyiddin berkata, sepanjang lebih 55 tahun memerintah, BN berjaya memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan negara tetapi pembangkang sibuk mahu mengambil alih Putrajaya.

"Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah kemaruk hendak menjadi Perdana Menteri dan sudah berangan-angan tetapi mungkin angan-angan Mat Jenin sahaja, jauh panggang dari api, saya percaya Anwar tidak akan menang dan tidak akan menjadi Perdana Menteri.

''Itu harapan kita, yang kita mahu jumpa Yang di-Pertuan Agong selepas 5 Mei ini tidak lain tidak bukan ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya.

Sementara itu, semasa berucap di Majlis Pemimpin Bersama Rakyat pada Kampung Bukit Treh di sini, beliau melahirkan keyakinan ramai yang akan keluar mengundi berikutan banyak pesanan yang dihebahkan menerusi media massa.

''Ini kerana ada lagu mengajak rakyat mengundi di televisyen dan pesanan di akhbar, jadi harapan saya keluarlah mengundi pada awal pagi.

''Kalau boleh lepas sarapan terus ke pusat pengundian dan beri sokongan 100 peratus kepada BN demi memastikan kelangsungan pentadbiran kerajaan sedia ada,'' katanya. –UTUSAN ONLINE


No comments:

Post a Comment