Thursday, April 25, 2013

 NILAI SATU UNDI KEPADA NEGARA

Oleh: DATUK DR. HASAN ALI ialah Presiden Jalur Tiga (Jati)

Penamaan calon sudah berlalu, kini hari penentuan yang ditunggu-tunggu bakal tiba beberapa hari lagi. Sebagai manusia kita sering membuat keputusan daripada yang sekecil-kecilnya yang menyentuh kehidupan harian, yang berskala sedang dan yang berskala besar.

Mari kita renung sejenak tentang keputusan besar yang mesti dilakukan pada 5 Mei 2013. Tarikh keramat ituadalah tarikh penentuan. Tarikh yang akan menentukan pada malam dan keesokan harinya sama ada Malaysia menjadi negara suram dengan gerhana atau penuh bercahaya memancarkan sinar harapan untuk generasi akan datang.

Ertinya jika silap membuat keputusan kitalah yang akan menggerhanakan bumi bertuah ini. Sebaliknya jika jari-jari yang dikurnia Allah digunakan dengan sebaik-baiknya untuk membantu kita membuat keputusan yang sebaik-baiknya dari segi syarak dan amalan kehidupan berbudaya maka keputusan sedemikianlah yang dapat membantu menjemput rahmat Allah dengan kurnia Rahman dan Rahim-Nya dalam kehidupan kita seterusnya.
 
Sering disebut akhir-akhir ini bahawa PRU-13 adalah 'mother of all election'. Ini membawa erti PRU-13 dalam sejarah pilihan raya di negara ini merupakan PRU penentu sama ada negara ini menjadi 'BaldatunTayyibatun Wa Rabbun Ghaffur' atau negara yang sentiasa dalam kelaknatan Allah SWT.

Saya tidak perlu menjelaskan apa yang dimaksudkan dengan kalimat ini, tetapi cukup kalau saya simpulkan keputusan yang tepat mengelakkan kesengsaraan dan kesilapan membuat keputusan di pihak kita bererti kita bersedia menjadikan diri masing-masing pengundang kepada malapetaka. Di ruangan ini saya ingin menyentuh sedikit mengenai berbagai mala petaka yang mungkin akan diturunkan kepada kita. Mala petaka akidah bagi saya adalah mala petaka paling dahsyat yang mungkin berlaku.

Mala petaka kategori ini lebih dahsyat daripada gempa bumi berukuran 8 skala Richter seperti yang berlaku di Jepun atau banjir hebat akibat pecahnya dinding-dinding penghadang di New Orleans, Amerika Syarikat. Kedahsyatan mala petaka akidah mungkin tidak menampakkan di hadapan mata kita runtuhnya bangunan, tenggelamnya muka bumi atau hilangnya jiwa ratusan ribu penduduk bumi ini.

Mala petaka akidah akan menjadikan insan itu kurus kering tidak bermaya dari sudut hubungan dengan Allah SWT, kaitannya dengan Nabi Muhammad SAW termasuk juga hubungan sesama manusia dalam komuniti atau masyarakat yang sama-sama menanggung bencana kerapuhan dan kehilangan akidah. Di peringkat diri sudah dibayangkan bencana membelakangkan akidah. Di peringkat keluarga bencana yang sama akan menimpanya dalam skop dan ruang lingkup yang lebih besar.

Yang kita harus sedar bencana yang akan menimpa umat yang di dalamnya termasuk diri kita, anak isteri, keluarga terdekat, jiran tetangga, anggota masyarakat dan umat sejagatnya. Barangkali tidak ramai di antara kita yang mengaitkan satu undi yang bakal diberi kepada mana-mana parti dengan permasalahan akidah yang dinukilkan.

Amat malang bagi kita dalam kalangan parti politik hampir tidak terserlah mana-mana parti politik yang memperjuangkan keluhuran akidah umat. Parti Islam Se-Malaysia atau Pas yang sejak hampir 60 tahun lalu berjuang menjadi benteng mempertahankan akidah umat, kini atas tuntutan teman setiakawan DAP dan PKR terpaksa mengetepikan dan menggugurkan jihad mempertahankan akidah yang diperjuangkan selama ini. Pas telah menggugurkan perjuangan menegakkan Negara Islam dan melaksanakan Hudud. Pas juga merelakan struktur pimpinan parti yang sebelum ini majoritinya terdiri daripada golongan ulama, kini dikuasai oleh kumpulan Anwarinas atau parasit. Daripada bunyi sebutan namanya pun sudah terbayang penguasaan Anwar Ibrahim secara jauh dan secara dekat ke atas batang tubuh Pas.

Dikatakan melalui sistem proksi yang dipraktikkan, hala tuju Pas berubah dan beralih hampir menyamai hala tuju perjuangan PKR dan dari sudut negara berkebajikan yang menggantikan negara Islam dari segi 'content'nya menyamai apa yang diperjuangkan oleh DAP.

Persoalan yang sering ditimbulkan bagaimana Pas boleh bersekongkol dengan PKR dan DAP. PKR yang dipimpin oleh Anwar cuba mengimport dan memperkenalkan beberapa laras kehidupan yang begitu asing kepada masyarakat Melayu Islam di negara ini. Para ulama dan agamawan menjatuhkan hukuman syirik kepada mereka yang mempromosi Pluralisme agama, Islam Liberal, LBGT (liberal, Biseksual, Gender dan Transseksual) dan sebagainya.

Di pihak DAP pula akibat penentangan dengan cara yang begitu angkuh menolak Islam sudah tidak dapat disembunyikan lagi. Ada kalangan anggota masyarakat menolak secara 'outright' kerjasama orang Islam dengan DAP yang disifatkan sebagai penganut kafir harbi. Gambaran yang diberi ini bukan merupakan cetusan baru. Saya telah mengemukakan pendapat dalam hal ini menerusi pelbagai saluran media termasuk dalam pertemuan-pertemuan dengan pelbagai kumpulan masyarakat. Pengalaman saya sebagai mantan Exco Kanan Kerajaan Negeri Selangor mendapati bahawa dari sudut akidah yang dibincangkan ini, penentangan PKR dan DAP khususnya, begitu lantang dan berterusan.
 
Sebagai contoh, peristiwa DUMC yang melibatkan 50 orang Melayu Islam dijemput menghadiri majlis berbuka puasa dalam persekitaran gereja. Tindakan saya bersama JAIS dikutuk dan dikecam pimpinan DAP, PKR dan yang paling malang termasuk juga pimpinan Pas. Kononnya tindakan saya akan menjejaskan perjalanan pakatan pembangkang untuk menguasai Putrajaya.

Bagi saya bukan setakat peristiwa DUMC itu sahaja, apa pun yang menyentuh persoalan Islam secara sembunyi atau secara terbuka ditentang oleh ketiga-tiga parti komponen pakatan pembangkang, tidak disenangi bahkan dihalang operasi dan pelaksanaannya. Sebagai contoh untuk menggambarkan bencinya mereka kepada Islam, tulisan Jawi yang digunakan pada papan tanda jalan atau lorong pun dipertikaikan.

Pertikaian itu didorong oleh salah persepsi bahawa tulisan Jawi digambarkan sesuatu yang ada pertalian langsung dengan Islam dan orang Melayu.

Apakah kita boleh bercerita dengan puak-puak ini mengenai agenda-agenda yang lebih besar seperti agenda pendidikan, agenda ekonomi, agenda kemasyarakatan umat dalam skala negeri dan negara? Atas dasar itu, izinkan saya membuat satu seruan kepada pengundi dan pembaca agar menghargai dan memberi nilai yang sewajarnya kepada undi yang bakal mereka berikan.

Dalam sistem demokrasi kita, perbezaan satu undi boleh memenang dan menewaskan calon dan parti. Dengan kelebihan satu undi juga memungkinkan terbentuknya sebuah negara yang berupaya memberi payung akidah dan satu undi itu juga dapat menjerumuskan kita semua ke lubang laknat Allah SWT. Fikir-fikirkan. - UTUSAN ONLINE

ua ke lubang laknat Allah SWT. Fikir-fikirkan. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment