Thursday, April 25, 2013

PRU13: BILIK GERAKAN BN DIBALING BOM

SUNGAI BESAR - Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) Parit 9, Sungai Leman di sini, dibaling bom petrol dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi ini.

Kejadian itu bagaimanapun disedari salah seorang penduduk kampung yang bertindak menghubungi Jawatankuasa Kemajuan Kampung Kerajaan Persekutuan (JKKKP) setelah melihat api mula menyambar kain rentang BN.

Pengerusi JKKKP Parit 9, Sungai Leman, Zulkefli Hassan berkata, kebakaran berjaya dipadam bersama anggota parti yang lain, sekali gus dapat menyelamatkan bilik gerakan yang juga balai raya berusia lebih 30 tahun itu daripada hangus.

Ekoran kejadian itu, katanya, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Sekinchan awal pagi ini bagi membolehkan dalang kes ditangkap.

"Kejadian berlaku kira-kira pukul 4 pagi, sebelum itu saya sendiri berada di bilik gerakan untuk menjalankan kerja parti bersama rakan. Hasil pemeriksaan awal menemui satu botol air mineral di kawasan kebakaran.

"Saya hanya menyedari kejadian ini selepas dimaklumkan oleh rakan, selepas itu saya bergegas ke bilik gerakan untuk memadam api, saya mengesyaki kebakaran ini sebagai perbuatan untuk mensabotaj kempen BN," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, pemilik tanah tapak bilik gerakan, Ismail Sutan, 72, kesal dengan tindakan sesetengah pihak yang sanggup menggunakan cara kotor semasa berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ini.

Katanya, mana-mana pihak perlu berfikiran positif dan sepatutnya melakukan kempen secara berhemah.

"Tindakan membakar bilik gerakan yang juga balai raya di sini merupakan tindakan tidak wajar sama sekali," katanya.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Supritendan Noor Mushar Mohamad ketika dihubungi berkata, pihaknya yang menerima laporan pagi ini bergegas ke lokasi kejadian dan hasil pemeriksaan menemui satu botol plastik yang dijadikan sebagai bom petrol di kawasan tersebut.

Menurutnya, bom petrol tersebut dipercayai dibaling oleh individu tertentu yang menaiki kenderaan ke arah bilik gerakan terbabit sebelum api menyambar kain rentang BN yang digantung di dinding bilik gerakan itu.

"Nasib baik seorang penduduk yang kebetulan melalui kawasan tersebut ternampak api dan kemudian memadamkannya bersama jentera parti yang lain daripada merebak ke seluruh bilik gerakan," katanya.

Noor Mushar memberitahu, setakat ini pihaknya belum dapat memastikan sama ada tindakan khianat itu dilakukan pihak lawan namun polis sedang mengenal pasti individu terlibat dan akan membuat tangkapan segera.

Beliau bagaimanapun meminta semua pihak bertenang dan tidak mengambil tindakan sendiri, sebaliknya menyerahkan kes berkenaan kepada pihaknya untuk tindakan lanjut.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.- UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment