Thursday, April 25, 2013

PRU13: WAKIL RAKYAT PKR IBARAT 'FUN FAIR'

SEREMBAN - Bekas Ahi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rashid Latiff dan calon PKR di DUN Sikamat, Aminuddin Harun merupakan wakil rakyat `Fun Fair'.

Ini kerana dakwa Timbalan Ketua UMNO Bahagian Seremban, Datuk Zakaria Nordin, kedua-duanya akan hanya muncul ketika kempen pilihan raya ketika 2008 dan selepas itu hilang entah ke mana.

Hari ini Rashid tidak lagi dicalonkan, tetapi diganti dengan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Kamarul Baharin Abbas di kerusi DUN Ampangan, manakala Aminuddin kekal bertanding di kerusi sama pada PRU-13.

"Mereka ini ibarat macam `Fun Fair', dia buka gerai dan meriah masa cuti sekolah, lepas dia hiburkan penduduk dan anak-anak kita. Lepas kutip untung, dia pun tutuplah.

"Samalah macam mereka berdua ini, masa macam ini (tempoh berkempen) dia meriah ke sana sini, tetapi lepas dipilih muka terus hilang apatah lagi buat kerja,'' katanya dalam ceramah membantu kempen calon BN DUN Sikamat, Wan Salwati Abdullah berkempen di Taman Paroi Jaya di sini malam tadi.

Katanya, pengundi jangan lagi dipermainkan oleh pembangkang khususnya calon PKR di DUN Ampangan dan Sikamat ini kerana telah banyak kerenah mereka dilihat dan tidak menyumbang apa-apa kepada rakyat dan negeri ini.

"Penduduk sudah tahu sikap `Fun Fair' calon-calon PKR ini, malah cuba lihat calon mereka di Ampangan (Kamarul Baharin) pun sudah disabotaj oleh ahli mereka sendiri,'' tegasnya.

Zakaria yang pernah menjadi ADUN Ampangan selama dua penggal sejak 1999 berkata, BN mempunyai peluang yang amat cerah untuk menang di dua kerusi ini.

"Kita akan bekerja keras memastikan kemenangan di Sikamat dan Ampangan. Apabila Kamarul ditolak oleh penyokong dan pengundi termasuk menutup bilik gerakan dan menurunkan bendera, kita optimis Ampangan semakin hampir untuk dimenangi ketika ini,'' kata Zakaria.

Beliau menjelaskan akan turut membantu calon BN untuk memastikan kemenangan besar dalam PRU-13 ini. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment