Thursday, April 25, 2013

PRU13: KIT SIANG MANGSA MAINAN POLITIK ANWAR

JOHOR BAHRU - Tan Sri Muhyiddin Yassin percaya Lim Kit Siang telah menjadi mangsa permainan politik Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila menerima tawaran bertanding di Parlimen Gelang Patah.

Timbalan Perdana Menteri berkata, tindakan Penasihat DAP itu meninggalkan penyokong setianya di Ipoh Timur untuk bertanding di kubu kuat Barisan Nasional (BN) kerana yakin Anwar juga akan meninggalkan Permatang Pauh untuk bertanding di Perak.

"Macam inilah ceritanya, bagaimana Kit Siang kena main politik oleh Anwar. Mereka ini kononnya ada muafakat dalam pakatan pembangkang, mereka berdua berpakat, Kit Siang pergi ke Gelang Patah dan Anwar pula akan pergi bertanding di Perak.

"Anwar kemudian datang ke Johor dan umum Kit Siang akan jadi calon DAP di Gelang Patah. Jadi, bila dah umum, Kit Siang sudah terikat di sini dan tidak dapat berbuat apa-apa," katanya semasa berucap pada Majlis Himpunan Rakyat 1Malaysia Bersama Timbalan Perdana Menteri di Dewan Raya Taman Universiti di sini malam tadi.

Muhyiddin berkata, pada masa sama, Anwar masih mencari kawasan yang selamat untuk dia tandingi di Perak tetapi tidak mengumumkannya sehinggalah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak diajukan soalan mengenai tindakan Ketua Pembangkang itu.

"Jadi, bila dia (Anwar) fikir balik perkara itu, dia pun patah balik ke Permatang Pauh dan akhirnya Kit Siang terikat di kubu kuat BN di Gelang Patah dan meninggalkan tempat lamanya di Ipoh Timur. Jadi, siapa yang kena main di sini," katanya.

Namun kata Muhyiddin, beliau percaya BN Johor mengalu-alukan kedatangan Kit Siang ke negeri ini dan yakin Abdul Ghani tidak gentar dengan perkembangan tersebut sekali gus menyeru semua rakyat negeri ini untuk memastikan Penasihat DAP itu akan berkubur di Gelang Patah. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment