Wednesday, November 7, 2012

KENYATAAN IZZAH MUNGKIN DISALAH TAFSIR - DR ASRI

Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul AbidinSHAH ALAM - Kenyataan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang didakwa meremehkan soal akidah dalam Islam dianggap bersifat umum.

Bekas Mufti Perlis, Profesor Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata, berdasarkan pemerhatian beliau menerusi rakaman video, kenyataan Nurul Izzah mengatakan tidak boleh memaksa mana-mana pihak dalam beragama.

Menurutnya, kenyataan seumpama itu mungkin boleh memberi pelbagai reaksi.

"Beliau mengulas soalan mengenai kebebasan beragama. Di situ, mungkin berlaku salah tafsiran kerana ia tidak diterangkan dengan mendalam.

"Kerana itu, beliau telah menghubungi saya untuk menjelaskan maksud kenyataan tersebut. Selepas menonton video tersebut, boleh dirungkaikan kepada dua perkara iaitu pertama dari segi beragama dan kedua penghayatan agama Islam di mana tidak ada paksaan," katanya. -SinarHarian
ISU IZZAH: RUMUSAN TIDAK BERTANGGUNGJAWAB - DR MUJAHID

 Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pas Pusat, Datuk Dr Mujahid Yusof RawaSHAH ALAM - Tindakan mengaitkan kenyataan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berhubung “tiada paksaan dalam agama” seolah-olah menggalakkan gejala murtad adalah satu rumusan tidak bertanggungjawab.

Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional Pas Pusat, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, kenyataan  “tiada paksaan dalam agama” adalah prinsip kemuliaan Islam tetapi ini bukan bermakna ia menggalakkan kemurtadan.

"Mengaitkan prinsip ini dengan rela murtad menunjukkan kecelaruan pemikiran golongan sempit agama termasuklah sesiapa yang mengulangnya tanpa fahaman. Saya ada dalam majlis itu sebagai pembicara.

"Kenyataan ahli Parlimen Lembah Pantai itu dianggap seolah-olah menggalakkan kemurtadan adalah satu rumusan yang tidak bertanggungjawab," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Dr Mujahid merupakan antara panel yang hadir bersama-sama Nurul Izzah dalam forum Islamic State: Which version? Whose responsibility? di Subang Jaya Sabtu lalu.

Ahli Parlimen Parit Buntar ini berkata, Nurul Izzah dalam forum tersebut juga menyebut tentang perlunya pendidikan dan dakwah supaya agama Islam dipelihara.

"Tiada paksaan bukan bermakna orang Melayu sewenangnya memilih agama lain kerana Islam itu penghayatan. Itulah semangat ucapan Izzah apabila menjawab soalan dari peserta tentang 'no compulsion'," katanya.

Menurutnya, tindakan sesetengah pihak yang mengaitkan prinsip mulia 'tiada paksaan' sebagai promurtad telah mencemarkan nama baik Islam.

"Itu bukan apa yang diperkatakan oleh ahli Parlimen Lembah Pantai," katanya. -SinarHarian
IZZAH DAKWA DIFITNAH
  • Lantik 2 peguam, saman 2 akhbar dan beberapa blog
SHAH ALAM - Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar telah mengarahkan dua peguamnya, Hanipa Maidin dan Sulaiman Abdullah agar mengambil tindakan undang-undang ke atas dua akhbar dan beberapa blog berkaitan laporan isu kebebasan beragama, yang didakwa berbaur fitnah.
Nurul Izzah An­war
"Saya telah mengarahkan peguam-peguam saya - Hanipa Maidin dan Sulaiman Abdullah - untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas Utusan Malaysia, Berita Harian, serta kemungkinan beberapa media termasuk blog-blog, berkaitan laporan berunsur fitnah akidah yang telah memutar belitkan sebahagian dari kenyataan penuh saya tempoh hari," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nurul Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai berkata, beliau tidak sanggup melihat "fitnah akidah" diteruskan.

"Saya tidak merelakan fitnah aqidah sebegini diteruskan dan tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang, demi menegakkan kebenaran dan demi keadilan," kata wakil rakyat penggal pertama ini. -SinarHarian
MALAYSIA KEDUA PALING DINAMIK

Malaysia muncul negara kedua paling dinamik untuk perniagaan berkembang maju di kalangan 10 negara anggota ASEAN selepas Singapura.
pix_gal0

Mengikut laporan Indeks Dinamik Global (GDI) Grant Thornton yang dikeluarkan semalam, secara keseluruhannya, negara berada di kedudukan ke-23 terbaik pada peringkat global.

Rakan Pengurusan SJ Grant Thornton, Datuk N K Jasani, berkata kedudukan Malaysia itu adalah hasil penilaian yang dibuat dalam bidang utama seperti persekitaran operasi perniagaan, ekonomi dan pertumbuhan serta persekitaran pembiayaan.

“Keseluruhannya, Malaysia merekodkan 58.9 mata dengan bidang persekitaran operasi perniagaan menyumbang 74 mata, diikuti bidang ekonomi dan pertumbuhan 72.3 mata, dan persekitaran kewangan 57.7 mata,” katanya dalam satu kenyataan.

Kaji selidik GDI

Walaupun Malaysia satu anak tangga di belakang Singapura, negara mempunyai prospek perniagaan dinamik yang semakin meningkat, khususnya persekitaran operasi perniagaan yang baik dengan rejim dan kawalan perdagangan serta pertukaran asing dibangunkan dengan baik sekali. -BHarian
SULTAN SELANGOR KESAL KENYATAAN NURUL IZZAH
  •  Tindakan Naib Presiden PKR boleh pesong fahaman umat Islam
SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan rasa terkejut dan kesal dengan kenyataan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar bahawa masyarakat Melayu tidak perlu dipaksa untuk menerima sebarang agama.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohamad Azib Mohd Isa, berkata baginda menolak sama sekali sebarang pandangan daripada mana-mana pihak bahawa orang Melayu beragama Islam mempunyai kebebasan untuk memilih agama lain dan keluar agama Islam. “Islam adalah salah satu syarat yang menentukan status sebagai seorang Melayu seperti yang diperuntukkan dalam Perkara 160 (2) Perlembagaan Persekutuan.
Amat bahaya

“Oleh itu, pemikiran liberalisme dan pluralisme ini amat bahaya kerana akan menghakis hak kedudukan dan keistimewaan orang Melayu yang sedia termaktub dalam Perlembagaan dan undang-undang negara,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Mohamad Azib berkata, Sultan sebagai Ketua Agama Islam Selangor serta pelindung hak dan kepentingan bangsa Melayu juga menitahkan soal berkaitan agama Islam jangan dipolemikkan dan dijadikan modal politik untuk kepentingan pihak tertentu.

Tindakan itu, titah baginda boleh mengelirukan dan memesongkan fahaman umat Islam berkaitan agama Islam.

Mohamad Azib berkata, sebagai penasihat Sultan Selangor, MAIS akan terus bertegas dalam membantu baginda untuk bersikap waspada, peka dan tegas terhadap mana-mana pihak sama ada secara langsung atau tidak langsung, mencabar kemurnian agama Islam, baik daripada segi fahaman mahupun amalan, khususnya di Selangor. -BHarian