Tuesday, October 1, 2013

MCPF MAHU OPS CANTAS CEGAH JENAYAH JALANAN 

KUALA LUMPUR - Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) berharap kejayaan polis mengurangkan kadar jenayah menerusi Ops Cantas Khas yang dilancarkan sejak 17 Ogos lalu dapat diperluaskan kepada jenayah jalanan.


Naib Presidennya, Tan Sri Lee Lam Thye, berkata kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk meneruskan Ops Cantas Khas amat dialu-alukan kerana operasi berkenaan mampu meningkatkan keyakinan masyarakat dalam soal keselamatan.

Sumber: Berita Harian
KERAJAAN PERLU SEDIA PELAN BANTU GOLONGAN PERTENGAHAN 

Kuala Lumpur: Kerajaan perlu menyediakan pelan membantu golongan pertengahan berpendapatan antara RM2,500 hingga RM5,000 sebulan, yang kini dihimpit bebanan kos sara hidup ekoran kenaikan harga barang.

Pelan itu perlu merangkumi pelbagai inisiatif kerajaan, termasuk skim perumahan bagi mengatasi masalah pemilikan rumah yang dihadapi golongan terbabit.

Cadangan itu disuarakan Datuk Ahmad Hamzah (BN-Jasin) ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan 2013 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, semalam.

Sumber: Berita Harian

KD: Golongan pertengahan = golongan miskin bandar..
KEPUTUSAN PEMILIHAN CEC BUKTI DAP PARTI RASIS

Georgetown: Bekas Naib Pengerusi DAP, Zulkifli Mohd Noor menyifatkan keputusan pemilihan semula Jawatankuasa Kerja Eksekutif (CEC) yang menyaksikan enam pemimpin Melayu tersisih sekali lagi sebagai ‘kemungkaran mengalahkan kebenaran’.

Katanya, keputusan yang tidak berpihak kepada orang Melayu sememangnya sudah dijangka dan dilihat sebagai dirancang secara profesional oleh pemimpin tertentu dalam parti itu.

Sumber: Berita Harian
KEKALKAN KEMATANGAN BERPOLITIK 


Kota Marudu: Kematangan ahli UMNO memastikan jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO tidak ditandingi membantu Datuk Seri Najib Razak fokus di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan dalam pertemuan dengan pemimpin dunia di New York.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, berkata ketiadaan pertandingan dua jawatan tertinggi itu juga bukti ahli dan pemimpin akar umbi menghargai gandingan corak kepemimpinan Najib dan Tan Sri Muhyiddin Yassin menerajui UMNO, Barisan Nasional (BN) serta negara.


Sumber: Berita Harian
412,245 PEMINJAM PTPTN TIDAK BUAT BAYARAN BALIK 

KUALA LUMPUR - Seramai 412,245 peminjam tidak membuat bayaran balik kepada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) sehingga 31 Ogos lepas, kata Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
 
Beliau berkata daripada jumlah itu, kaum Melayu mencatatkan jumlah tertinggi, iaitu seramai 328,550 diikuti Cina (55,445) dan India (28,250).
 
Katanya jumlah keseluruhan peminjam PTPTN ialah 1.24 juta orang.
 
Perkara itu dinyatakan beliau dalam jawapan bertulis kepada soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) di Dewan Rakyat di sini hari ini. -Sinar Harian