Friday, June 15, 2012

MALAYSIA JADI RUMAH KEDUA ORANG JEPUN

Orang Jepun telah mendahului rakyat Iran dalam menjadikan Malaysia sebagai rumah kedua mereka dengan membeli hartanah di Lembah Klang dan beberapa kawasan bandar yang lain.

Menurut Malaysia My Second Home Centre (MM2H), negara Jepun telah berada di tangga teratas sejak tahun lalu, ketika negara matahari terbit itu dilanda bencana tsunami dan krisis kebocoran nuklear di Fukushima.

Kestabilan politik dan pertumbuhan ekonomi Malaysia menjadikannya sebagai pilihan utama kepada masyarakat Jepun.

Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh MM2H menunjukkan jumlah orang Jepun yang menyertai program yang dijalankan oleh mereka meningkat dua kali ganda daripada 195 pada 2010 kepada 423 pada 2011. Sejumlah 787 permohonan daripada orang Jepun telah diluluskan sejak 2009 hingga tahun lepas.

Orang China pula menghuni tangga kedua pada tahun lalu, dengan mencatatkan sebanyak 405 permohonan yang telah diluluskan.

Rakyat Iran yang sebelum ini berada ditangga teratas daripada tahun 2008 hingga 2010 , namun mereka jatuh ditangga ke ditangga ke tiga pada 2011 dan kini berada di tempat keempat selepas rakyat Bangladesh.

Sehingga Mac, seramai 18,090 rakyat asing telah memohon untuk menyertai program yang dijalankan oleh MM2H.

Permohonan yang mendadak diterima oleh rakyat Jepun bertitik tolak daripada pengumuman yang dibuat oleh Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen yang mengalu-alukan kedatangan warga emas Jepun untuk menjadikan Malaysia sebagai rumah kedua mereka.

Beliau berkata jumlah rakyat Jepun yang berusia 65 tahun dan ke atas telah meningkat dan mereka lebih suka tinggal di Malaysia kerana lokasinya yang strategik, maju dalam bidang perubatan serta kos sara hidup yang lebih murah.

Presiden Persatuan Pembangunan Rumah dan Hartanah, Datuk Seri Michael Yam berkata sebahagian daripada polisi Pandang Ke Timur yang diamalkan oleh Malaysia sejak beberapa dekad lalu telah menjadikan orang Jepun selesa dan suka untuk tinggal di sini.

Bukan itu sahaja, penubuhan Sekolah Jepun di Kuala Lumpur pada 1966 turut menjadi salah satu faktor penarik.

Sekolah ini merupakan antara lima sekolah tertua Jepun yang terdapat di luar negara dan ia dibina di satu kawasan yang luas dengan dilengkapi tadika, sekolah rendah dan menengah.

Menurut Yam, inisiatif tersebut secara tidak langsung dapat membina hubungan yang lebih akrab antara dua negara disamping terdapat ramai pelabur asing Jepun di Malaysia pada hari ini.

Sementara itu, menurut Kedutaan Jepun, kesan daripada gempa bumi dan tsunami yang berlaku pada Mac tahun lalu menjadi faktor penolak yang menyebabkan rakyatnya memilih untuk tinggal di Malaysia.

Duta Jepun, Shigeru Nakamura berkata terdapat kira-kira 1,000 pasangan yang menjadikan Malaysia sebagai rumah kedua mereka. (MStar Online)

KD:  Lihatlah betapa hebatnya negara kita, menjadi pilihan dan rebutan rakyat negara luar. Sedangkan rakyat kita sendiri sambil lewa dan kurang patriotik membela bangsa dan negara. Apapun, KD bangga dan rasa bertuah menjadi rakyat Malaysia!!

‘SISTEM SEMAKAN ONLINE’  STATUS SIASATAN POLIS
Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM) akan memperkenalkan Sistem Semakan Online bagi memudahkan urusan setiap pengadu yang membuat laporan kes di balai-balai polis seluruh negara untuk mengetahui perkembangan status siasatannya.

Sistem yang dibangunkan berdasarkan maklumat soal selidik menerusi Penilaian Kepuasan Pelanggan (CSR) di 82 balai polis sekitar Selangor sejak tahun lalu itu, bakal memberi kemudahan kepada orang ramai yang telah membuat pengaduan masalah termasuklah kes jenayah.

Menteri di JPM, Datuk Seri Idris Jala yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pemandu berkata, inovasi berkenaan merupakan salah satu inisiatif kerajaan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kepada orang ramai.

Katanya, pembangunan Sistem Semakan Online itu penting untuk memastikan setiap pengadu tahu tentang perkembangan kes mereka sama ada ia masih dalam siasatan atau telah selesai.
Walau bagaimanapun, pengumuman untuk memperkenalkan Sistem Semakan Online itu akan dilakukan selewat-lewatnya akhir Ogos ini. –(Utusan Malaysia)

KD: Sangat menarik dan berguna!! Sebelum ini, pemandu dengan mudahnya dapat menyemak saman polis dan JPJ di laman web. Kini, apabila sistem ini dilancarkan, rakyat khususnya pengadu yang membuat laporan polis, pasti lebih mudah mendapat maklumat atau perkembangan aduan mereka melalui sistem ini.

AKADEMI UNDANG-UNDANG

Isu mengenai Akademi Undang-undang semakin hangat diperkatakan. Namun pastinya, ramai di luar sana masih kurang jelas mengenai akademi ini. Di sini, beberapa info ringkas mengenainya:
  • Akademi Undang-undang adalah sebuah organisasi alternatif kepada majlis Peguam
  • Ia boleh dianggotai oleh semua pihak yang berlatar belakang pendidikan undang-undang selain Majlis Peguam yang keanggotaannya hanya terhad kepada pengamal undang-undang.
  • Akademi ini menjadi medium bagi individu yang mempunyai pengetahuan undang-undang, tetapi tidak mengamalkan undang-undang untuk memberi pandangan serta berkongsi kepakaran dalam isu berkaitan,
  • Cara pemilihan anggota Akademi adalah sama dengan pemilihan anggota Majlis Peguam, dan menegaskan penubuhan akademi ialah untuk meningkatkan standard profesion guaman ke tahap yang lebih tinggi.


Kenyataan dari pihak kerajaan:
  • Kerajaan akan meneruskan cadangan menubuhkan Akademi Undang-undang tanpa perlu mendapat persetujuan daripada Majlis Peguam. Akademi itu tidak mengambil anggota dari kalangan anggota Majlis Peguam sebaliknya ia badan yang mewakili profesion perundangan secara menyeluruh termasuk ahli akademik dan bekas hakim. –Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (Mstar)  
  • Cadangan penubuhan Akademi Undang-Undang bukan bertujuan menandingi Majlis Peguam sebaliknya menjadi pelengkap di samping memperkembangkan sistem perundangan negara, Persidangan Dewan Rakyat diberitahu pada Isnin. Ia bagi mewakili anggota profesion perundangan secara menyeluruh melibatkan pelbagai golongan seperti anggota badan kehakiman, ahli akademik, pengamal undang-undang di Jabatan Peguam Negara, bekas hakim dan sebagainya. – Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong (Mstar)


Kenyataan dari pihak pembangkang:
  • Kerajaan dilihat tidak mempunyai alasan yang kukuh untuk membentuk Akademi Undang-undang selepas tidak berpuas hati dengan Majlis Peguam ekoran laporan terhadap Bersih 3.0. Beliau mempertikaikan alasan kerajaan menubuhkan akademi undang-undang dengan alasan akademi itu untuk mahasiwalepasan universiti yang baru mendalami undang-undang. Ahli Parlimen Datuk Mahfuz Omar (Harakahdaily)
  • Cadangan Kerajaan menghidupkan kembali Malaysian Academy of Law Bill sebagai organisasi baru selain Majlis Peguam untuk mewakili golongan itu dilihat cubaan mensabotaj demokrasi. Beliau melihat cadangan itu tidak ubah seperti penubuhan Jawatankuasa Kemajuan & Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) oleh pusat, di negeri yang dimenangi Pakatan Rakyat selepas PRU 2008 lalu. -Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkefly Ahmad (Dr. Dzul's Blog)
KD: Itulah dia serba sedikit mengenai Akademi Undang-undang. Mungkin ia masih baru, jadi fungsinya masih tidak jelas. Walau bagaimanapun, setiap penubuhan akademi pasti ada kewajarannya.



96 PELATIH PLKN DUSUN RESORT DIKUARANTIN KERANA VIRUS H1N1


KUALA NERANG: Seramai 96 daripada 300 pelatih Program Latihan Khidmat Negara kem Dusun Resort dekat sini dikuarantin kerana dijangkiti virus H1N1 sejak malam Rabu.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata seramai 18 pelatih sedang dirawat dan dikuarantin di Hospital Kuala Nerang manakala 78 lagi dikuarantin di blok khas di kem itu.

"Jabatan kesihatan sedang memantau kes tersebut dan langkah pencegahan telah diambil oleh pihak pengurusan kem bagi memastikan virus itu tidak merebak," katanya ketika dihubungi di sini Khamis.

Beliau berkata pihak pengurusan kem juga mematuhi prosedur yang ditetapkan oleh jabatan kesihatan dan beberapa petugas jabatan kesihatan turut ditempatkan di kem berkenaan.

"Buat masa ini, semua pelatih dan kakitangan kem itu tidak dibenarkan keluar dari kem sehingga diberitahu kelak", katanya.

Abdul Hadi menasihati ibu bapa supaya tidak datang melawat pelatih dan hanya dibenarkan menghubungi mereka (pelatih) jika perlu.

"Tetapi kalau ada perkara yang penting dan perlu berjumpa dengan pelatih, mereka (ibu bapa) boleh datang tapi perlu memakai mask.

"Ibu bapa tidak perlu risau kerana langkah pengawalan dan pencegahan sedang dilakukan di kem tersebut," katanya.

Beliau berkata semua pelatih yang terlibat adalah pelatih daripada kumpulan dua 2012. - BERNAMA