Monday, October 22, 2012

GST, CUKAI KEKAYAAN SERENTAK

KUALA LUMPUR 21 Okt. - Kerajaan disaran melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dan cukai kekayaan (wealth tax) serentak bagi mengelakkan isu ketidakadilan terhadap golongan pertengahan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan BoardRoom Ltd., Kim Teo berkata, memandangkan pelaksanaan GST sebelum ini dikatakan akan membebankan golongan kelas pertengahan kerana mereka merupakan kumpulan pengguna utama dalam ekonomi, pengenalan cukai kekayaan dapat merapatkan jurang antara golongan kaya dan pertengahan.

''Pengenalan GST merupakan kaedah paling berkesan bagi kerajaan mewujudkan aliran pendapatan baharu, dan pada masa yang sama mengurangkan penggantungan ke atas pendapatan menerusi petroleum. –UtusanOnline
HARGA ROKOK NAIK 20 SEN 

KUALA LUMPUR 21 Okt. - British American Tobacco Malaysia (BAT Malaysia) telah mengumumkan peningkatan 20 sen kepada harga semua rokoknya mulai esok.

"Kami dimaklumkan secara rasmi oleh Kastam Diraja Malaysia pada Khamis 18 Oktober tentang kenaikan yang dimandatkan dalam harga luar kilang rokok-rokok kami antara 26 peratus hingga 58 peratus berkuat-kuasa Jumaat, 19 Oktober 2012.

"Berikutan itu, cukai eksais dan jualan telah dinaikkan," kata Pengarah Urusan BAT Malaysia, William Toh dalam satu kenyataan.
 
Harga baharu rokok  adalah seperti berikut:-

Rangkaian DUNHILL - RM10.20
Rangkaian KENT - RM10.20
Rangkaian PETER STUYVESANT - RM8.70
Rangkaian PALL MALL - RM8.70
PALL MALL Biasa - RM10.60
BENSON & HEDGES - RM10.20
LUCKY STRIKE PLAIN - RM10.60
ROTHMANS INTERNATIONAL - RM10.60

BAT Malaysia adalah sebahagian daripada kumpulan British American Tobacco, yang merupakan kumpulan tembakau paling antarabangsa dunia dan kumpulan tembakau tersenarai yang kedua terbesar dunia. –BERNAMA/UtusanOnline
PRU-13 SESUAI BILA-BILA MASA DARI SEKARANG - TUN M

SERI ISKANDAR: Pilihan raya umum ke-13 sesuai diadakan bila-bila masa sahaja, termasuk pada tahun ini namun terpulang kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk memilih tempoh yang sesuai, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bekas Perdana Menteri berkata sama ada diadakan hujung tahun ini atau awal tahun depan iaitu sebelum mandat lima tahun Barisan Nasional (BN) tamat, bila-bila masa dari sekarang juga merupakan masa yang baik untuk mengadakan pilihan raya.

"Bergantung kepada Datuk Seri Najib apa keputusannya. Pandangan saya adalah pandangan saya. Saya fikir kita sudah sampai penghujung, ia tidak menjadi masalah sama ada akhir tahun ini atau awal tahun depan," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis konvokesyen Universiti Teknologi Petronas (UTP) di sini, Ahad.

Beliau berkata Barisan Nasional (BN) boleh menunggu waktu yang sesuai untuk memuktamadkan tarikh pembubaran Parlimen bagi memberi laluan kepada pilihan raya umum namun ini juga memberi peluang kepada parti pembangkang untuk membuat persediaan.

Dr Mahathir berkata beliau tidak menolak kemungkinan pilihan raya diadakan pada tahun ini juga. –BERNAMA/mStar