Wednesday, November 20, 2013

5 KAEDAH LAKSANA HUDUD

SHAH ALAM - Pensyarah kanan Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Mohamad Agus Yusoff menjelaskan bahawa terdapat lima kaedah yang sesuai untuk merealisasikan perlaksanaan hudud di Kelantan.

Menurutnya, Jika Pas  benar-benar hendakkan hudud ini dilaksanakan,maka  penyelesaian undang-undang atau politik hendaklah dicari, maka beliau mengesyorkan lima kaedah yang boleh diguna pakai bagi merealisasikan hasrat ini.

"Saya pada awalnya tidak mahu menyentuh tentang hal ini, tetapi melihat kepada banyaknya kesan negatif kepada hukum hudud itu sendiri jika penjelasan tidak dibuat, akhirnya saya muncul memberikan pandangan.

"... ini kerana saya melihat ramai rakyat yang keliru dengan pelbagai pandangan dari pakar dan pemimpin politik yang saling bercanggah. Saya sedih dengan keadaan ini dan sebab itulah saya menyeru supaya kita berhentilah mempolitikkan hudud, sebaliknya carilah kaedah sesuai untuk membolehkan hudud ini dilaksanakan," katanya yang dipetik daripada laman Facebook miliknya.

Menjelas perkara tersebut, lima kaedah yang disyorkan oleh beliau ialah antaranya berkaitan dengan Akta Mahkamah Syariah,meminta kebenaran daripada kerajaan pusat,membentang rang-rang undang persendirian,pinda atau mansuh bidang kuasa jenayah 1965 dan Ahli Parlimen Islam bersatu mencari penyelesian terbaik.

"Lalu, apakah kaedahnya? (untuk merealisasikan hudud) ada lima sahaja yang hendak saya katakan di sini.

"Pertama, cabar Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 di mahkamah untuk mendapat satu keputusan autoritatif sama ada ia sah sebagai undang-undang atau sebaliknya.

"Kedua, bagi negeri Kelantan khususnya, minta kerajaan pusat memberi kebenaran supaya Enakmen Hudud Jenayah II Kelantan 1993 dilaksanakan mengikut peruntukan Perkara 76(1)(c).

"...ketiga, mana-mana ahli parlimen yang hendak melaksanakan hukum ini, bentanglah rang undang-undang persendirian meminta kelulusan Parlimen untuk melaksanakan hukum ini di seluruh persekutuan atau mana-mana negeri yang dimaksudkan.

"Keempat, bentangkan usul supaya Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 dimansuhkan atau dipinda.

"... Dan yang terakhir, Pas  dan Umno yang ahli parlimennya adalah orang Islam (campur dengan ahli parlimen Islam dari Sarawak) perlu duduk semeja dan berunding untuk mencari penyelesaian terbaik kepada cara untuk merealisasikan hasrat untuk melaksanakan hukum hudud ini.

"Atas hujah di ataslah, saya katakan jika semua pihak tidak bersedia untuk melakukan salah satu dari lima yang saya sebutkan, maka cukuplah dipolitikkan hukum hudud ini. Menyatakan cukuplah politikkan hukum hudud ini bukanlah bermaksud saya menolak hudud," katanya.

Dalam nada yang sama, Agus menegaskan beliau sama sekali tidak menyatakan bahawa beliau menolak perlaksanaan hudud sebaliknya beliau menegaskan hudud hanya boleh dilaksanakan dengan persetujuan daripada kerajaan pusat.

"Apabila saya menyatakan hudud tidak boleh dilaksanakan tanpa persetujuan kerajaan Pusat, beberapa rakan FB memberi pandangan balas.

"... ada yang tanpa memahami lebih lanjut menuduh saya menolak dan menentang hudud. Nauzubillah.

"Saya tidak menolak dan menentang hudud. Saya katakan, hudud tidak boleh dilaksanakan tanpa kelulusan Parlimen, yakni tanpa kerjasama dari kerajaan Pusat. Itu yang saya tulis," jelasnya.

Sumber: Sinar Harian

PAS ANCAM TARIK DIRI DARIPADA KERAJAAN P.PINANG

PERAI - Pas Pulau Pinang akan menarik diri dan melepaskan semua jawatan dalam Kerajaan Negeri Pulau Pinang sekiranya terdapat campur tangan tertentu dalam hal ehwal Islam di sini.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Negeri, Muhammad Fauzi Yusoff berkata, pihaknya menuntut supaya Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Salleh Man diberikan kuasa penuh dalam bidang tugas beliau.

Menurutnya, difahamkan ada berlaku campur tangan yang tidak wajar oleh Exco Kerajaan Negeri dalam menetapkan jawatan Ahli-ahli Majlis MAINPP, pengerusi dan ahli lembaga pengarah untuk sesi pemilihan akan datang.

“Ini merupakan tindakan yang bertentangan dengan etika dan amat dikesali sekiranya benar.

“Selain itu, kami mahu bilangan ahli majlis yang dilantik dalam Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) ditambah kuotanya dari dua kepada empat orang,” katanya dalam sidang media khas yang diadakan di Safira Country Club, hari ini.

Beliau berkata, kesemua sayap parti meminta Pas supaya lebih bertegas dengan kerajaan negeri bagi memastikan posisi dan peranan yang dimainkan dalam pentadbiran lebih seimbang.

“Tindakan kerajaan negeri mengadakan perbincangan sesuatu dasar mahupun polisi tanpa membabitkan Pas menampakkan kami seolah-olah seperti boneka. dan kami tidak akan mengiktiraf mana-mana individu dari luar parti yang dilantik secara politik tanpa melalui perbincangan dan persetujuan Pas negeri.

“Jika tuntutan yang dibuat tidak diambil serius maka kami akan menarik diri dan meletak jawatan atau posisi jawatan malah akan kedudukan dalam pakatan pembangkang akan dikaji semula demi menjaga maruah dan prinsip parti,” katanya.

Muhammad Fauzi berkata, permintaan yang disuarakan itu mewakili akar umbi ahli Pas negeri ini.

“Kami mahu Pas negeri diberi kuasa penuh untuk memilih dan melantik Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) di dua Parlimen dan enam Dun yang ditandingi Pas.

“Permintaan ini bersesuaian dengan sumbangan yang kami berikan kepada kerajaan negeri selama ini,” katanya.

Beliau berkata, surat-surat permohonan yang dihantar kepada kerajaan negeri tidak dijawab menyebabkan Badan Perhubungan Pas Negeri terpaksa menyuarakan permintaan itu menerusi sidang media.

“Kerajaan negeri mungkin terlalu sibuk bertemu rakyat sehingga tiada masa untuk memberi jawapan namun diharapkan menerusi cara ini (sidang media), mereka akan sedar akan permintaan yang disuarakan.

“Tuntutan ini selaras dengan slogan yang dilaungkan walaupun ia tidak dipraktikkan kerajaan negeri buat masa ini,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

HUDUD: PAS TAK AKAN BERUNDUR JIKA DIKECAM

SHAH ALAM - Pas tidak akan berundur kebelakang untuk merealisasikan pelaksanaan hudud di Kelantan walaupun mendapat kecaman daripada parti perikatan PR.
 
Naib Presidennya, Salahuddin Ayub berkata, Pas akan konsisten dalam keputusan tersebut dan perlu diteruskan walaupun rakan PR yang lain menyuarakan kebimbangan mengenai pelaksanaan hukum hudud.

"Kita tak rasa takut untuk perkara ini, ini kerana kita konsisten.

"Semua itu telah difahami DAP dan PKR dalam PR.

"Kecaman itu tak menjadi isu, kita akan terus memberi kefahaman kepada masyarakat bukan Islam mengenai perkara ini.

"Kita juga tak akan berundur kebelakang apabila ada orang kecam kita, seperti PRU lalu, akhirnya kita lihat orang Cina boleh kata hudud pun hududlah sebab mereka mahukan perubahan," katanya ketika wawancara eksklusif di ibu Pejabat Pas, di sini, hari ini.

Tambahnya, perkara tersebut juga telah serta perlu difahami DAP dan PKR mengenai perjuangan yang dibawa oleh Pas.

"Kita terima kalau parti lain nak berbeza pendapat dengan kita, itu hak mereka," ujarnya.

Mengikut laporan media, Kelantan akan melaksanakan hudud ekoran kelengkapan prasarana untuk perkara itu telah ada.

Kerajaan negeri itu juga dilaporkan akan memperuntukkan RM1 juta untuk merealisasikan undang-undang Islam tersebut.

Terbaru, Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata Muktamar Pas ke-59, pada 20 hingga 24 November ini akan membahaskan usul hudud sekaligus mencari resolusi untuk diketengah kepada Kerajaan Pusat.

Dalam perkembangan sama, Salahuddin yang juga bekas Ahli Parlimen Kubang Kerian menegaskan usaha berterusan untuk memberi pemahaman kepada masyarakat bukan Islam perlu diteruskan.

Katanya, melalui usaha tersebut tidak mustahil undang-undang Islam itu akan diterima oleh golongan itu.

"Saya cukup yakin dan percaya sekiranya Pas memberi kefahaman sebenarnya dan pihak kerajaan bagi ruang, kita akan berjaya laksanakannya.

"Saya juga lihat situasi apabila orang bukan Islam melihat jenayah negara makin menggerunkan serta menakutkan, telah ada suara di peringkat bawahan hatta ahli perniagaan Cina sendiri menyatakan hukum hudud bagus untuk dilaksnakan dan selesaikan perkara itu.

"Jadi perkara ini saya rasa cukup memberi gambaran kepada saya untuk teruskan perjuangan dan akhirnya mereka (bukan Islam) faham apa hudud sebenarnya," jelasnya lagi.

Sumber: Sinar Harian