Wednesday, November 20, 2013

 HUDUD DI KELANTAN SATU PETANDA BAIK

BANGI - Pendirian Kelantan untuk melaksanakan hudud di negeri itu dilihat sebagai satu petanda baik, kata Pegawai Penyelidik Agama Kanan Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri Brunei, Mas Reduan Jumat.

Beliau berkata, usaha Kelantan dilihat mampu menjadi pendorong kepada Malaysia mengikut jejak Kerajaan Brunei dalam menjalankan hukum Islam itu.

"Situasi di Malaysia saya tidak pasti. Saya tak berani cakap akan laksana hudud, tetapi apa yang saya baca dalam surat khabar, Kelantan sekarang ini ingin laksanakannya.

"Saya nampak mungkin mudah-mudahan Malaysia juga akan ikut jejak langkah Brunei," katanya selepas membentangkan kertas kerja bertajuk Sumbangan Ulama Bermazhab Syafie kepada Ilmu dan Pembangunan Masyarakat di Negara Brunei di Simposium Serantau Ahli Sunnah Wal Jamaah 2013 yang dirasmikan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas adakah beliau yakin Malaysia selaku negara jiran mampu laksana hudud seperti yang akan dilaksanakan Brunei bermula April tahun hadapan.

Ditanya sama ada terdapat wakil Malaysia yang membuat lawatan ke negara itu untuk melihat persediaan kerajaan itu melaksanakan hudud, beliau berkata, setakat ini belum ada sebarang wakil Malaysia ke Brunei untuk lihat pelaksanaan hudud.

Mengenai kejayaan Brunei melaksanakan hukum Islam, Mas Reduan berkata, negara itu berjaya menerapkan nilai-nilai Islam di dalam negara itu dengan baik adalah disebabkan oleh fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti Kerajaan Brunei.

Katanya, fatwa yang berlandaskan syariat Islam itu diterima baik dalam  kalangan masyarakat awam dan menjadi sumber penentuan dasar pentadbiran kerajaan.

Menurutnya, sehingga ke hari ini kelab malam tidak dibenarkan di Brunei kerana akan menularnya masalah maksiat dalam kalangan masyarakat dan ia bagi mengelak perbelanjaan kerajaan untuk memperbaiki akhlak rakyat.

“Di Brunei juga fatwa pengharaman arak telah dilaksanakan di mana ia mengancam masyarakat justeru akhirnya arak berjaya diharamkan pengedaran dan penjualannya di sana.

“Mufti kerajaan juga sangat teliti dalam pengimportan daging ke Brunei. Ia perlu dikawal dengan betul dan dilaksanakan oleh orang yang amanah serta faham akan erti halal haram,” katanya.

Beliau berkata, fatwa mengenai rokok juga turut dititikberatkan kerana Kementerian Kesihatan Brunei menjelaskan menghisap rokok penyebab utama kanser paru-paru dan pembunuh nombor satu di sana.

“Selain itu, penghantaran pegawai kerajaan ke luar negeri juga turut difatwakan terutamanya melibatkan bukan muhrim bagi mengelakkan pandangan negatif,” katanya.

Tambahnya, pelantikan Mufti Kerajaan selaku ulama yang berpegang kepada mazhab Syafie turut memberi kesan baik kepada masyarakat setempat.

“Peranan yang dimainkan Mufti kerajaan dalam memelihara dan menyokong ketinggian agama Islam di Brunei berjaya mentransformasikan corak pemikiran masyarakat berlandaskan syariat Islam,” katanya.

Pada masa sama ketika diminta mengulas adakah terdapat penularan fahaman Syiah di negara itu, Mas Reduan berkata,  beliau tidak menafikan ia ada tetapi tidak begitu serius.

"Di Brunei kita sentiasa ambil maklum mengenai isu pengaruh penularan Syiah yang berlaku di Malaysia dan pemantauan yang ketat telah dijalankan.

"Sekarang kita pantau agar tidak merebak masuk ke Brunei secara terang atau tersembunyi. Maklum balas daripada orang awam sangat penting juga bagi mengelak kejadian ini," katanya.

Sumber: Sinar Harian


No comments:

Post a Comment