Showing posts with label Kelantan. Show all posts
Showing posts with label Kelantan. Show all posts

Wednesday, November 20, 2013

 HUDUD DI KELANTAN SATU PETANDA BAIK

BANGI - Pendirian Kelantan untuk melaksanakan hudud di negeri itu dilihat sebagai satu petanda baik, kata Pegawai Penyelidik Agama Kanan Jabatan Mufti Kerajaan, Jabatan Perdana Menteri Brunei, Mas Reduan Jumat.

Beliau berkata, usaha Kelantan dilihat mampu menjadi pendorong kepada Malaysia mengikut jejak Kerajaan Brunei dalam menjalankan hukum Islam itu.

"Situasi di Malaysia saya tidak pasti. Saya tak berani cakap akan laksana hudud, tetapi apa yang saya baca dalam surat khabar, Kelantan sekarang ini ingin laksanakannya.

"Saya nampak mungkin mudah-mudahan Malaysia juga akan ikut jejak langkah Brunei," katanya selepas membentangkan kertas kerja bertajuk Sumbangan Ulama Bermazhab Syafie kepada Ilmu dan Pembangunan Masyarakat di Negara Brunei di Simposium Serantau Ahli Sunnah Wal Jamaah 2013 yang dirasmikan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas adakah beliau yakin Malaysia selaku negara jiran mampu laksana hudud seperti yang akan dilaksanakan Brunei bermula April tahun hadapan.

Ditanya sama ada terdapat wakil Malaysia yang membuat lawatan ke negara itu untuk melihat persediaan kerajaan itu melaksanakan hudud, beliau berkata, setakat ini belum ada sebarang wakil Malaysia ke Brunei untuk lihat pelaksanaan hudud.

Mengenai kejayaan Brunei melaksanakan hukum Islam, Mas Reduan berkata, negara itu berjaya menerapkan nilai-nilai Islam di dalam negara itu dengan baik adalah disebabkan oleh fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti Kerajaan Brunei.

Katanya, fatwa yang berlandaskan syariat Islam itu diterima baik dalam  kalangan masyarakat awam dan menjadi sumber penentuan dasar pentadbiran kerajaan.

Menurutnya, sehingga ke hari ini kelab malam tidak dibenarkan di Brunei kerana akan menularnya masalah maksiat dalam kalangan masyarakat dan ia bagi mengelak perbelanjaan kerajaan untuk memperbaiki akhlak rakyat.

“Di Brunei juga fatwa pengharaman arak telah dilaksanakan di mana ia mengancam masyarakat justeru akhirnya arak berjaya diharamkan pengedaran dan penjualannya di sana.

“Mufti kerajaan juga sangat teliti dalam pengimportan daging ke Brunei. Ia perlu dikawal dengan betul dan dilaksanakan oleh orang yang amanah serta faham akan erti halal haram,” katanya.

Beliau berkata, fatwa mengenai rokok juga turut dititikberatkan kerana Kementerian Kesihatan Brunei menjelaskan menghisap rokok penyebab utama kanser paru-paru dan pembunuh nombor satu di sana.

“Selain itu, penghantaran pegawai kerajaan ke luar negeri juga turut difatwakan terutamanya melibatkan bukan muhrim bagi mengelakkan pandangan negatif,” katanya.

Tambahnya, pelantikan Mufti Kerajaan selaku ulama yang berpegang kepada mazhab Syafie turut memberi kesan baik kepada masyarakat setempat.

“Peranan yang dimainkan Mufti kerajaan dalam memelihara dan menyokong ketinggian agama Islam di Brunei berjaya mentransformasikan corak pemikiran masyarakat berlandaskan syariat Islam,” katanya.

Pada masa sama ketika diminta mengulas adakah terdapat penularan fahaman Syiah di negara itu, Mas Reduan berkata,  beliau tidak menafikan ia ada tetapi tidak begitu serius.

"Di Brunei kita sentiasa ambil maklum mengenai isu pengaruh penularan Syiah yang berlaku di Malaysia dan pemantauan yang ketat telah dijalankan.

"Sekarang kita pantau agar tidak merebak masuk ke Brunei secara terang atau tersembunyi. Maklum balas daripada orang awam sangat penting juga bagi mengelak kejadian ini," katanya.

Sumber: Sinar Harian


PELAKSANAAN HUDUD PERLU SECARA MENYELURUH

PUTRAJAYA - Pelaksanaan hukum hudud harus diteliti secara menyeluruh kerana sebaik sahaja menjadi perlembagaan dan undang-undang, ia harus dilaksanakan dengan baik, kata Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Sambil menyarankan hukum hudud dilaksanakan terlebih dahulu di semua negeri  di bawah pentadbiran pembangkang, beliau berkata, Pas tidak harus meletakkan bebanan pelaksanaan hukum hudud kepada kerajaan Pusat.

"Seharusnya pakatan pembangkang sudah berpakat mengenai hal ini dan melaksanakannya di negeri-negeri yang mereka terajui," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian Sinergi Perdana Sdn Bhd sebagai pengedar eksklusif produk cuka getah Hiska keluaran Hiska Sinergi Sdn Bhd di sini, semalam.

“Pas melaungkan mereka sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam namun di dalam manifesto Pakatan Rakyat yang lalu langsung tidak disebut mengenai hukum hudud, sebaliknya meminta kerajaan untuk campur tangan dalam hal ini.

“Mereka (Pas) meletakkan bebanan pelaksanaan hukum hudud ini kepada kerajaan, dan sepatutnya mereka memperincikan dahulu mengenai perkara ini di setiap negeri di bawah mereka termasuk Pulau Pinang dan bukan hanya dilaksanakan di Kelantan,” katanya.

Mohd Shafie mengulas kenyataan Ketua Hakim Syarie Kelantan Datuk Daud Muhammad pada Rabu lepas bahawa Mahkamah Syariah Kelantan sudah bersedia melaksanakan hukum hudud atau Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 jika kerajaan negeri menguatkuasakan undang-undang itu.

“Dalam bab agama, kuasa-kuasa tertentu telah diberikan di peringkat negeri-negeri. Namun kita juga perlu meneliti terlebih dahulu kesan perundangan (hukum hudud) di peringkat Persekutuan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mengumumkan mini Karnival Usahawan Desa (KUD) akan diadakan di setiap zon di seluruh negara pada tahun hadapan.

“Penganjuran mini karnival ini adalah berdasarkan sambutan yang amat menggalakkan terhadap penganjuran KUD 2013 baru-baru ini,” katanya.

Menteri itu turut memaklumkan Kolej Risda akan dinaik taraf kepada kolej universiti yang akan dikenali sebagai Kolej Universiti Agrosains tidak lama lagi. – Bernama

Sumber: Sinar Harian

Tuesday, November 19, 2013

LAKSANA HUDUD DI KELANTAN HANYA 'PERMULAAN'

SHAH ALAM - Kelantan akan menjadi "permulaan" bagi Pas untuk meneruskan pelaksanaan hukum hudud di negeri bawah naungan PR yang lain, kata Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub.

Salahuddin AyubMenurutnya, jika Kelantan berjaya melaksanakan hukum hudud, ia akan menjadi pemangkin kepada pelaksanaannya di negeri-negeri PR yang lain.

"Ini (Kelantan) sebagai permulaan untuk diteruskan di negeri PR yang lain," katanya kepada Sinar Harian Online, hari ini.

Terdahulu, Ketua Penerangan Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Pas akan mendesak kerajaan PR yang lain untuk melaksanakan hukum hudud di negeri-negeri yang dinaungi parti perikatan itu.

Tuan Ibrahim berkata, perkara mengenai undang-undang syariat Islam dan hukum hudud akan dibahaskan pada Muktamar Pas ke-59 yang akan bermula Rabu ini.

Tambahnya, jika Kelantan berjaya melaksanakan hudud, maka wajar Pas mencadangkan undang-undang itu diperkenalkan di negeri PR yang lain.

"Kalau Kelantan berjaya, baru boleh kita cadangkan ia dilaksnakan di negeri PR lain," ujarnya.

Bagaimanapun, Salahuddin yang juga bekas ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, bantuan daripada kerajaan Pusat dan pihak yang terbabit perlu untuk merealisasikan hukum hudud itu terutama di negeri Kelantan.

Sumber: Sinar Harian


Monday, November 18, 2013

TOLONG KELANTAN LAKSANA HUDUD

SHAH ALAM – “Tolong bantu kerajaan Kelantan untuk laksanakan enakmen hudud,” kata Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan ketika mengulas kenyataan Ketua Peguam Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhammad, sebelum ini.

Menurut Takiyuddin, mereka yang berpendapat kerajaan Kelantan mampu melaksanakan seharusnya membantu untuk memberitahu bagaimana cara untuk melaksanakan undang-undang ini dan bukannya hanya beri pandangan semata-mata.

Takiyuddin
“Secara umum enakmen hudud ini telah diluluskan oleh dewan undangan negeri Kelantan 1993 dan beberapa pakar undang-undang dan perlembagaan termasuk Ketua Hakim Syarie Kelantan berpendapat enakmen ini boleh dilaksanakan.

“Ia tidak harus terhenti di situ malah pihak-pihak ini seharusnya membantu kerajaan negeri menyenaraikan perkara-perkara yang perlu dilakukan untuk melaksanakan enakmen tersebut,” katanya.

Sebelum ini, Daud memberitahu bahawa Mahkamah Syariah Kelantan kini sudah mampu untuk menguruskan pelaksanaan undang-undang hudud jika kerajaan Kelantan pimpinan Pas mampu menguatkuasakan undang-undang berkenaan di negeri ini.

Takiyuddin berkata, pihak terbabit tidak perlu memperbesarkan isu ini sedangkan tiada sebarang usaha untuk membantu kerajaan negeri untuk melaksanakannya.

“Sebagai ketua hakim yang mengendalikan perundangan Syarie di Kelantan, saya rasa elok jika beliau (Daud Muhammad) memberitahu kerajaan negeri apa yang perlu dilakukan daripada pelbagai aspek yang perlu bukannya serah sebulatnya kepada kerajaan semata-mata.

“Tidak perlu membuat bising-bising di media mengatakan enakmen boleh dilaksanakan tapi gagal dilakukan kerajaan negeri," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Md Ramli pula meminta agar Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Anuar Musa membawa usul tersebut ke parlimen.

“Saya dengar Tan Sri Anuar Musa nak bawa usul itu ke parlimen, biarlah usul tersebut dibawa oleh beliau,” katanya ketika diminta mengulas sama beliau atau ahli Parlimen Kelantan yang lain akan membawa usul Hudud ke Dewan Rakyat.

Sumber: Sinar Harian