Monday, November 18, 2013

TOLONG KELANTAN LAKSANA HUDUD

SHAH ALAM – “Tolong bantu kerajaan Kelantan untuk laksanakan enakmen hudud,” kata Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan ketika mengulas kenyataan Ketua Peguam Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhammad, sebelum ini.

Menurut Takiyuddin, mereka yang berpendapat kerajaan Kelantan mampu melaksanakan seharusnya membantu untuk memberitahu bagaimana cara untuk melaksanakan undang-undang ini dan bukannya hanya beri pandangan semata-mata.

Takiyuddin
“Secara umum enakmen hudud ini telah diluluskan oleh dewan undangan negeri Kelantan 1993 dan beberapa pakar undang-undang dan perlembagaan termasuk Ketua Hakim Syarie Kelantan berpendapat enakmen ini boleh dilaksanakan.

“Ia tidak harus terhenti di situ malah pihak-pihak ini seharusnya membantu kerajaan negeri menyenaraikan perkara-perkara yang perlu dilakukan untuk melaksanakan enakmen tersebut,” katanya.

Sebelum ini, Daud memberitahu bahawa Mahkamah Syariah Kelantan kini sudah mampu untuk menguruskan pelaksanaan undang-undang hudud jika kerajaan Kelantan pimpinan Pas mampu menguatkuasakan undang-undang berkenaan di negeri ini.

Takiyuddin berkata, pihak terbabit tidak perlu memperbesarkan isu ini sedangkan tiada sebarang usaha untuk membantu kerajaan negeri untuk melaksanakannya.

“Sebagai ketua hakim yang mengendalikan perundangan Syarie di Kelantan, saya rasa elok jika beliau (Daud Muhammad) memberitahu kerajaan negeri apa yang perlu dilakukan daripada pelbagai aspek yang perlu bukannya serah sebulatnya kepada kerajaan semata-mata.

“Tidak perlu membuat bising-bising di media mengatakan enakmen boleh dilaksanakan tapi gagal dilakukan kerajaan negeri," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Md Ramli pula meminta agar Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Anuar Musa membawa usul tersebut ke parlimen.

“Saya dengar Tan Sri Anuar Musa nak bawa usul itu ke parlimen, biarlah usul tersebut dibawa oleh beliau,” katanya ketika diminta mengulas sama beliau atau ahli Parlimen Kelantan yang lain akan membawa usul Hudud ke Dewan Rakyat.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment