Showing posts with label Innoncence. Show all posts
Showing posts with label Innoncence. Show all posts

Sunday, September 23, 2012

PADERI JUGA KESAL FILEM HINA ISLAM
Paderi Sebastian

PULAU PINANG: Selain masyarakat Islam seluruh dunia menentang filem 'Innocence Of Muslims' yang menghina Nabi Muhamad saw hasil arahan  Sam Basile yang memulakan tayangan pada 2 Julai lalu melalui Yuotube beberapa orang paderi Kristian yang ditemui di Pulau Pinang juga kesal dan marah terhadap isu berkenaan.
Bagi mereka agama yang dijadikan Tuhan bukan untuk bermusuh sebaliknya mengenali sesama sendiri kerana masing- masing agama mempunyai kelebihan tersendiri yang mencorak umatnya melakukan kebaikan dan menghormati antara satu sama lain.
Bishop Sebastian Francis yang ditemui di Cathedral Of The Holy Sprit, Glugor menambah,  cara yang dibuat oleh pengarah dan penerbt filem itu sebenarnya bukan cara atau budaya orang Kristian sebaliknya dipengaruhi oleh anasir yang kurang sopan.
"Kami dari Kristian cukup kecewa dan tidak sekali-kali bersetuju dengan filem yang nyata tidak bermoral.  Padahal agama yang dijadikan oleh Tuhan semuanya membawa kepada kebaikan bukan mencari pergaduhan," tegasnya yang telah 35 tahun bertugas sebagai Bishop dibeberapa buah negeri.
Father Bernerd
Sementara itu seorang lagi Paderi, Father Bernerd Paul pula kesal terhadap pengarah dan penerbit yang mengeluarkan filem berbentuk penghinaan terhadap agama Islam.
Pihak yang bertanggungjawab juga sewajarnya, bertimbang rasa dan tahu apakah risikonya menayangkan filem yang bermatlamat menghina Islam yang menjadi agama pilihan ramai penduduk dunia.
"Pengarah filem Innocence Of Muslims atau  penerbitnya hendaklah menghormati sentiviti Umat Islam dengan memohon maaf kerana mengeluarkan filem tersebut.  Inilah cara untuk meredakan kemarahan Umat Islam terhadap mereka, " jelasnya.
Perkembangan terbaru, setelah diasak oleh ramai masyarakat Islam seorang aktres wanita yang membintangi filem tersebut, Cindy Lee Garcia menyaman penerbit filem itu, Nakoula Basseley Nakoula kerana tertipu dengan skrip yang bertujuan menghina Nabi Muhamad s.a.w.
Beliau juga mengesa Google mengeluarkan segera klip video yang mengundang kemarahan Umat Islam seluruh dunia dari dalam talian sebabtidak menyedari skripnya mengandungi unsur anti Islam. -Harakahdaily

Friday, September 21, 2012

KECAM INNOCENCE OF MUSLIMS


KUALA LUMPUR 20 Sept. - Majlis Tertinggi UMNO mengecam dan mengutuk kenyataan tidak bertanggungjawab Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham yang mempertikai tindakan umat Islam bangkit membantah penyiaran filem anti-Islam Innocence of Muslims.

Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kenyataan Koo Ham itu jelas memperlekeh umat Islam selain membuktikan DAP sebuah parti yang langsung tidak peka dengan isu-isu berkaitan dengan kepentingan masyarakat Islam.

Malah katanya, permohonan maaf yang dibuat Pengerusi DAP Perak itu hanya selepas teruk dikecam pelbagai pihak boleh dipersoal sejauh mana keikhlasan kerana sebagai pemimpin, beliau hairan mengapa Koo Ham tidak berfikir panjang sebelum membuat kenyataan itu.

Pada masa sama, Najib berkata, Majlis Tertinggi UMNO juga mengambil ketetapan mengutuk sekeras-kerasnya penerbitan dan penyiaran filem Innocence of Muslims serta karikatur menghina Nabi Muhammad SAW oleh sebuah majalah Perancis.

"Kalau begitu kita pun buat kenyataan menghina dan kemudian minta maaf. Soalnya sejauh mana keikhlasan dia? Sepatutnya dalam isu agama mereka (pemimpin pembangkang) perlu lebih berhati-hati," katanya selepas mempengerusi mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO, di sini hari ini.

Hadir sama Setiausaha Agung, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; ketiga-tiga Naib Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal serta semua ketua pergerakan.

Mengulas lanjut mengenai filem Innocence of Muslims serta karikatur menghina Nabi Muhammad SAW yang mencetus kemarahan umat Islam, Najib berkata, perbuatan tersebut tidak boleh diterima kerana ia mencemar kesucian agama Islam dan kemuliaan Rasulullah.

Jelas beliau, adalah menjadi tanggungjawab seluruh umat Islam untuk mempertahankan agama Allah tetapi harus dilakukan dengan menggunakan pendekatan berhemah tanpa sebarang keganasan kerana Islam menolak keganasan.

"Kemarahan umat Islam ini adalah sesuatu yang dijangka dan tidak dapat dielakkan memandang mereka telah menghina Nabi Muhammad SAW. Ia perbuatan yang tidak boleh diterima walau apa alasan sekalipun termasuk atas nama kebebasan bersuara.

"Namun dalam mempertahan kesucian agama Allah ini, kita mestilah menggunakan pendekatan berhemah. Bantahan secara keganasan melampau sehingga membawa kematian bukan penyelesai masalah," katanya.

Najib sehubungan itu menggesa seluruh umat Islam hadir beramai-ramai untuk menyuarakan bantahan secara aman terhadap penyiaran filem dan karikatur tersebut bersama-sama Pergerakan Pemuda UMNO selepas solat Jumaat esok, di depan Masjid Jamek Kampung Baru. -BHarian

Thursday, September 20, 2012

BANTAH FILEM 'INNOCENCE OF MUSLIM', PAS ANJUR HIMPUNAN SEJUTA UMAT 

JOHOR BAHRU: Selain Kuala Lumpur, Johor Bahru juga akan bergema dengan himpunan sejuta umat Islam bagi membantah pembikinan serta penyebaran filem Innocence of Islam, arahan Sam Bacile, yang menghina keperibadian Nabi Muhammad s.a.w.

Himpunan tersebut akan diadakan di Masjid Taman Perling Johor Bahru, selepas solat Jumaat, 21 September ini.

Ketua Penerangan PAS negeri, Ghazaley Ayub, dalam kenyataan medianya turut memberitahu, pihaknya juga akan menghantar memorandum kepada Majlis Agama Islam Johor (MAIJ), berhubung perkara berkenaan pada Khamis ini.

“Kita akan meminta MAIJ mengeluarkan Khutbah Khas pada hari Jumaat ini, kita harap pihak berkenaan dapat mengeluarkan khutbah yang akan mengupas dengan lebih lanjut isu berkenaan termasuk perkara-perkara yang berkait dengan kecintaan kita kepada Nabi Muhammad s.a.w..”

“Kita juga berharap mimbar Jumaat ini dapat digunakan dengan sebaik mungkin untuk menangkis serangan musuh-musuh Islam dengan memberi penjelasan yang terperinci kepada umat Islam berhubung perkara berkenaan.”

Selain itu menurut beliau, PAS juga mengajak seluruh umat Islam di negeri ini serta semua parti politik dan Ngo bersama-sama pada himpunan tersebut.

“Kita menyeru seluruh umat Islam serta parti-parti politik termasuk Umno, menyertai himpunan ini kerana isu ini melibatkan umat Islam secara keseluruhan, tidak kira apa parti sekali pun, dalam konteks ini kita perlu membuktikan kesepaduan kita dalam menangani isu ini, justeru kita berharap Umno sudi bersama-sama kita untuk menyatakan bantahan terhadap pihak yang cuba menghina Islam khususnya Nabi Muhammad s.a.w..”

Selanjutnya menurut Ghazaley, pihaknya juga akan menjemput rakan-rakan dari DAP untuk sama-sama pada himpunan tersebut.

“Selama ini DAP dilabel sebagai anti Islam maka untuk membuktikan dakwaan tersebut tidak benar, mereka juga akan turut serta pada himpunan ini.”–Harakahdaily

Tuesday, September 18, 2012

YOUTUBE TIDAK SENSITIF TERHADAP KEMARAHAN UMAT ISLAM – RAIS

KUALA LUMPUR: Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim, menyifatkan YouTube sebagai tidak sensitif terhadap kemarahan umat Islam di seluruh dunia kerana ia masih belum membuang klip filem "Innocence of Muslims" daripada senarainya.

"Itulah bagaimana mereka tidak sensitif," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Rais berkata kebebasan bersuara tidak termasuk menyebabkan atau menimbulkan kebencian di kalangan umat Islam terhadap orang yang menghina agama mereka.

Memandangkan bantahan meluas dalam dunia Islam, beliau berkata YouTube mempunyai setiap sebab untuk mengeluarkan filem anti-Islam daripada senarainya.

"YouTube nampaknya tidak sedar kepada kekacauan yang disebabkannya. Pemilik YouTube tidak layak untuk dilepaskan daripada kemarahan umat Islam atau tindakan undang-undang," katanya.

Rais berkata pendakwa raya mempunyai setiap hak mengikut Kanun Keseksaaan untuk mengheret pihak-pihak yang menyebabkan keadaan tidak harmoni, perpecahan atau perasaan permusuhan, kebencian atau niat jahat atas alasan agama antara kumpulan orang-orang yang melanggar Seksyen 298A Kanun Keseksaan.

Beliau berkata pihak berkuasa boleh menggunakan kuasanya mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia.

Filem itu dikutuk oleh umat Islam dan Gereja Kristian Ortodoks Koptik sebagai "sebuah filem yang bersifat menghasut" manakala Majlis Gereja-gereja Sedunia berkata filem itu 'satu penghinaan kepada agama Islam". – BERNAMA/MStar

KLIP VIDEO ANTI-ISLAM MASIH DI YOUTUBE
 innocence of muslims filem hina nabi lokasi himpunan bantah filem hina islam nabi muhammad
PETALING JAYA: Klip video kontroversi Innocence of Muslims masih boleh ditonton di laman YouTube oleh pengguna internet di Malaysia walaupun langkah untuk menyekat akses kepada kandungan tersebut dilakukan.

Berikutan sekatan oleh enjin carian gergasi Google, yang memiliki YouTube, beberapa pautan kepada klip video itu memaparkan mesej: "Kandungan ini tidak boleh didapati di negara anda kerana aduan undang-undang."

Bagaimanapun, sehingga pukul 7.30 malam Isnin, beberapa salinan lain klip berdurasi 14 minit yang disiarkan di laman web perkongsian video itu masih boleh ditonton tanpa sekatan oleh pengguna internet tempatan.

"SKMM (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) telah diminta untuk membuang kandungan dan Google telah mengambil tindakan ke atasnya tetapi masalah yang muncul sekarang ialah salinan video itu sedang dibuat dan dimuat naik di YouTube," kata sumber industri internet yang biasa berhadapan dengan situasi berkenaan.

Sumber itu berkata sesuatu yang sukar untuk menghapuskan semua salinan jika jumlah yang besar dimuat naik.

Sekatan kandungan klip Innocence of Muslims dibuat berikutan permintaan SKMM pada Sabtu lalu ekoran kemarahan masyarakat Islam dunia terhadap penyiaran video yang menghina Nabi Muhammad.

Ketua Komunikasi dan Perhubungan Awam Google Malaysia, Zeffri Yusof ketika dihubungi bagaimanapun enggan menyatakan langkah yang bakal diambil syarikat itu namun menyatakan jaminan bahawa Google akan memandang berat semua permintaan SKMM.

"Apabila kita diberitahu bahawa sesuatu video itu menyalahi undang-undang negara terbabit, kita akan menyekat akses kepadanya selepas kajian menyeluruh dijalankan," katanya ketika dihubungi The Star. -MStar

Monday, September 17, 2012

SKMM MINTA GOOGLE BUANG KLIP VIDEO ANTI-ISLAM
 
PETALING JAYA: Pelopor enjin carian internet - Google menerima aduan rasmi dari Malaysia yang meminta membuang klip filem kontroversi anti-Islam Innocence of Muslims daripada laman YouTube.

Ketua Bahagian Komunikasi dan Perhubungan Awam Google Malaysia, Zeffri Yusof berkata, mereka menerima aduan dan permintaan rasmi daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan mengesahkan kedua-dua pihak sudah mengadakan perbincangan untuk tindakan selanjutnya.

"Google berpegang teguh kepada undang-undang di setiap negara. Jadi (kita) akan bertindak berdasarkan aduan rasmi daripada badan kawal selia," katanya.
 
Zeffri bagaimanapun berkata badan kawal selia berkenaan perlu menyatakan butiran undang-undang atau peraturan kecil sedia ada yang dilanggari apabila membuat aduan.

Pengerusi SKMM, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi mengesahkan bahawa suruhanjaya itu telah membuat aduan rasmi kepada Google.

"Kami telah berbincang dengan Google dan meminta mereka untuk membuang klip berkenaan," katanya.

Sedutan filem, Innocence of Muslims arahan Sam Bacile, yang disiarkan di YouTube mencetuskan kontroversi apabila menggambarkan Nabi Muhammad tidur dengan ramai wanita, pembunuhan kanak-kanak dan mendakwa keldai sebagai haiwan Islam pertama.

Filem tersebut turut dilaporkan akan digunakan oleh ekstremis anti Islam, Terry Jones yang pemah mencetuskan kontroversi cuba membakar Al-Quran untuk kempen membenci Islam di Amerika Syarikat.-MStar