Showing posts with label Spring. Show all posts
Showing posts with label Spring. Show all posts

Thursday, June 27, 2013

KERAJAAN TIDAK TAKUT SLOGAN ‘MALAYSIAN SPRING’

Kerajaan tidak gentar dengan slogan ‘Malaysian Spring’ yang digambarkan sebagai usaha pihak tertentu untuk menggulingkan kerajaan melalui demonstrasi jalanan.

Malah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan juga tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap mana-mana pihak yang menggunakan perkataan ‘rakyat’ bagi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

“Kerajaan tidak takut kepada perkataan ‘Malaysian Spring’. Asas yang saya tekankan ialah apa-apa tindakan yang dilakukan mestilah berpandukan kepada Perlembagaan Persekutuan kerana ia adalah perkara pokok,” katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Rabu.

Namun tegas Perdana Menteri, kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang melangkaui batas Perlembagaan Persekutuan. – mStar

KD: Kebebasan bersuara bukan bermaksud boleh menyuarakan pendapat secara sambil lewa atau sesuka hati, sebaliknya ia perlu diiringi tanggungjawab tertentu, dan ia sepatutnya tidak disalah guna..

Wednesday, June 26, 2013

MALAYSIAN SPRING: RUANG SUDAH DIBERI, JANGAN LANGKAU BATASAN - PM

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini berkata, kerajaan tidak gentar dengan penggunaan ungkapan 'Malaysian Spring' untuk menggambarkan usaha menggulingkan kerajaan melalui demonstrasi jalanan, dan tidak akan mengambil tindakan terhadap mereka yang menggunakan 'rakyat' untuk melahirkan rasa tidak puas hati, selagi tindakan mereka tidak melangkaui batas undang-undang negara.


Najib Tun Razak
Perdana Menteri berkata, mereka yang menggunakan perkataan 'rakyat' semata-mata untuk melahirkan rasa tidak puas hati terhadap keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) diberi ruang membantah selagi tindakan seumpama itu tidak melangkaui batas undang-undang di bawah Perlembagaan Persekutuan.

"Jika tindakan sudah langkaui batas undang-undang Perlembagaan Persekutuan, kerajaan tidak teragak-agak untuk bertindak agar kedaulatan negara terus dihormati," katanya ketika menjawab soalan Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (BN-Mersing) pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.

Soalan Abdul Latiff yang menyentuh pandangan kerajaan mengenai penggunaan perkataan 'rakyat' untuk melahirkan rasa tidak puas hati mengenai keputusan PRU13 dan cubaan mewujudkan 'Malaysian Spring' menjadi soalan pertama yang dikemukakan pada persidangan Dewan Rakyat penggal pertama ini.

Soalan serupa turut dibangkitkan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor). Najib berkata sebarang usaha untuk menggulingkan kerajaan melalui demonstrasi jalanan dan rusuhan tidak akan membawa sebarang kebaikan kepada Malaysia.

"Malah jika diamati dan diteliti, keadaan negara yang bergolak angkara rusuhan dan pergolakan jalanan, tidak ada perkara positif yang terhasil daripadanya. Ekonomi dan politik di negara-negara itu masih tercalar akibat persengketaan dan tidak nampak sebarang tanda untuk pulih seperti sedia kala," katanya.

Terdahulu, Najib berkata perbezaan pandangan bukan penyebab malapetaka dan punca perpecahan, sebaliknya jika ditangani dan diurus dengan baik, ia mampu mendatangkan rahmat dan kebahagiaan kepada rakyat dan memajukan negara.

Kerajaan, katanya, mengakui kematangan dan kebijaksanaan rakyat dengan memberi hak untuk memilih kepimpinan negara melalui peti undi yang menjadi kaedah terbaik yang boleh diamalkan mana-mana negara.

"Ironinya, mereka yang lantang menyuarakan mengenai ketidakadilan, menerima pula keputusan di kawasan yang dimenangi mereka," katanya sinis.

Menjawab soalan tambahan Abdul Latiff, kerajaan belum berhasrat untuk mewajibkan rakyat untuk mengundi.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan tidak menolak cadangan untuk melaksanakan pendaftaran pengundi secara automatik.

"Apa-apa undang-undang jika difikirkan baik, perlu dilihat dahulu sama ada ia boleh dikuatkuasakan secara praktikal atau tidak," katanya. – Bernama/Sinar Harian