Showing posts with label Bajet. Show all posts
Showing posts with label Bajet. Show all posts

Thursday, June 20, 2013

CUEPACS CADANG PENJAWAT AWAM CARUM PERKESO

GEORGETOWN - Kerajaan diminta terima cadangan supaya anggota perkhidmatan awam berstatus tetap mencarum di bawah skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan  Awam (Cuepacs), Datuk Omar Osman berharap, cadangan itu diterima dan dipertimbangkan berikutan ia disiapkan menerusi beberapa siri kajian dan dipersetujui oleh semua anggotanya.

Katanya, cadangan itu  yang bersifat faedah kebajikan kepada penjawat awam akan diserah kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk perbincangan. Awal bulan lalu, hanya anggota perkhidmatan awam berstatus sementara dan kontrak mencarum dalam skim Perkeso.

“Perkara itu sangat baik dan berharap ia dipanjangkan kepada anggota perkhidmatan awam bergaji tetap yang berpendapatan dari RM7,000 dan ke bawah.

“Skim yang terdapat di bawah pakej Perkeso ini lebih baik jika dibanding dengan skim ex-gratia yang ditubuhkan untuk menjaga kebajikan anggota perkhidmatan awam dan orang tanggungan jika terjadi sesuatu bencana semasa pegawai melaksanakan tugas rasmi,” katanya.

Bajet 2014: 3 permintaan Cuepacs

Dalam perkembangan lain, Omar mengulangi tiga permintaan dalam Bajet 2014 iaitu kenaikan imbuhan perumahan kepada RM450, pelarasan kos sara hidup (Cola) dan pengeluaran 20 peratus wang gratuiti kepada anggota perkhidmatan awam yang berusia 50 tahun. -Sinar Harian

Wednesday, June 19, 2013

BAJET 2014 UNTUK GENERASI MUDA

Putrajaya: Bajet 2014 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 25 Oktober ini dijangka memberi tumpuan kepada pelaburan pembangunan belia khususnya dalam bidang pendidikan dan latihan kemahiran.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, langkah itu perlu memandangkan generasi muda memainkan peranan penting untuk membentuk masa depan negara.

Menurutnya, golongan belia hari ini lebih berpendidikan, cekap dalam sistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta sentiasa berhubung dengan rangkaian media sosial sama ada blog, Facebook (FB) dan Twitter.

“Mereka mendapat maklumat lebih cepat tanpa mengira ia (maklumat) tepat atau tidak, mereka juga menjangkakan lebih banyak peluang dari segi pendidikan tinggi, pekerjaan, keusahawanan dan pemilikan rumah mampu milik.

“Pada masa sama, golongan belia juga mahu suara mereka didengari, dan kerajaan prihatin dengan trend baru ini. 

Sehubungan itu, kerajaan sudah menubuhkan 1Malaysia For Youth (1M4U) yang menyediakan platform memupuk kepimpinan dan kesukarelawanan dalam pembangunan negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Konsultasi Bajet 2014 di Kementerian Kewangan di sini, semalam.

Bertemakan ‘Mengotakan Janji, Merancakkan Transformasi’, Majlis Konsultansi Bajet 2014 menjadi platform interaksi tahunan antara sektor swasta dengan kerajaan bagi mendapatkan maklum balas sebagai input penyediaan Bajet 2014.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, sebanyak 96 memorandum sudah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan untuk dipertimbangkan dalam Bajet 2014.

“Saya percaya sebahagian daripada isi kandungan memorandum itu akan dipertimbangkan terutama yang difikirkan sesuai dengan matlamat dan juga cadangan tertentu.

“Ia tertumpu kepada dua elemen penting iaitu bagaimana mahu merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara dan menentukan kemakmuran serta kesejahteraan rakyat secara inklusif,” katanya.

Menurutnya, Bajet 2014 adalah amat penting kepada kerajaan yang diberi mandat baru untuk memenuhi aspirasi rakyat. –Harian Metro

Thursday, January 3, 2013

REBAT RM200: TIADA HAD HARGA BELI TELEFON PINTAR

KUALA LUMPUR -  Jemaah Menteri telah bersetuju agar belia berumur 21 hingga 30 tahun berpendapatan RM3,000 ke bawah boleh membeli apa jua jenis telefon pintar dengan rebat RM200 yang diumumkan kerajaan.
  
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataan di sini, berkata perkara itu diumumkan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim selepas mempengerusikan mesyuarat pasca kabinet kementerian tersebut hari ini.
  
Pemberian rebat RM200 itu dilaksanakan di bawah Pakej Komunikasi Belia (PKB) selaras dengan ucapan Belanjawan 2013 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada September lepas.
  
Menurut kenyataan itu, pelaksanaan skim tersebut ialah atas prinsip 'siapa cepat dia dapat'.
  
Tujuh syarikat telekomunikasi yang melaksanakan skim PKB di bawah koordinasi SKMM adalah Celcom, Clixster, DiGi, Maxis, Tune Talk, U Mobile dan YTL Communications.
  
SKMM memperjelaskan bahawa semua pihak yang terlibat dalam pelaksanaan PKB sama ada penjual atau peruncit dikenakan syarat harga patut.
  
Dalam kenyataan terdahulu, SKMM memaklumkan hampir 5,500 belia yang layak telah mendaftar untuk mendapatkan rebat itu selepas pendaftarannya dibuka semalam.
  
SKMM turut menasihati para belia yang telah berdaftar untuk membuat pilihan dengan bijak serta meninjau pasaran terlebih dahulu sebelum membeli peranti pilihan berdasarkan tahap kemampuan masing-masing.
  
Pendaftaran di bawah PKB boleh dilakukan secara online dari pukul 7 pagi hingga 11 malam di laman sesawang komunikasibelia.skmm.gov.my.
 
Orang ramai boleh menghubungi hotline SKMM di 1800-88-4040 dari pukul 8.30 pagi hingga 5.30 petang, Isnin hingga Jumaat kecuali cuti umum jika terdapat sebarang pertanyaan.  – Bernama/SinarHarian

KD: Sangat relevan…

Thursday, October 11, 2012

BAJET PEMBANGKANG TAK TELUS
    
Orang lemah dalam pengiraan matematik’

Putrajaya: Bajet bayangan 2013 pakatan pembangkang dibuat berdasarkan anggaran angka yang tidak tepat dan tidak telus hingga boleh menyebabkan negara bankrap.

Kajian Kementerian Kewangan mendapati butiran yang diberikan pembangkang tidak mengambil kira kesan terhadap perbelanjaan operasi daripada beberapa janji yang dicadangkan dalam bajet mereka.

pix_gal0Sambil menyifatkan pembangkang sebagai ‘orang lemah dalam pengiraan matematik’, Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata: “Bajet bayangan pembangkang tidak menggambarkan prestasi kewangan sebenar dan ada beberapa perangkaan yang tidak kena dan tidak dijelaskan dengan terperinci.”

Mendedahkan kelemahan bajet bayangan pakatan, Husni berkata, pembangkang mencanangkan bajet yang dibentangkan hanya membabitkan defisit 3.5 peratus, tetapi kajian mendapati defisit sebenar ialah 7.2 peratus.

Hutang meningkat

“Dengan defisit 7.2 peratus, maka jumlah hutang negara kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan meningkat kepada 57.8 peratus, melangkaui paras maksimum ditetapkan mengikut Akta Pinjaman Domestik, iaitu kurang daripada 55 peratus,” katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.

Husni menjelaskan ini boleh menyebabkan mutu penarafan hutang kerajaan jatuh ke tahap yang lebih rendah daripada paras A-1 yang diberikan agensi penarafan antarabangsa, Standard and Poor's Corp dan A3 oleh Moody's Corp ketika ini.
“Ini juga akan menyebabkan kos pinjaman menjadi lebih tinggi dan menjejaskan keyakinan pelabur asing terhadap Malaysia,” katanya.

Beliau mendedahkan pembangkang membentangkan bajet defisit yang rendah kerana tidak mengambil kira pelarasan gaji minimum, cadangan pemberian bonus tahunan untuk warga emas, penghapusan tol dan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) serta pengurangan subsidi seperti yang dijanjikan.

Perlu peruntukan RM25.9 bilion

Semua janji itu memerlukan peruntukan tambahan RM25.9 bilion, iaitu RM4.4 bilion bagi pelarasan gaji minimum; RM2.8 bilion (bonus warga emas); RM7.7 bilion (pengurangan subsidi); RM6 bilion (penghapusan tol) dan RM5 bilion (penghapusan hutang PTPTN).

“Dengan mengambil kira semua ini, perbelanjaan akan meningkat lebih besar yang seterusnya menyebabkan defisit negara meningkat,” katanya.

Husni juga mempertikaikan unjuran bajet pembangkang yang menyatakan kutipan hasil negara berjumlah RM197.1 bilion, manakala peruntukan perbelanjaan RM234 bilion, iaitu RM183 bilion belanja mengurus dan RM49 bilion untuk pembangunan.

Bagaimanapun, apabila mengambil kira semua janji yang dibuat dalam bajet itu, pembangkang terpaksa berhutang RM27.7 bilion berbanding RM11.8 bilion yang dinyatakan sebelum ini.

Ini juga menyebabkan kerajaan terpaksa berhutang untuk membayar perbelanjaan mengurus. Dalam sejarah, negara tidak pernah berhutang untuk perbelanjaan mengurus kerana kerajaan sentiasa meletakkan dasar hasil melebihi perbelanjaan mengurus.

“Bayangkan kerajaan terpaksa pinjam untuk bayar gaji dan hutang. Ini akan menyebabkan kemerosotan kewangan dan agensi penarafan akan menurunkan taraf kita sebab kos pinjaman lebih tinggi, selain membawa kepada pengurusan wang yang teruk dan akhirnya mengundang kepada muflis,” katanya./BHarian

Monday, October 8, 2012

SKIM REBAT TELEFON: PERTIMBANG KEMAMPUAN BELIA
 
KUALA LUMPUR: Mekanisme yang akan diperkenal oleh kerajaan mengenai rebat telefon pintar untuk belia perlu juga mengambil kira kemampuan dan kepentingan golongan berkenaan, kata Persatuan Pemilik Telefon Bimbit (Perbit).

Presidennya Mohd Ali Ibrahim berkata ini bagi mengelak belia daripada terpedaya dengan penjual telefon yang tidak bertanggungjawab selain terlebih berbelanja untuk telefon mereka.

Selain berkata skim itu akan menggalakkan lebih ramai belia beralih menggunakan telefon pintar, beliau turut menyamakan inisiatif berkenaan sebagai "terjun ke laut tanpa mengetahui kedalamannya".

"Persoalannya sama ada akhirnya mereka mampu membayar bil setiap bulan. Kita berharap masalah yang timbul dari permohonan kad kredit satu masa dulu, bila institusi kewangan menawar kad kredit kepada pengguna dan menyebabkan sesetengah mereka yang tidak berupaya mengawal perbelanjaan mereka menjadi bankrap, tidak akan berlaku dalam kes rebat (inisiatif) ini.

"Kita tidak mahu melihat bil telefon menjadi sebahagian besar gaji danperbelanjaan belia-belia ini," katanya kepada Bernama.

Oleh itu Mohd Ali mencadangkan pakej tersebut mengehadkan perbelanjaan itu kepada jumlah tertentu setiap bulan.

Beliau berkata syarikat telekomunikasi yang terlibat dalam projek berkenaan perlu menawarkan terma dan syarat yang jelas caj perkhidmatan mereka.

Mohd Ali berkata untuk mengelak salah guna, hanya syarikat telekomunikasi yang berwibawa perlu dilantik menyertai program berkenaan.  –BERNAMA/mStar