Wednesday, June 19, 2013

BAJET 2014 UNTUK GENERASI MUDA

Putrajaya: Bajet 2014 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 25 Oktober ini dijangka memberi tumpuan kepada pelaburan pembangunan belia khususnya dalam bidang pendidikan dan latihan kemahiran.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, langkah itu perlu memandangkan generasi muda memainkan peranan penting untuk membentuk masa depan negara.

Menurutnya, golongan belia hari ini lebih berpendidikan, cekap dalam sistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta sentiasa berhubung dengan rangkaian media sosial sama ada blog, Facebook (FB) dan Twitter.

“Mereka mendapat maklumat lebih cepat tanpa mengira ia (maklumat) tepat atau tidak, mereka juga menjangkakan lebih banyak peluang dari segi pendidikan tinggi, pekerjaan, keusahawanan dan pemilikan rumah mampu milik.

“Pada masa sama, golongan belia juga mahu suara mereka didengari, dan kerajaan prihatin dengan trend baru ini. 

Sehubungan itu, kerajaan sudah menubuhkan 1Malaysia For Youth (1M4U) yang menyediakan platform memupuk kepimpinan dan kesukarelawanan dalam pembangunan negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Konsultasi Bajet 2014 di Kementerian Kewangan di sini, semalam.

Bertemakan ‘Mengotakan Janji, Merancakkan Transformasi’, Majlis Konsultansi Bajet 2014 menjadi platform interaksi tahunan antara sektor swasta dengan kerajaan bagi mendapatkan maklum balas sebagai input penyediaan Bajet 2014.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, sebanyak 96 memorandum sudah dikemukakan kepada Kementerian Kewangan untuk dipertimbangkan dalam Bajet 2014.

“Saya percaya sebahagian daripada isi kandungan memorandum itu akan dipertimbangkan terutama yang difikirkan sesuai dengan matlamat dan juga cadangan tertentu.

“Ia tertumpu kepada dua elemen penting iaitu bagaimana mahu merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara dan menentukan kemakmuran serta kesejahteraan rakyat secara inklusif,” katanya.

Menurutnya, Bajet 2014 adalah amat penting kepada kerajaan yang diberi mandat baru untuk memenuhi aspirasi rakyat. –Harian Metro

No comments:

Post a Comment