Wednesday, June 19, 2013

GST HARUS DILAKSANAKAN SECARA BERPERINGKAT 

KUALA LUMPUR: Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), jika dilaksanakan, haruslah dilakukan secara berperingkat, kata bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, pada Selasa.
 
"Semuanya harus dilakukan secara berperingkat, perlahan-perlahan, bukan jumlah sepenuhnya sekali gus, bagi faedah rakyat," kata beliau kepada pemberita pada Forum CEO Yayasan Kepimpinan Perdana 2013.

Pakar-pakar ekonomi pula berpendapat, sekarang adalah masa yang sesuai untuk melaksanakan GST sebagai sebahagian daripada usaha menambah pendapatan kerajaan.

Ketua Pakar Ekonomi Malaysian Rating Corp Bhd, Nor Zahidi Alias, sebelum ini berkata, ketika kerajaan dilihat akan mempercepatkan pelaksanaan GST, langkah-langkah sampingan harus diambil untuk melindungi golongan berpendapatan rendah daripada kesannya.

"Keseluruhannya, pelaksanaan GST itu baik. Saya rasa kerja-kerja perhubungan awam perlu dilakukan lebih sedikit tentang GST ini dan kita tidak harus bersikap terlalu idealistik dengan berkata ia tidak akan menyebabkan inflasi. Ia akan menyebabkan inflasi," tegas Nor Zahidi.

Mengenai sasaran kerajaan untuk mengurangkan lagi defisit fiskal dalam Bajet 2014, Dr Mahathir berkata ia adalah langkah yang baik dan ia menunjukkan bahawa kerajaan sedang bergerak positif ke hadapan. – BERNAMA/mStar

No comments:

Post a Comment