Wednesday, June 19, 2013

MENGADU KE INDONESIA, ANWAR TIDAK BERJIWA BESAR

KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak menunjukkan dirinya berjiwa besar dalam ekoran mengadu kepada pemimpin Indonesia dengan mendakwa berlaku kepincangan ketika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.
Anwar Ibrahim bersama Goenawan Mohamad (kiri) dan Ulil Abshar Abdalla di Indonesia
Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, Anwar dilihat ketandusan idea sehingga bertindak mencari campur tangan asing dalam isu tempatan.

“Beliau dilihat ‘kemaruk’ kuasa yang mana tidak kesampaian. Mengapa nak burukkan proses pilihan raya hingga ke luar negara tanpa asas bukti yang kukuh," katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Khairy mengulas mengenai tindakan Anwar mengadu kepada Presiden Indonesia  Susilo Bambang Yudhoyono dan bekas Naib Presiden Republik tersebut, Jusuf Kalla, dengan mendakwa berlakunya kecurangan pada PRU13.

Jelasnya, sebarang ketidakpuashatian mengenai PRU13 boleh dilawan di mahkamah selepas petisyen pilihan raya difailkan.

“Adalah lebih baik jika didapati wujud kelemahan tertentu, failkan petisyen pilihan raya dan selesaikan di mahkamah,” katanya.

Tambah Khairy, tindakan Anwar mengadu kepada pemimpin luar memalukan dirinya sendiri.

Mengulas mengenai perkara yang sama, Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Bung Mokhtar menjelaskan, tindakan Anwar tidak memberi sebarang kesan kepada kerajaan Barisan Nasional ekoran pemimpin luar negara sedar akan perkara sebenar dan tidak akan termakan dakwaan pembangkang.

“Saya tidak hairan tindakan sedemikian. Itulah sikap sebenar mereka (PR) yang tidak boleh menerima hakikat kekalahan mereka.

“Saya percaya, pemimpin luar negara juga sudah mengetahui agenda tersebut. Jika ada yang tidak puas hati, selesai cara profesional di mahkamah,” katanya.

Katanya lagi, hubungan dua hala yang terjalin antara Malaysia dan Indonesia tidak akan terjejas dan kerajaan sentiasa menjaga hubungan baik dengan pemimpin luar. –KLPos.com

No comments:

Post a Comment