Wednesday, June 19, 2013

PARLIMEN KE-13 LEBIH HANGAT, LEBIH GANAS

KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu dijangka bakal menyaksikan pertembungan lebih hangat apabila ianya mula bersidang pada 26 Jun ini.

Setiausaha Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Raduan Che Rose berkata, Parlimen penggal ini disertai lebih ramai ahli dari kalangan orang muda dan ianya memberi impak kepada suasana persidangan tersebut.

“Apa yang paling utama adalah mencari kesepakatan dalam menyelesaikan isu rakyat dan ditangani bersama-sama," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Jelasnya, setiap ahli parlimen haruslah menggunakan setiap ruang yang ada untuk memperjuangkan hak rakyat dipandukan oleh matlamat untuk memajukan negara dan bukannya bertelagah dan mencari kesalahan untuk kepentingan diri atau parti.

“Sebagai wakil rakyat yang dipilih, seharusnya semua Ahli Parlimen dapat menjalankan tanggungjawab dan amanah yang diberikan sebaik mungkin.

“Elakkan daripada isu boikot yang mana sebelum ini ramai Ahli Parlimen yang berpakat keluar Dewan Rakyat jika tidak setuju dengan usul atau jawapan daripada pihak lain,” tegasnya.

Menurutnya lagi, sabotaj seperti yang dilakukan sebelum ini perlu dihentikan termasuk tindakan keluar dewan ketika parlimen masih bersidang.

“Perkara ini harus diberi peringatan sebelum sidang Parlimen bermula. Ia hanya akan mengundang lebih banyak masalah.

“Saya tidak lihat apakah positifnya tindakan sedemikian dilakukan. Saya juga berharap semua Ahli Parlimen akan dapat mewakili rakyat menjadi seorang yang lebih matang dalam mengutarakan setiap isu tanpa prejudis,” katanya. –KLPos.com

No comments:

Post a Comment