Tuesday, June 18, 2013

LEBUH RAYA: PAS KELANTAN KUTIP DERMA RAKYAT?

KOTA BHARU - Kerajaan Pas Kelantan telah mengutip sebanyak RM2.6 juta derma daripada rakyat untuk membina lebuh raya Kota Bharu-Kuala Krai sejak tabung itu dilancarkan Mei tahun lalu.


Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Teknologi Maklumat negeri, Hanifa Ahmad berkata, kesemua wang itu bagaimanapun masih belum diusik kerana kerja-kerja pembinaan setakat ini tertumpu di Hutan Simpan Ulu Sat yang ditanggung Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

Menurut beliau, setakat ini kontraktor yang dilantik sudah selesai menjalankan kerja-kerja penyediaan tapak, pembinaan pejabat tapak dan pembersihan hutan di kawasan tersebut, sepanjang jajaran empat kilometer.

Beliau turut menyatakan keyakinan pakej pertama pembinaan lebuh raya sepanjang 30 kilometer yang akan menghubungkan Bukit Bakar, Machang dan Kampung Damar, Kuala Krai akan siap dalam tempoh tiga tahun lagi.

"Kita jangka sumbangan dapat dikutip sehingga RM50 juta kerana bukan datang daripada rakyat Kelantan sahaja tapi seluruh penduduk Malaysia.

"Pakej pertama lebuh raya dijangka selesai tiga tahun iaitu Central Spine Road (CSR) dari Wakaf Che Yeh ke Kadok sepanjang tujuh kilometer (projek kerajaan Pusat) yang turut memakan masa tiga tahun," katanya semasa menjawab soalan Mohd. Fauzi Abdullah (Pas-Manek Urai) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Sementara itu, ketika menjawab soalan tambahan Fauzi, Hanifa menyatakan kesediaan kerajaan Pas Kelantan sekiranya kerajaan Pusat berhasrat mahu melaksanakan projek CSR di negeri ini melalui Kota Bharu, Kuala Krai, Gua Musang sehingga ke sempadan Negeri Sembilan.

"Tender untuk CSR telah dibuka dan semasa mesyuarat dengan pihak Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER), pengarah bahagian pembangunan jalannya telah bertanya kepada saya adakah Kelantan setuju jika Pusat mahu membina terus dari Kota Bharu ke sempadan Negeri Sembilan.

"Bagi saya tidak ada masalah sebab ini adalah tanggungjawab kerajaan Pusat. Peruntukan RM2 bilion (sangat banyak) tetapi disebabkan Pusat tidak membinanya sejak 1986, maka terpaksalah kita sebagai kerajaan wajib buat projek untuk rakyat (lancar lebuh raya rakyat)," jelas beliau. –Utusan Online

No comments:

Post a Comment