Monday, October 8, 2012

SKIM REBAT TELEFON: PERTIMBANG KEMAMPUAN BELIA
 
KUALA LUMPUR: Mekanisme yang akan diperkenal oleh kerajaan mengenai rebat telefon pintar untuk belia perlu juga mengambil kira kemampuan dan kepentingan golongan berkenaan, kata Persatuan Pemilik Telefon Bimbit (Perbit).

Presidennya Mohd Ali Ibrahim berkata ini bagi mengelak belia daripada terpedaya dengan penjual telefon yang tidak bertanggungjawab selain terlebih berbelanja untuk telefon mereka.

Selain berkata skim itu akan menggalakkan lebih ramai belia beralih menggunakan telefon pintar, beliau turut menyamakan inisiatif berkenaan sebagai "terjun ke laut tanpa mengetahui kedalamannya".

"Persoalannya sama ada akhirnya mereka mampu membayar bil setiap bulan. Kita berharap masalah yang timbul dari permohonan kad kredit satu masa dulu, bila institusi kewangan menawar kad kredit kepada pengguna dan menyebabkan sesetengah mereka yang tidak berupaya mengawal perbelanjaan mereka menjadi bankrap, tidak akan berlaku dalam kes rebat (inisiatif) ini.

"Kita tidak mahu melihat bil telefon menjadi sebahagian besar gaji danperbelanjaan belia-belia ini," katanya kepada Bernama.

Oleh itu Mohd Ali mencadangkan pakej tersebut mengehadkan perbelanjaan itu kepada jumlah tertentu setiap bulan.

Beliau berkata syarikat telekomunikasi yang terlibat dalam projek berkenaan perlu menawarkan terma dan syarat yang jelas caj perkhidmatan mereka.

Mohd Ali berkata untuk mengelak salah guna, hanya syarikat telekomunikasi yang berwibawa perlu dilantik menyertai program berkenaan.  –BERNAMA/mStar

No comments:

Post a Comment