Tuesday, November 26, 2013

MUZAKARAH PAS-UMNO: PAS PERLU TULIS SURAT DAHULU

SENAI - Pas perlu membuktikan kesungguhannya untuk mengadakan muzakarah dengan menyatakan tawaran bertulis kepada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak.

Shahrir SamadAhli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad berkata, tidak guna jika hanya bercakap tetapi tidak ada sebarang tindakan susulan yang positif.

"Jangan hanya cakap di dalam muktamar mereka sahaja, tulis surat kepada Presiden Umno secara rasmi,” katanya.

Sementara itu Ahli Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, Umno sentiasa terbuka dalam mengadakan muzakarah namun sejauh mana ahli parti itu bersedia mengadakan perbincangan seperti yang dikemukakan pemimpin tertinggi mereka.

Beliau berkata, sebelum ini terdapat beberapa pemimpin Pas yang menyatakan pandangan agar kedua-dua parti ini mengadakan muzakarah namun sehingga kini tiada sebarang perbincangan diadakan.

Menurutnya, tawaran mengadakan muzakarah ini adalah cadangan yang baik dan patut disambut pemimpin Umno.

“Tetapi, dalam Pas kita dapat lihat beberapa pemimpin yang menyatakan pandangan mengadakan muzakarah dengan Umno tetapi akhirnya tersingkir seperti bekas Timbalan Presiden, Nasharuddin Mat Isa.

“Akhirnya, cadangan ini tidak ke mana dan tiada sebarang muzakarah pernah diadakan antara kedua-dua pihak sehingga kini,” katanya.

Walaupun muzakarah berkenaan berjaya diadakan, katanya, namun beliau yakin kesepakatan antara kedua pihak dalam membentuk negara Islam di Malaysia sukar dicapai.

“Jika muzakarah ini berjaya diadakan, saya berpendapat kedua-dua pihak masih sukar untuk mencapai kata sepakat.

“Ia kerana, Umno mengamalkan pemerintahan Islam secara prakmatik sementara Pas berpegang kepada prinsip Islam yang ortodok, terdapat jurang yang terlalu besar di sini,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

Post a Comment