Showing posts with label gula. Show all posts
Showing posts with label gula. Show all posts

Monday, December 16, 2013

2014 TAHUN MENCABAR BAGI RAKYAT MALAYSIA
Cover 16
Tahun 2014 akan menjadi masa paling mencabar kepada masyarakat terutama mereka berpendapatan rendah dan sederhana kerana harga barang serta perkhidmatan di negara ini, naik serentak.

Selepas PRU13, kerajaan mengumumkan satu demi satu kenaikan harga barang dan perkhidmatan, atau pengurangan serta pemansuhan subsidi, berselang dalam tempoh sebulan, sejak September lalu.

Bermula dengan pengurangan subsidi yang menyebabkan kenaikan petroleum RON95 dan diesel sebanyak 20 sen, diikuti pemansuhan subsidi gula 34 sen, kemudian peningkatan tarif elektrik 4.99 sen satu kilowat sejam (KWJ), semakan semula kadar gas, tambang LRT serta monorel dan kadar tol membabitkan 13 lebuh raya  seolah-olah membentuk satu siri kenaikan harga.

Semua pengumuman yang dilakukan secara ‘bertindan’ itu membuatkan rakyat tidak senang duduk, malah ada pihak menganggapnya sebagai peningkatan harga paling buruk sejak negara merdeka, 31 Ogos 1957.

Sejak harga minyak naik, 3 September lalu, masyarakat mula berjimat kerana bahan api dianggap perkara penting kerana mempengaruhi kehidupan seharian. Ini kerana, minyak adalah sumber asas bahan api penentu indeks harga pengguna (IHP).

Apabila harga minyak naik, maka kos pengangkutan akan bertambah termasuklah pengangkutan barangan. Secara tidak langsung, harga barang keperluan seperti beras, ayam, sayur dan ikan melambung tinggi.

Di negara ini, kenaikan harga minyak sangat berkait terhadap kenaikan harga barang lain; malah barangan yang tidak berhubung langsung dengan minyak pun turut naik.

Belum reda dengan kenaikan itu, masyarakat semakin resah apabila subsidi gula dimansuhkan, sebulan kemudian. Ada sesetengah pihak tidak kisah dengan kenaikan tersebut sebab mereka jarang gunakan gula di rumah, tetapi kesan rantaian terpaksa ditanggung pengguna kerana harga kuih muih dan air di kedai ‘melangit’!

Bukan itu sahaja, pengumuman kenaikan kadar tarif elektrik bermula bulan depan semakin ‘menghimpit’ masyarakat kerana tentu mengundang kesan rantaian lebih besar.

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengumumkan akan mengkaji semula tambang LRT dan monorel, pengangkutan awam alternatif pengguna di bandar yang semakin menekan golongan miskin bandar.
Kadar tol juga dikhabarkan akan naik melibatkan 13 lebuh raya di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar menyatakan, kenaikan kadar tol tidak dapat dielak kerana ia terkandung dalam perjanjian konsesi.

Terbaru, Presiden Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia, Amali Munif mengumumkan untuk menaikkan tambang bas sekolah sebanyak 40 peratus bermula 1 Januari depan jika SPAD tidak mengumumkan kenaikan kadar baru, hujung tahun ini.

Semua kenaikan itu dikatakan berkaitan dengan program rasionalisasi subsidi sejak dilaksanakan pada 2010, bagaikan membiarkan rakyat terbeban untuk membeli barang keperluan dengan kadar pendapatan yang tidak seiring dengan kenaikan harga barang.

Rakyat semakin ‘tersepit’ apabila  kadar gaji tidak seiring dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatan di dalam negara.

Malah paling dikesalkan Laporan Ketua Audit Negara mendedahkan berlaku pembaziran wang kerajaan.

Persoalannya, kenapa kenaikan harga itu dibuat dalam tempoh yang singkat? Tidakkah kenaikan itu boleh dibuat dalam jumlah lebih kecil atau secara berperingkat?

Yang pasti, keperluan rakyat perlu diutamakan kerana matlamat negara maju tidak bermakna jika masyarakat ‘menderita’ dengan kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

Sumber: Sinar Harian

Tuesday, November 26, 2013

PKR GESA MANSUH AP GULA

KUALA LUMPUR - PKR mencadangkan supaya permit import (AP) untuk membeli gula mentah pada harga lebih rendah dibuka sekali gus dapat menurunkan harga gula tapis di pasaran.

Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli mendakwa, apabila monopoli AP membeli gula mentah dimansuhkan, ia akan memberi peluang kepada banyak syarikat untuk membawa masuk gula mentah dan gula bertapis pada harga yang lebih murah.

"Dalam keadaan harga gula mentah pasaran dunia adalah lebih rendah, dengan lebih banyak syarikat diberi peluang untuk membawa gula mentah dan gula bertapis sudah tentu ia lebih murah dari harga yang ditentukan oleh syarikat monopoli.

"Keengganan BN melunturkan monopoli gula yang dikuasai oleh Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary mengesahkan mereka lebih mementingkan beberapa kroni berbanding rakyat," katanya pada sidang media di lobi Parlimen, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas lanjut kenyataan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah yang mengesahkan dalam sidang Dewan Rakyat Khamis lalu bahawa kerajaan telah memeterai kontrak jangka panjang untuk membeli gula mentah pada harga yang kini lebih tinggi dari harga pasaran.

Dalam pada itu, Rafizi turut mempertikaikan tindakan kerajaan yang memasuki kontrak pembelian gula mentah jangka panjang bagi pihak swasta sedangkan keuntungan adalah milik swasta.

"Kenapa dalam keadaan harga bekalan gula mentah tidak menguntungkan syarikat milik Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary akibat rundingan kontrak jangka panjang yang tidak sempurna, kerajaan juga dilibatkan kerana kontrak itu dimeterai oleh kerajaan.

"Risiko untung rugi pembelian gula mentah perlulah ditanggung oleh syarikat pemegang AP gula mentah yang dikuasai oleh Tan Sri Syed Mokhtar al-Bukhary kerana mereka diberikan monopoli industri gula di Malaysia," katanya.

Sumber: Sinar Harian