Tuesday, April 9, 2013

TEROWONG DASAR LAUT: 'PULAU PINANG BUKAN HONG KONG'

PULAU PINANG - Cadangan pembinaan terowong dasar laut oleh Kerajaan DAP Pulau Pinang sewajarnya dihentikan kerana didapati tidak sesuai dibangunkan di negeri itu.

Ahli Citizens Awareness Chant Group, Khoo Kay Peng berkata, kerajaan negeri tidak sepatutnya menjadikan Hong Kong dan China sebagai contoh supaya Pulau Pinang dapat meneruskan projek berkenaan.

"Pulau Pinang tidak boleh jadi seperti Hong Kong. Faktor geografi kedua-dua pulau berbeza dan Georgetown sendiri telah diangkat sebagai bandar warisan.

"Malah Hong Kong juga bukan hanya membangunkan terowong dasar laut tetapi turut membangunkan jajaran komuter," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Isu pembinaan terowong dasar laut yang dicadangkan Ketua Menteri, Lim Guan Eng mendapat bantahan daripada pelbagai pihak di negeri itu.

Kay Peng berkata, kerajaan negeri perlu melihat kepada impak yang bakal tercetus sekiranya terowong berkenaan direalisasikan kelak.

Katanya, pelan terowong dan impak fizikal termasuk kajian kesan alam sekitar dan kajian impak lalu lintas perlu dilakukan terlebih dahulu.

"Banyak perkara yang tidak didedahkan secara jelas terhadap projek ini termasuk mengenai pemberian tender kepada syarikat terlibat.

"Kita minta kerajaan negeri jelaskan bagaimana tender terbuka ini dilaksanakan dan apakah kriteria yang membolehkan syarikat terpilih mendapat projek berkenaan," ujarnya.

Tegasnya, kerajaan negeri perlu memberitahu mengenai rekod serta profil semua syarikat yang terlibat.

"Kerajaan negeri sebelum ini memberitahu bahawa syarikat dari China yang terlibat dalam projek ini telah membina stadium besar di sana tetapi tidak menyebut mengenai kejayaan membina terowong dasar laut.

"Kita tidak boleh mengharapkan seorang jurutera enjin kereta untuk membaiki enjin kapal terbang.

"Jadi adalah penting rekod syarikat terbabit ditunjukkan bagi melihat sama ada mereka memiliki kepakaran yang selayaknya untuk membina sebuah terowong dasar laut," jelasnya.

Selain itu, beliau juga tertanya-tanya mengenai pendirian Kerajaan DAP Pulau Pinang yang dilihat seolah-olah tidak sedar bahawa terowong itu mampu menggugat pembangunan logistik maritim seperti Pelabuhan Pulau Pinang.

Sementara itu, Penasihat Chant Group, Prof. Dr. Jimmy Lim berkata, rakyat perlu diperjelaskan mengenai segala bentuk pembangunan yang dirancang kerajaan negeri termasuk kesan dan impak daripada pembangunan tersebut.

"Kita tidak kisah jika kerajaan negeri tidak mahu mendengar pandangan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana yang lebih penting adalah masyarakat.

"Masyarakat harus diberitahu mengenai kesan dan impak yang dibawa oleh pembangunan kerana perkara itu jelas memberi kesan kepada kehidupan mereka," ujarnya.

Beliau turut menyelar tindakan kerajaan negeri memberikan tanah kepada syarikat yang terbabit dalam pembinaan projek mega bernilai RM6.3 bilion termasuk pembinaan terowong dasar laut itu.

"Sudah tentu syarikat berkenaan akan membangunkan tanah itu dengan projek-projek komersial lain yang bakal menambah kepadatan kawasan berkenaan.

"Keadaan itu akan memberi kesan kepada lalu lintas dan terowong dasar laut bukanlah penyelesaian kepada masalah berkenaan," katanya. - Utusan Online

No comments:

Post a Comment