Tuesday, April 9, 2013

DAP SEMAI KEBENCIAN DEMI POLITIK -  TUN M

MUAR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan tindakan DAP menanam rasa kebencian dalam kalangan kaum Cina terhadap Melayu hanya bertujuan meraih sokongan untuk menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.

Beliau berkata, taktik kotor itu dilakukan dengan menyatakan orang Cina telah dianiaya dan tidak mendapat keistimewaan serta hak sama rata seperti dinikmati kaum Melayu.

"DAP membakar hati orang Cina kononnya mereka dianiaya, tak dapat apa pun, pelajaran tidak dibantu atau dibiayai kerajaan tetapi sebenarnya kerajaan sudah beri macam-macam tetapi DAP mahu tuntut lebih lagi, kalau diberi sesuatu tidak berterima kasih.

"DAP bangkitkan kebencian, mereka kata kita menidakkan hak-hak mereka dari segi bahasa, budaya, agama sedangkan sesungguhnya tiada kerajaan di negara lain yang memberi wang untuk mengekalkan bahasa, budaya, sekolah untuk orang Cina seperti yang kita lakukan," katanya pada Program Bicara Perdana bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad di Dataran Tanjung Emas di sini malam tadi.

Dr. Mahathir berkata, DAP tidak pernah menerima kenyataan bahawa terdapat ramai orang Cina yang kaya di negara ini berbanding orang Melayu yang tinggi peratusan kemiskinannya.

Walaupun terdapat jurang yang luas antara taraf hidup kedua-dua kaum berkenaan, beliau berkata, orang Melayu tidak pernah bermusuhan atau berasa iri hati dengan pencapaian kaum Cina terutama dalam bidang perniagaan.

"Ini berbeza dengan di luar negara yang berlaku permusuhan, yang miskin berpendapat harus dapat sama seperti yang kaya dan kalau tidak akan dibunuh, ini berlaku di Rusia dan Eropah tetapi di Malaysia orang Melayu tidak berbuat demikian," jelasnya.

Beliau menambah, jika wujud permusuhan antara Melayu dan Cina, negara ini tidak akan stabil seterusnya mewujudkan kemusnahan selepas usaha dilakukan kerajaan bagi membangunkannya sejak mencapai kemerdekaan 55 tahun lalu.

Menurutnya, DAP tidak pernah senang dengan perpaduan yang wujud antara tiga kaum terbesar di negara ini membabitkan Melayu, Cina serta India dan kerana itu mereka sentiasa berusaha mewujudkan rasa kebencian.

Dr. Mahathir menegaskan, matlamat untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju bergantung kepada keamanan dan tidak bercakaran sesama sendiri.

Jika berlaku konflik, katanya, Malaysia tidak akan mencapai Wawasan 2020 seperti yang disasarkan kerajaan.

"Mereka juga kata sudah 55 tahun Barisan Nasional (BN) memerintah, sudah terlalu lama, perlu tukar tetapi Penasihat DAP, Lim Kit Siang sejak 1964 memimpin DAP. Tukar diri kamu dulu, kita sudah tukar enam kali pemimpin baru boleh jadi macam ini.

''Saya sepatutnya menjadi Perdana Menteri seumur hidup tetapi saya letak jawatan, kamu (Kit Siang), Nik Aziz tidak mahu, Anwar (Ibrahim) bagi pula kepada keluarga lain pimpin parti, awak tak tukar tapi suruh orang tukar," katanya. – Utusan Online

No comments:

Post a Comment