Friday, April 12, 2013

PRU13: PAKATAN BERTELAGAH, KERUSI DUN SUNGAI ACHEH JADI REBUTAN PAS, PKR

KEPALA BATAS - Perebutan kerusi antara Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilihat semakin meruncing apabila kedua-dua parti berkenaan meletakkan calon masing-masing di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Acheh.

Sehari selepas PKR menamakan Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard bertanding di kerusi itu, Pas malam tadi pula turut mencalonkan Ketua Pemuda negeri, Mohd. Yusni Mat Piah bagi merebut kerusi berkenaan.

Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Salleh Man berkata, keputusan Pas bertanding di DUN Sungai Acheh telah dimuktamadkan dalam perbincangan di peringkat Pas Pusat kelmarin.

Sehubungan itu, tambahnya, beliau hairan bagaimana PKR boleh meletakkan calonnya bertanding di kerusi tersebut apatah lagi kerusi berkenaan pada asalnya merupakan milik Pas yang menyerahkan untuk ditandingi PKR dalam pilihan raya umum lalu.

"Pas mahu mengambil semula kerusi itu dan saya menegaskan Pas akan bertanding di kerusi tersebut kali ini.

"Tidak berlaku apa-apa sengketa antara Pas dan PKR kerana keputusan Pas bertanding di situ adalah keputusan Pas Pusat," katanya dalam sidang akhbar selepas mengumumkan nama-nama calon Pas Pulau Pinang yang akan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang di markas Pas Pongsu Seribu.

Sementara itu, Salleh berkata, Pas akan bertanding di enam kerusi DUN dan dua kerusi Parlimen di Pulau Pinang dalam pilihan raya umum akan datang.

Katanya, beliau sendiri akan mempertahankan kerusi DUN Permatang Pasir manakala empat kerusi DUN iaitu Penaga ditandingi Ketua Penerangan Pas negeri, Rosidi Hussin; bekas Pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Arshad Mohamad Salleh (Permatang Berangan); Penyelaras DUN Zahadi Mohamad (Sungai Dua) dan Ketua Muslimat Pas Bayan Baru, Asnah Hashim di Bayan Lepas.

Menurutnya, dua kerusi Parlimen yang ditandingi Pas ialah Kepala Batas dan Tasek Gelugor yang masing-masing akan ditandingi ahli perniagaan, Asnan Hamimi Taib Azamuddin dan bekas tokoh korporat, Datuk Seri Abdul Rahman Maidin.

"Kita yakin Pas dapat membuktikan kemampuan mendapat sokongan rakyat dalam pilihan raya umum kali ini kerana 60 peratus calon yang diketengahkan adalah calon muda," katanya. –Utusan Online

No comments:

Post a Comment