Showing posts with label Acheh. Show all posts
Showing posts with label Acheh. Show all posts

Friday, April 12, 2013

PRU13: REBUT KERUSI DUN SUNGAI ACEH, DAP ENGGAN CAMPUR KEMELUT PKR-PAS

PULAU PINANG - DAP menggesa pimpinan tertinggi peringkat Pusat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas campur tangan bagi menyelesaikan kemelut perebutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Acheh di antara kedua-dua parti berkenaan.

Gesaan itu dibuat Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng selepas menyedari masalah berkenaan tidak mampu diselesaikan oleh PKR dan Pas negeri.

Menurut Guan Eng, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang perlu memainkan peranan mereka bagi memastikan masalah tersebut tidak terus berlarutan.

"Hal ini demikian kerana Pengerusi PKR negeri, Datuk Mansor Othman telah mengumumkan calon mereka yang akan bertanding di DUN Sungai Acheh dan tindakan sama juga dibuat Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Mohd. Salleh Man yang mewakili Pas.

"Sebelum ini ketika perbincangan dua hala mengenai parti mana yang akan meletakkan calon di situ, ia hanya melibatkan PKR dan Pas. Jadi tidak perlu untuk DAP campur tangan," katanya dalam sidang akhbar di Wisma DAP.

Yang turut hadir Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu dan Timbalan Pengerusi PKR negeri, Datuk Abdul Halim Husain .

Kemelut perebutan kerusi DUN Sungai Acheh bermula apabila PKR dan Pas masing-masing tidak mahu mengalah dan berkeras mahu meletakkan calon masing-masing untuk bertanding di situ pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13). –Utusan Online
PRU13: PAKATAN BERTELAGAH, KERUSI DUN SUNGAI ACHEH JADI REBUTAN PAS, PKR

KEPALA BATAS - Perebutan kerusi antara Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dilihat semakin meruncing apabila kedua-dua parti berkenaan meletakkan calon masing-masing di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Acheh.

Sehari selepas PKR menamakan Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard bertanding di kerusi itu, Pas malam tadi pula turut mencalonkan Ketua Pemuda negeri, Mohd. Yusni Mat Piah bagi merebut kerusi berkenaan.

Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Salleh Man berkata, keputusan Pas bertanding di DUN Sungai Acheh telah dimuktamadkan dalam perbincangan di peringkat Pas Pusat kelmarin.

Sehubungan itu, tambahnya, beliau hairan bagaimana PKR boleh meletakkan calonnya bertanding di kerusi tersebut apatah lagi kerusi berkenaan pada asalnya merupakan milik Pas yang menyerahkan untuk ditandingi PKR dalam pilihan raya umum lalu.

"Pas mahu mengambil semula kerusi itu dan saya menegaskan Pas akan bertanding di kerusi tersebut kali ini.

"Tidak berlaku apa-apa sengketa antara Pas dan PKR kerana keputusan Pas bertanding di situ adalah keputusan Pas Pusat," katanya dalam sidang akhbar selepas mengumumkan nama-nama calon Pas Pulau Pinang yang akan bertanding dalam pilihan raya umum akan datang di markas Pas Pongsu Seribu.

Sementara itu, Salleh berkata, Pas akan bertanding di enam kerusi DUN dan dua kerusi Parlimen di Pulau Pinang dalam pilihan raya umum akan datang.

Katanya, beliau sendiri akan mempertahankan kerusi DUN Permatang Pasir manakala empat kerusi DUN iaitu Penaga ditandingi Ketua Penerangan Pas negeri, Rosidi Hussin; bekas Pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Arshad Mohamad Salleh (Permatang Berangan); Penyelaras DUN Zahadi Mohamad (Sungai Dua) dan Ketua Muslimat Pas Bayan Baru, Asnah Hashim di Bayan Lepas.

Menurutnya, dua kerusi Parlimen yang ditandingi Pas ialah Kepala Batas dan Tasek Gelugor yang masing-masing akan ditandingi ahli perniagaan, Asnan Hamimi Taib Azamuddin dan bekas tokoh korporat, Datuk Seri Abdul Rahman Maidin.

"Kita yakin Pas dapat membuktikan kemampuan mendapat sokongan rakyat dalam pilihan raya umum kali ini kerana 60 peratus calon yang diketengahkan adalah calon muda," katanya. –Utusan Online