Friday, July 20, 2012

JI, BEKAS KOMUNIS DALAM POLITIK MALAYSIA?
Terkejut dengan laporan akhbar Sinar Harian hari ini, KD memuat naik kenyataan dari pihak polis. Mengambil reaksi pembaca akhbar, kebanyakan mereka mahu pihak polis mengemukakan bukti sahih berhubung perkara ini.

KD agak setuju dengan pendapat pembaca dan berharap pihak polis segera bertindak kerana ia bukan perkara main-main sebaliknya ia adalah soal keselamatan negara.

Berikut kenyataan dari polis:


JI, BEKAS KOMUNIS MAHU TANDING PRU GUNA PEMBANGKANG


Risikan Cawangan Khas, Polis Diraja Malaysia (PDRM) mendedahkan bahawa terdapat pengganas Jemaah Islamiah (JI) dan individu yang pernah dikaitkan dengan gerakan komunis berusaha meresapi parti politik pembangkang selain cuba menjadi calon pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Ketua Penolong Pengarah E2 (M), Bahagian Ancaman Ekstremis Sosial Bukit Aman Datuk Mohd Sofian Md Makinuddin berkata, Cawangan Khas itu mengesan beberapa elemen JI cuba meresapi Pas selain elemen gerakan komunis cuba meresapi DAP.

"Beberapa pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan PKR juga sering berulang-alik ke Bangkok dan selatan Thailand yang dipercayai untuk mengadakan pertemuan sulit dengan beberapa bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) di sana.

"Kesannya, idea-idea berhubung politik baru yang berpotensi menjejaskan nilai teras negara telah berkembang. Gerakan ini sebenarnya mendapat sokongan daripada badan bukan kerajaan (NGO) asing yang membantu dari segi kewangan, latihan dalam dan luar negara serta pendedahan kepada kepakaran tertentu untuk menghadapi pilihan raya," katanya.

Beliau berkata, tindakan gerakan itu sebenarnya bertujuan untuk melahirkan badan bukan kerajaan (NGO) tempatan yang sentiasa bersikap bermusuhan terhadap kerajaan sekaligus bermatlamat mewujudkan suasana kucar-kacir sehingga melemahkan sesiapa sahaja yang memerintah negara.

"Dalam hal ini, kita bimbang tindakan parti pembangkang dan NGO memainkan isu kontroversi yang membakar sentimen rakyat agar membenci kerajaan menjelang pilihan raya.

"Ataupun (ia) meningkatkan aktiviti demonstrasi dan juga insiden yang boleh mengalihkan tumpuan pihak polis... gerakan massa mengheret rakyat turun ke jalanan melakukan demonstrasi akan terus menjadi trend di negara kita," katanya.

Beliau berkata, perhimpunan Bersih, Oren dan Hijau, yang dianjurkan pihak yang disokong pembangkang, baru-baru ini merupakan rancangan yang diatur khas sehingga pilihan raya umum akan datang.

"Tambahan pula budaya kempen sepanjang tahun yang diamalkan di negara ini menyebabkan fikiran rakyat terus terdedah dengan pelbagai maklumat yang mempunyai nilai politik," kata beliau dipetik Bernama.


Ini pula kenyataan balas dari pihak pembangkang yang dimuat naik sejurus kenyataan pihak polis keluar di akhbar. 



JI-KOMUNIS: PR CABAR PDRM TUNJUK BUKTI

SHAH ALAM - Komponen Pakatan Rakyat (PR) mencabar polis menunjukkan bukti jika benar parti-parti politik pembangkang diresapi pengganas Jemaah Islamiah (JI) dan individu yang pernah dikaitkan dengan gerakan komunis, yang cuba menjadi calon Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, pihaknya bimbang kenyataan yang dibuat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) semalam "bertujuan jahat" ke atas pembangkang menjelang PRU13.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Kubang Kerian itu yakin sokongan kepada PR khususnya Pas, yang dinamakan secara langsung dalam kenyataan semalam, tidak akan terjejas.

"Saya minta tunjuk bukti kalau benar dalam Pas ada orang seperti ini seperti yang didakawa oleh Datuk Mohd Sofian (Md Makinuddin). Kami bimbang kenyataan-kenyataan seperti ini dikeluarkan ketika menjelang pilihan raya untuk mengelirukan rakyat... kenyataan yang berniat jahat," kata beliau ketika dihubungi.

Salahuddin berkata, pihaknya tidak terkejut dengan kenyataan seumpama itu sebab pihak berkuasa pernah menggunakan cara yang sama pada masa-masa lalu.

"Polis pernah membuat kenyataan seperti ini, mengaitkan Pas dengan kumpulan Al-Maunah, saya melihat tujuan berniat jahat ini berulang ketika dekat dengan PRU. Pas, yang sudah terlibat dalam politik lebih 50 tahun, memilih untuk menggunakan jalan demokrasi, menerusi pilihan raya untuk menang pilihan raya," katanya sambil menambah, PDRM tidak harus membuat kenyataan-kenyataan tidak bertanggungjawab.

Sehubungan itu, kata Salahuddin, pihaknya akan membincangkan tindakan ke atas pegawai polis berkenaan.

"Kami akan membincangkan tindakan yang hendak diambil dalam waktu terdekat," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad juga mencabar PDRM mengeluarkan bukti jika benar wujud elemen-elemen sedemikian.

Sambil menegaskan pihaknya tidak terkejut dengan laporan tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor ini berkata, "kenyataan-kenyataan seperti ini, yang dibuat oleh polis, bukan perkara baru."

"Saya pun boleh buat kenyataan seperti ini. Buktikan siapa mereka, namakan individu terbabit, kita pun hendak tahu.

"Saya mencabar beliau bertanding pilihan raya jika berminat untuk bercakap mengenai politik," kata beliau yang yakin bahawa sedar dan tahu tentang keadaan sebenar, dan sokongan mereka tidak akan terjejas.

"Ini taktik Barisan Nasional menggunakan polis untuk membuat kenyaatan-kenyataan seperti ini menjelang PRU. Rakyat tahu," katanya lagi.


KD: Keliru dan hairan pula pelbagai tuduhan dan penafian. Apakah tuduhan sebelum ini palsu semata-mata? Atau 'ada musuh dalam selimut' di negara ini? tidak sayangkah mereka pada negara? Persoalan terus berlegar...

No comments:

Post a Comment