Tuesday, March 26, 2013

HARI POLIS: SAMBUTAN PENUH PATRIOTIK, DIIRINGI TITISAN AIR MATA
 
KUALA LUMPUR 25 Mac - Sambutan Hari Polis ke-206 di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Jalan Semarak di sini hari ini yang dihadiri lebih 1,000 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan tetamu mencatat kelainan apabila mereka yang hadir diselubungi perasaan sebak sehingga ada yang menitiskan air mata.

Walaupun diraikan dalam suasana penuh patriotik di peringkat awal, keadaan bertukar sayu ketika upacara pemakaian pangkat lapan wira negara yang terkorban dalam insiden pencerobohan pengganas di Sabah.

Lebih memilukan apabila kesemua balu dan waris tampil mewakili kesemua wira negara itu pada upacara kenaikan pangkat tersebut.

Kesedihan turut terpancar di raut wajah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika beliau menyampaikan kenaikan pangkat itu kepada anak tunggal Deputi Supritendan Michael Padel yang memakai baju kemeja serta seluar hitam tanda berkabung atas kematian bapanya.

Selain balu dan waris, seorang pegawai polis wanita yang cuba menenangkan anak lelaki Allahyarham Sarjan Baharin Hamit ketika upacara itu berlangsung turut menitiskan air mata.

Semasa majlis itu, kesemua lapan pegawai dan anggota yang gugur dalam Ops Daulat mendapat kenaikan pangkat secara Medan Posthumous.

Mereka yang terkorban dalam pertempuran dengan pengganas Kiram di Kampung Tanduo pada 1 Mac ialah Asisten Supritendan Zulkifli Mamat, 29, dan Sarjan Sabarudin Daud, 46, manakala anggota yang gugur di Semporna pada 2 Mac ialah Asisten Komisioner Ibrahim Lebar, 52; Michael, 36; Sarjan Mejar Baharin Hamid, 49; Sarjan Mejar Abdul Aziz Sakirun, 48; Sarjan Salam Togiran, 42; dan Koperal Mohd Azrul Tukiran, 27.

Sambutan Hari Polis dengan tema "Komuniti Sejahtera Komitmen Kami" itu bermula pada pukul 8.30 pagi dengan perbarisan lintas hormat yang dilakukan oleh Najib.– Utusan Online

KD: Hati siapa yang tidak tersentuh melihat balu-balu yang kesedihan ini..

No comments:

Post a Comment