Monday, July 23, 2012

MAJLIS ULAMA UMNO : REAKSI NEGATIF

Usul penubuhan Majlis Ulama Umno juga mendapat reaksi negatif oleh beberapa pihak.  
Berikut merupakan pendapat pihak yang tidak @ kurang bersetuju dengan usul itu:

Pengarah Strategi Umno Terengganu, Datuk Rosli Mat Hassan
“Cadangan mewujudkan ulama sebagai sayap parti adalah kurang sesuai kerana ia dilihat mengecilkan skop tugas ahli agama. Ia juga akan menyekat peranan ulama yang terpaksa akur dengan perjuangan parti. Bagaimanapun, kita tidak menolak mereka (ulama) kerana dalam mana-mana pentadbiran sesebuah negara, peranan ulama adalah besar dan perkara itu jelas dilihat dalam kalangan penasihat adalah terdiri daripada ulama.”

Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuantan, Datuk Muhammad Suffian Awang
“Politik tidak seharusnya dicampur adukkan dengan agama kerana ia boleh membawa kesan negatif pada masa akan datang. Kita tidak mahu di kemudian hari pandangan agama akan bertukar menjadi tafsiran sendiri kerana kepentingan tertentu. Ia akan membuatkan masyarakat tidak percaya kepada agama jika peranan ulama disalah guna.”

Ketua Penerangan Umno Selangor, Abdul Shukor Idrus
“Jika ulama menyertai politik, mereka secara tidak langsung dibelenggu dunia politik, sekali gus membuatkan tindakan golongan itu dipengaruhi kepentingan parti msing-masing. Justeru adalah lebih baik sekiranya ulama kekal sebagai penasihat supaya kebenaran terutama perkara berkaitan agama dapat ditegakkan tanpa rasa ragu. Jika cadangan itu benar-benar ingin dilaksanakan, sayap ulama itu perlu mendapat kebebasan dari sudut agama untuk menegakkan kebenaran, tanpa tekanan politik.”

Timbalan ketua Umno Bahagian Pasir Salak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin
“Secara peribadi, tidak perlulah diwujudkan sayap baru kerana sistem yang ada kini sudah kuat dan diterima ramai. Tahap penghormatan kepada ulam adalah peringkat yang paling baik. Bukan tidak mahu melibatkan mereka dengan politik tetapi nasihat dan panduan daripada mereka lebih meluas bukan hanya dalam politik sahaja.”

Ketua Umno Bahagian Bukit Gantang, Datuk Rosli Husin
“Tidak perlu ditubuhkan sayap ulama memandangkan Umno sendiri sudah mempunyai sayap Wanita, Pemuda dan Puteri. Ulama boleh menyertai Umno untuk menguatkan parti. Saya cadangkan supaya ulama-ulama ini sertai sayap-sayap yang ada.”

KD: Jika difikirkan kembali, ada kebenarannya di sebalik pendapat-pendapat ini. Sama ada Majlis Ulama akan dilaksanakan atau tidak, sama-samalah kita tunggu.

No comments:

Post a Comment