Wednesday, April 3, 2013

SELANGOR SALAH GUNA KUASA HALANG LANGAT 2

Pendirian kerajaan negeri beri kesan buruk ekonomi

SHAH ALAM: Pendirian Kerajaan PKR Selangor tidak meluluskan pembinaan projek loji rawatan air Langat 2 adalah satu penyalahgunaan kuasa yang akan memberi kesan buruk terhadap ekonomi negeri ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar, berkata pendirian itu lambat laun akan menjadikan negeri ini mundur.

Noh yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, berkata kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak 16 tahun dulu, merancang projek membawa air mentah melalui terowong dari Pahang berharga RM4 bilion yang kini hampir siap dan kerajaan negeri ketika itu bersetuju kawasan di Langat digunakan untuk loji berkenaan.

Nak tunjuk kuasa

“Dalam perjanjian asal, kerajaan negeri bersetuju untuk kita menggunakan tanah di kawasan Langat untuk dijadikan loji Langat 2. Itu saja... kuasa dia (kerajaan negeri) hanya membenarkan kita memulakan projek, tetapi nampaknya dia nak tunjuk kuasa dan dia salah guna kuasa,” katanya.

Noh berkata, kuasa yang sepatutnya diberi untuk pembinaan loji Langat 2 sebaliknya dinafikan dan kesannya hari ini, Selangor berdepan krisis air yang sudah pun mengakibatkan sekurang-kurangnya 440 projek yang berupaya mewujudkan puluhan ribu peluang pekerjaan tidak dapat dimulakan.

440 projek terjejas

“Jadi, apa kesannya? Peluang pekerjaan akan tertutup, rumah tak boleh buat, hotel tak boleh buat, kompleks beli-belah tak boleh buat dan Selangor lambat laun akan jadi negeri mundur,” katanya sambil menambah syarikat yang sudah komited untuk melabur di Selangor, masih menunggu kerana tiada jaminan bekalan air yang mencukupi.

Rakyat perlu pandang serius

Sehubungan itu, Noh mahu semua rakyat Selangor memandang perkara itu dengan serius demi memastikan kelangsungan negeri mereka terus maju dan bagi menyelesaikan masalah air, mereka tiada pilihan selain memastikan BN memerintah negeri ini. – BERNAMA/BHarian

No comments:

Post a Comment