Tuesday, June 25, 2013

BN TUBUH MAKMAL POLITIK KAJI SEMULA STRUKTUR PARTI - PM

KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) akan mewujudkan makmal politik bagi mengkaji semula struktur, penjenamaan dan polisi parti itu supaya sejajar dengan trend, senario serta landskap politik semasa.
Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, makmal itu akan bermula bulan depan dengan memberi tumpuan melakukan perubahan terhadap BN selepas mengambil kira keputusan serta pencapaian BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) yang lalu.

Menurut beliau, setiap parti komponen akan menghantar tiga orang wakil dan selain itu BN juga akan menjemput wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), personaliti, belia dan pihak swasta.

"Makmal ini akan membuat beberapa cadangan perubahan yang mungkin menyentuh salah satu perkara sama ada dari segi struktur, penjenamaan, polisi atau pun melibatkan ketiga-tiganya sekali.

"Kita jangka makmal ini akan berbincang selama beberapa hari, mungkin seminggu atau mungkin lebih daripada itu," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Menara Datuk Onn di sini malam ini.

Yang hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan semua Presiden parti-parti komponen.

Dalam pada itu, Najib berkata, paling penting cadangan-cadangan yang akan dikemukakan oleh makmal politik itu bertujuan memastikan BN terus berjaya pada masa akan datang.

Mengenai masalah pencemaran jerebu teruk yang melanda negara ekoran pembakaran hutan secara terbuka di Indonesia, Najib berkata, beliau akan mengutuskan surat kepada rakan sejawatnya, Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.

Katanya, surat tersebut bertujuan menuntut komitmen serta kerjasama daripada kerajaan Indonesia bagi menguatkuasakan tindakan yang lebih berkesan terhadap pihak yang menjadi punca kepada kejadian jerebu tanpa mengira dari mana, sama ada syarikat tempatan, Malaysia mahu pun Singapura.

Selain itu, beliau menambah, menerusi surat terbabit juga, Malaysia menawarkan kelengkapan dan kepakaran memadamkan kebakaran hutan menggunakan pesawat amfibia yang mempunyai keupayaan menyiram api dari udara memandangkan negara ini memiliki dua buah pesawat berkenaan.

Pada masa yang sama, beliau memberitahu, Malaysia juga akan mengutuskan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G. Palanivel untuk berbincang dengan Menteri Alam Sekitar Indonesia Rabu ini bagi mencari pendekatan terbaik untuk menangani pencemaran jerebu teruk kali ini agar tidak berulang pada masa hadapan.


Sementara itu, Najib berkata, selain pendekatan antara kerajaan dengan kerajaan, Malaysia juga mengambil pendekatan kerohanian apabila akan menjayakan solat hajat perdana selepas waktu zuhur esok bagi memohon kepada Allah SWT menurunkan hujan agar keadaan jerebu dalam negara dapat dikurangkan. –Utusan Online

No comments:

Post a Comment