Friday, February 22, 2013

MENJELANG PRU, PAS TERAGAK-AGAK DENGAN ANWAR SEBAGAI CALON PM

KUALA LUMPUR — Pemimpin PAS telah mempersoalkan pencalonan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri sekiranya Pakatan Rakyat (PR) berjaya memenangi kerajaan persekutuan pada Pilihan Raya 2013, dengan satu sumber mengesahkan mereka telah menawarkan kepada pemimpin Umno Tengku Razaleigh Hamzah jawatan tertinggi tersebut.

Sumber memberitahu The Malaysian Insider, persoalan tersebut timbul dalam satu mesyuarat tertutup antara PAS dan PKR pada Ahad selepas kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang Sabtu lalu parti Islam itu tidak teragak-agak meninggalkan PR sekiranya pakatan tersebut merugikan orang-orang Melayu dan Islam.

“Pemimpin tertinggi PAS itu mengatakan ‘haram’ bagi Anwar untuk meminta jawatan perdana menteri,” kata satu sumber PR yang tidak mahu dinamakan kepada The Malaysian Insider.

“Kemudian seorang pemimpin tertinggi PKR menjawab, Anwar tidak pernah meminta jawatan sebagai perdana menteri sebaliknya rakyat yang mengangkatnya dan ini sudah dipersetujui oleh PAS dan DAP semenjak pilihan raya umum 1999,” tambah sumber tersebut.

Pas jemput Tengku Razaleigh

Menurut satu sumber lain dari PR, satu pertemuan telah dilakukan diantara pemimpin tertinggi PAS dengan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah bagi menjemput bekas menteri kewangan itu untuk menjadi perdana menteri sekiranya PR berjaya mendapatkan majoriti kerusi parlimen selepas pilihan raya akan datang.

“Pakatan perlu ingat, mereka perlu konsisten dalam isu siapa bakal perdana menteri ini. Jangan nanti rakyat nampak kita Flip-Flop,” tambah sumber tersebut memetik perkataan yang digunakan untuk menyerang musuh politik mereka Barisan Nasional (BN).

Masih belum jelas jika langkah pemimpin PAS itu disokong secara meluas dalam parti Islamis itu. Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan ahli parlimen parti tersebut telah menyokong Anwar selama ini.

Namun, nampaknya terdapat beberapa langkah untuk memberitahu akar umbi PAS ia adalah penting dalam PR, dan satu cara untuk menunjukkannya adalah dengan mendapatkan jawatan perdana menteri.

Walau bagaimanapun, kepercayaan seperti ini oleh PAS tidak mungkin mendapat sokongan dari DAP dan PKR yang tegas dalam menyokong Anwar sebagai perdana menteri.

Siapa PM jika PR rampas Putrajaya

Isu siapa bakal perdana menteri PR sekiranya dapat merampas Putrajaya timbul dua minggu lalu apabila dilaporkan Majlis Syura Ulama PAS dalam sebuah perbincangan tertutup melibatkan beberapa anggota majlis tersebut menolak Anwar sebagai calon perdana menteri PR dan berkemungkinan melantik calon dari luar bagi menggalas jawatan tersebut.

Walau bagaimanapun Pengerusinya Nik Aziz menafikan laporan Utusan Malaysia itu dan menyifatkan dakwaan tersebut sebagai satu fitnah yang cuba dilemparkan terhadap PAS bagi melaga-lagakan parti tersebut dengan rakan sekutunya dalam PR, menurut agensi berita Bernama.

Pengerusi DAP Karpal Singh sekali lagi menegaskan, minggu lalu Anwar akan menjadi perdana menteri jika pembangkang berjaya menawan Putrajaya dalam Pilihan Raya 2013.

Ketidaksefahaman PAS dan PKR

Ketidaksefahaman PAS dan PKR mengenai siapa bakal calon perdana menteri dijangka akan menjejaskan PR walaupun pakatan pembangkang tersebut dianggap paling terusun sebagai pencabar BN dalam sejarah.

Umno pernah menggesa PAS keluar daripada PR pada 2011 serta mencadangkan untuk menubuhkan kerajaan perpaduan dengan parti Islam itu.

PAS setakat ini konsisten menolak idea kerajaan perpaduan dan kerjasama politik dengan Umno kerana tidak mahu episod lama pada tahun pada 1970-an berulang lagi apabila parti Islam tersebut ditendang keluar dari gabungan BN.

Umno juga dilaporkan mendakwa PAS hanyalah menjadi alat kepada parti DAP.

Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pernah mengatakan PAS perlu bertindak di luar PR kerana gabungan PAS, PKR dan DAP itu adalah palsu dan merugikan orang Melayu.

Menjelang PRU-13

PAS akan bertanding 70 daripada 222 kerusi parlimen dalam Pilihan Raya 2013 yang perlu diadakan tidak lama lagi dan membiarkan selebihnya untuk ditandingi oleh rakan PR, DAP dan PKR.

BN mengalami kekalahan terburuk pada Pilihan Raya 2008 apabila kehilangan majoriti dua pertiga di parlimen dan empat negeri kepada PKR, PAS dan DAP. Akan tetapi gabungan pemerintah itu merampas semula Perak selepas beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri keluar PR. – The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment