Friday, February 22, 2013

IDEAS SERU RAKYAT, KORPORAT MENYOKONG PEMERHATI PILIHAN RAYA 
KUALA LUMPUR — Institut Demokrasi dan Hubungan Ekonomi (IDEAS) menyeru rakyat dan syarikat-syarikat korporat dan agensi-agensi yang sesuai memberikan bantuan kewangan, kerana mereka tidak mendapat apa-apa pembiayaan dana daripada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Ini merupakan satu tanggungjawab yang amat berat dan penting, terutama kerana kita sedia maklum bahawa pilihan raya umum ke-13 akan berlangsung dalam jangka masa terdekat," menurut IDEAS dalam satu kenyataan hari ini.

IDEAS turut melancarkan laman web untuk pemantau pilihan raya, www.pemerhati.my dan mensasarkan pemerhatian di 70 kawasan seluruh Semenanjung Malaysia.

IDEAS mensasarkan kerusi-kerusi tersebut kerana dianggap sebagai "panas", serta sedang giat menjalankan jelajah semenanjung Malaysia untuk merekrut dan melatih sukarelawan pemerhati.

Projek ini bersama-sama dengan ASLI Centre for Public Policy Studies, Merdeka Centre, dan Konfederasi Orang Kurang Upaya Malaysia.

IDEAS juga menyeru orang ramai untuk mendaftar untuk menjadi sukarelawan pemerhati pilihan raya bertauliah.

"Untuk menjadi sukarelawan pemerhati, anda mestilah warganegara Malaysia berumur 21 ke atas, bukan seorang yang telah disabit kesalahan oleh mahkamah; bukan seorang bankrap yang belum dilepaskan; bukan seorang yang memegang jawatan atau bergerak aktif dalam mana-mana parti politik; dan dapat bekerjasama dan mengamalkan sikap berkecuali," menurut IDEAS lagi.

Menurut kenyataan itu lagi, peranan sukarelawan pemerhati pilihan raya bertauliah adalah untuk memerhati, merekod dan melaporkan proses pilihan raya umum ke-13.

"Kami akan memberikan latihan dan juga semua borang yang diperlukan oleh sukarelawan pemerhati. Sukarelawan perlu menghantarkan borang-borang tersebut kembali kepada kami setelah diisi sepanjang tempoh pemerhatian.

"Borang-borang tersebut mengandungi soalan-soalan terperinci mengenai apa yang disaksikan oleh sukarelawan dalam kawasan pemerhatian mereka," menurut kenyataan itu lagi.

IDEAS juga akan melatih sukarelawan pemerhati bagaimana untuk mengisi borang-borang untuk menganalisa data dan menulis satu laporan yang lengkap selepas pilihan raya.

Pilihan raya mesti diadakan sebelum Jun ini, dan dikatakan paling sengit di antara gabungan pemerintah Barisan Nasional (BN), dan pakatan pembangkang Pakatan Rakyat (PR).— Bernama/ The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment