Monday, April 8, 2013

MENJELANG PRU13: DAP BOLEH GUNA LAMBANG PAS

ALOR SETAR - Pas tidak akan menarik semula persetujuannya membenarkan DAP menggunakan lambang parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) meskipun menimbulkan keresahan ahlinya di peringkat akar umbi.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, kebenaran berkenaan diberikan kerana Pas dan DAP mempunyai persefahaman bersama atas konsep resolusi yang disepakati antara parti dalam pakatan pembangkang.

"Kita bersedia beri DAP guna lambang Pas kalau DAP tidak diizinkan menggunakan lambangnya," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ceramah sempena pelancaran manifesto PRU-13 pakatan pembangkang khusus untuk negeri ini di Kompleks Pas Kedah, Kota Sarang semut di sini malam tadi.

Baru-baru ini, Penasihat DAP, Lim Kit Siang menyuarakan hasrat untuk bertanding menggunakan lambang Pas dalam PRU-13 jika Pendaftar Pertubuhan (ROS) membatalkan pendaftaran DAP ekoran kesilapan pada pemilihan Jawatankuasa Kerja Pusat (CEC) parti itu tahun lalu.

Bagaimanapun kenyataan tersebut menimbulkan keresahan ahli Pas di peringkat akar umbi malah bekas Setiausaha Pas Selangor, Norman Toha secara tegas menyatakan ahli-ahli parti akan menghukum parti itu pada PRU-13 jika benar keadaan tersebut berlaku.

Bekas Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa turut bersuara dalam isu berkenaan dengan meminta Kit Siang dan Pengerusi DAP, Karpal Singh membuat pengumuman secara terbuka supaya semua ahli Pas tahu pendirian mereka terhadap tiga perkara utama yang menjadi dasar perjuangan Pas sebelum meneruskan hasrat menggunakan lambang parti tersebut,

Dalam pada itu, Abdul Hadi menyifatkan Nasharudin sebagai seorang ahli Pas biasa yang tidak mengikuti perkembangan mengenai isu penggunaan lambang parti tersebut oleh DAP.

"Dia lama tidak hadir mesyuarat, tidak ikut perkembangan. Kita anggap beliau seorang ahli biasa yang tidak ikut perkembangan," katanya.

Sementara itu, Abdul Hadi mendakwa, pakatan pembangkang telah memuktamadkan 99 peratus senarai calon yang akan bertanding pada PRU-13. –Utusan Online

No comments:

Post a Comment