Friday, April 5, 2013

MENJELANG PRU13: PEMBANGKANG GAGAL CAPAI KATA SEPAKAT ISU AGIHAN KERUSI

PETALING JAYA: Pakatan pembangkang merangkumi PKR, DAP dan PAS masih gagal mencapai kata sepakat mengenai pengagihan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk ditandingi pada pilihan raya umum kali ini.

Malah, sebilangan besar pemimpin kanan pembangkang yang menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat di Ibu Pejabat PKR di sini semalam turut mengakui hakikat itu.

Misalnya, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika ditanya mengenai pengagihan kerusi dalam sidang media semalam, berkata sebahagian sudah diputuskan dan diumumkan dari semasa ke semasa, manakala bakinya akan dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.

Kenyataan bercanggah

Kenyataannya itu bercanggah dengan kenyataan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali kelmarin, bahawa mesyuarat kepemimpinan tertinggi pakatan pembangkang semalam akan mengumumkan senarai penuh calon.

Sebaliknya, mesyuarat tiga jam itu yang berakhir pada kira-kira jam 5 petang tidak mencapai sebarang keputusan, tetapi menurut Anwar, perbincangan mengenai agihan kerusi itu akan bersambung hari ini.

Sebaik sidang akhbar itu berakhir, wakil media menunggu untuk mendapatkan reaksi beberapa pemimpin pembangkang lain bagi mendapat kepastian.

Seperti juga Anwar, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, tiada sebarang keputusan dicapai pada mesyuarat berkenaan dan perbincangan mengenai kerusi akan diteruskan hari ini.

Isu pengagihan kerusi  perlu selesai

Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli, pula berkata kepemimpinan tertinggi pembangkang perlu memuktamadkan soal pengagihan kerusi hari ini kerana ia agenda terpenting menjelang PRU-13.

“Isu (pengagihan kerusi) perlu diselesaikan esok (hari ini)... kalau tidak selesai kena selesaikan juga sebelum hari penamaan calon,” katanya.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, berkata tiada keputusan muktamad mengenai calon diputuskan dalam mesyuarat semalam.

“Belum selesai, ada sedikit lagi.., petang esok (hari ini) kami ada lagi mesyuarat di sini,” katanya. -BHarian

No comments:

Post a Comment