Friday, April 5, 2013

GEN Y PENENTU HALA TUJU PRU13

Kesedaran anak muda

Kerancakan perkembangan siasah tanah air lima tahun kebelakangan ini menyuntik kesedaran tinggi dalam kalangan anak muda untuk memastikan suara mereka didengari secara rasmi.

Gesaan pemimpin dan petugas parti politik supaya rakyat menunaikan kewajipan di peti undi tidak dipandang sepi dan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) bakal menyaksikan 2.3 juta atau 21.69 peratus pengundi baru daripada keseluruhan 13,291,385 orang yang layak berbuat demikian.

Daftar pemilih yang diwartakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) setakat suku keempat 2012 merekodkan 5,564,131 atau hampir 42 peratus adalah pengundi muda berusia kurang 40 tahun, dengan pecahan 3,024,909 atau 22.76 peratus berusia antara 30 hingga 39 tahun dan baki 19.1 peratus atau 2,539,222 dalam lingkungan 21 hingga 29 tahun.

Kumpulan umur seterusnya yang paling ramai mengundi ialah golongan lingkungan usia 40-an iaitu 21.85 peratus, diikuti 50-an (18.39), 60-an (10.73), 70-an (5.24), 80-an (1.58) dan 90-an yang mewakili 0.35 peratus.

Ke mana haluan undi generasi muda? Apa pula kecenderungan pengundi baru?

Ahli Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Mohamad Abu Bakar, dalam Wacana Menjelang PRU-13 baru-baru ini, merumuskan sebahagian besar generasi muda memiliki aspirasi berbeza kerana tidak bergerak di bawah naungan darurat dan perjuangan kemerdekaan.

Tak menentang atau menyokong

Keadaan itu, tegasnya, membuatkan mereka sukar disasar dengan peristiwa sejarah dan perjuangan kebangsaan, malah invokasi berkaitan perlakuan yang melampaui norma kemanusiaan juga dilihat kurang mempengaruhi aliran pilihan mereka.

Bagaimanapun, generasi muda yang kerap dirujuk sebagai Gen Y mempunyai perkiraan tersendiri dalam membuat pilihan. Bising atau diam mereka tidak boleh ditafsir sebagai menentang atau menyokong secara total kerana ruang interaksi langsung dengan pemimpin turut mempengaruhi pendirian.

Ringkasnya, maklumat tanpa sempadan hasil ledakan gerbang maya membolehkan mereka membuat penilaian dengan mengambil kira kesan langsung jika parti A atau B dijadikan pilihan.

Keperluan mereka berbeza mengikut lokasi - bandar, pinggir bandar, luar bandar atau pedalaman - tetapi asasnya sama merangkumi pendidikan berkualiti, jaminan pekerjaan bagi kelangsungan hidup, toleransi kaum dan keselamatan persekitaran.

Naluri ingin tahu

Perubahan pola ini dengan sendirinya menuntut pendekatan berbeza dalam kempen parti politik bagi meraih sokongan golongan yang mewakili 42 peratus jumlah pengundi kali ini.

Naluri ingin tahu Gen Y terutama yang pertama kali layak mengundi, tidak boleh dipandang mudah kerana keterujaan itu antara yang bakal mencorakkan hala tuju PRU-13.

Mengambil kira kelompok ini adalah golongan berpendidikan yang peka terhadap perkembangan semasa, mereka boleh membezakan antara penerangan menyeluruh atau jawapan ala kadar yang mencerminkan tahap keprihatinan pihak perayu sokongan.

Gembar-gembur PRU-13 sejak kira-kira dua tahun lalu diikut penuh minat oleh kalangan Gen Y dan kecairan tahap pemikiran mereka perlu dimanfaatkan sepenuhnya oleh Barisan Nasional (BN), seiring pendekatan inklusif dilaksanakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, selama ini.

Sebahagian besarnya mungkin masih berada dalam kategori `atas pagar’ kerana mahu melihat calon bertanding dan isu dibangkitkan, namun aspirasi mereka untuk terus bernaung di bawah payung kesejahteraan seperti sejak hari dilahirkan tidak harus dinafikan.

Gen Y perlu terus diyakinkan bahawa pilihan mereka hari ini adalah gambaran masa depan dan masa depan tidak boleh sebarangan dipertaruhkan.

n  Oleh: Veena Rusli, Berita Harian

No comments:

Post a Comment