Friday, April 5, 2013

MENJELANG PRU13: TSUNAMI POLITIK TIDAK AKAN BERULANG
 
Ahli akademik yakin BN menang PRU13

BANGI: Ahli akademik yakin tsunami politik 2008 yang menyebabkan Barisan Nasional (BN) kehilangan dua pertiga kerusi di Parlimen dan lima negeri tidak akan berulang.

Sebaliknya, BN akan memenangi Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 berikutan kejayaan pelbagai dasar, program dan transformasi yang dilaksanakan kerajaan.
Tsunami politik tak  berulang
Timbalan Dekan (Siswazah) Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohd Fuad Mat Jali, berkata ini termasuk 23 produk bantuan rakyat untuk meningkatkan sosioekonomi.

Katanya, produk itu termasuk Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), Baucer Buku 1Malaysia (BB1M) dan Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) yang menepati kehendak golongan berpendapatan rendah, generasi muda dan pelajar.

“Gagasan 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan dan pelbagai transformasi kerajaan ternyata memberi kelebihan kepada BN, manakala pembangkang semakin jauh di hati rakyat.

Majoriti ramal BN menang

“Berdasarkan kajian empat tahun, kami mendapati sebanyak 63.2 peratus responden meramalkan BN memenangi pilihan raya, manakala 58.1 peratus pengundi muda memilih Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengatasi Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya pada Seminar PRU-13: Memperkasa Demokrasi di Bangunan Canselori UKM, di sini, semalam.

Mohd Fuad berkata, tindakan berani menerusi transformasi politik juga menyumbang kepada peningkatan pengaruh BN dalam kalangan pengundi muda yang selama ini menganggapnya menyekat amalan demokrasi.

“Ini termasuk pemansuhan Akta keselamatan Dalam Negeri (ISA), penambahbaikan Akta Universiti dan Kolej Universiti serta Akta Perhimpunan Aman,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Amer Saifude Ghazali, berkata berdasarkan kajian terbarunya, sebanyak 42 peratus daripada 2.5 juta pengundi kali pertama mengundi cenderung memilih BN, 37 peratus pembangkang dan 21 peratus atas pagar.

“Pengundi atas pagar mempunyai pengaruh besar untuk menentukan tampuk pemerintahan negara,” katanya. -BHarian

No comments:

Post a Comment