Friday, April 5, 2013

MENJELANG PRU13: RAKYAT PERAK TOLAK ANWAR
 
Bimbang huru-hara

IPOH: Hasrat Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding di Perak pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) ditolak rakyat negeri ini kerana bimbang tindakan ketua pembangkang menyebabkan huru-hara.

Pekerja restoran di sini, Tan Kwan Mei, 21, berkata kehadiran Anwar bukan satu keperluan utama berikutan Perak sudah mengecapi pembangunan dan keamanan di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN).

Katanya, beliau sendiri begitu selesa dengan pemerintahan BN dan berharap keadaan itu dikekalkan.

Gagal tunai janji

“Keadaan politik tidak stabil di Selangor selain pelbagai janji PKR kepada rakyat Selangor yang gagal ditunaikan membuktikan kelemahan kerajaan PKR dalam mentadbir urus negeri itu.

“Apa akan jadi sekiranya Perak jatuh ke tangan PKR? Saya bimbang masalah sama di Selangor akan berulang di negeri ini,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Beliau mengulas hasrat Anwar yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) mahu bertanding di Perak dalam usaha meningkatkan momentum sokongan terhadap pakatan pembangkang di Perak, sekali gus merampas semula negeri terbabit.

Anwar sebelum ini diuar-uarkan mungkin bertanding di kerusi Parlimen Ipoh Timur yang mempunyai majoriti pengundi Cina berikutan penyandangnya, Lim Kit Siang, mengubah angin bertanding di Parlimen Gelang Patah di Johor.

Seorang lagi penduduk, Ahmad Fadzil Mohammad, 20, pula berkata beliau menolak hasrat Anwar untuk bertanding di Perak kerana banyak janji dan manifesto pakatan pembangkang pada pilihan raya lalu masih gagal ditunaikan.

Timbul ketegangan

“Kami menolak kehadiran Anwar untuk bertanding di mana-mana kerusi di negeri ini kerana bimbang tindakan itu hanya akan menimbulkan ketegangan dan keadaan kucar kacir.

“Pemimpin pembangkang itu juga banyak menimbulkan propaganda selain mengelirukan rakyat dengan kenyataan dikeluarkan,” katanya.

Bagi L Subramaniam, 46, pula beliau langsung tidak yakin terhadap kemampuan Anwar kerana pemimpin pembangkang itu dibelenggu pelbagai isu moral dan perkara negatif yang melingkarinya.

“Kredibiliti Anwar masih dipersoalkan masyarakat berikutan banyak isu berhubung pemimpin itu masih belum terungkai.

“Bagi diri saya, saya meletakkan sepenuh kepercayaan kepada calon BN dan saya yakin calon BN bakal memenangi pilihan raya ini walaupun wujud banyak saingan dari parti pembangkang,” katanya. -BHarian

No comments:

Post a Comment